Bab 34

4 2 0
                                    

"Azusa, aku rasa baik kita berundur dahulu. Hari pun akan gelap tidak lama lagi."

"Berundur? Ke mana, Chisato? Kita sudah jauh dari rumah." Azusa terketar-ketar sambil memegang lengan Chisato. Dia sebenarnya seorang penakut. Bunyi haiwan-haiwan hutan petang itu semakin nyaring pabila petang sudah hampir ke penghujungnya.

Tiba-tiba kedengaran burung hayabusa berteriak di udara.

"Hee..." Azusa terperanjat, berbunyi takut seraya memeluk Chisato.

Mereka mendongak ke atas.

Burung itu terbang turun dan mengibas-ngibas sayapnya, sambil berbunyi nyaring seolah-olah mengisyaratkan mereka agar mengikutinya.

"Chisato, bukankah itu hayabusa? Mungkin kita boleh menjejak Hisamiko dengan mengekorinya?" Azusa mencadangkan.

"Aku pun fikir begitu. Ayuh."

Sejurus mereka bergerak, burung itu terbang ke atas perlahan-lahan dan mengibas-ngibas sayapnya setempat, seperti menunggu mereka agar mengekorinya.

"Nampak seperti burung yang bijak. Adakah dia dilatih? Chisato, pernahkah Hisamiko menceritakan kebolehannya menjinakkan hayabusa kepadamu?"

"Tidak pernah. Cuma aku pernah terlihat Ryouji melatih Shinji menarik hayabusa nya di taman bonsai namun tidak bertanya lanjut. Aku tidak tahu sekiranya Hisamiko turut memiliki kebolehan itu."

"Bukan aku tidak mahu memberitahumu Chisato, tetapi aku melihat Hisamiko seolah-olah bertutur dengan burung ini tadi, sewaktu pulang dari kuil. Sungguh, aku pasti apa yang aku lihat."

Bertutur dengan burung? "Sungguh aku tidak tahu, Azusa. Aku pasti akan bertanyanya nanti. Ayuh, cepat."

Namun, sekian jauh berjalan meredah tanah hutan yang beralun dan ditumbuhi pokok-pokok tinggi, mereka tidak menemui langsung batang hidung Hisamiko.

Bahkan, mereka telah melangkah ke tempat yang tidak sepatutnya. Mereka dikepung oleh sekumpulan lelaki.

Seorang lelaki gempal keluar dari kumpulan lelaki tersebut, memandang mereka. Burung hayabusa tadi sedang bertenggek di atas lengannya yang berbulu itu.

"Petang, kalian. Aku Yoshitsugu Hagiura, gabenor Kodama. Engkau Ogasawara Chisato bukan?" Dia memandang Chisato dari atas ke bawah, menjalar matanya melihat tubuh cantik itu. Agak lama, seperti seekor kucing melihat ikan. "Tsugiyama kerap menceritakan tentangmu. Seorang rupawan yang telah membunuh rakannya di jeti."

Hagiura? Sebentar, bukankah dia ini yang pernah diberitahu Ryouji? Yang memerdagang wanita dan kanak-kanak perempuan sebagai karayuki? Dan mengotori sungai di kampung Tsuneki? Apa yang dibuatnya di tengah-tengah hutan dengan pengawal-pengawal sebegini ramai? Adakah dia menjejaki kami?

"Apa yang engkau mahukan? Mengapa kalian di sini?" Chisato cemas.

"Bertenang. Aku tidak akan mengapa-apakan kalian. Kami bersiar-siar di sini." Pengikut-pengikutnya ketawa, kemudian dia mengangkat tangan dan tawa mereka pun terhenti pantas, takut kalau-kalau kepala mereka tergolek dek pedangnya jika terus ketawa. Kemudian dia menyambung.

"Ogasawara-san, nasib aku terlalu baik hari ini. Aku hanya keluar berburu di sini, dan Goro menghidu baumu dan memberitahuku. Terima kasih kerana datang ke Kisennuma memberi baumu. Apa lagi yang ingin aku pinta? Engkau pula muncul di sini menyerah diri!" Pengikut-pengikutnya ketawa sekali lagi.

"Tsugiyama! Tangkap mereka. Jangan cederakan mereka sedikitpun. Sedikit calar, dan kalian akan aku arahkan melakukan seppuku!"

"Chisato, kita bertemu lagi." Tsugiyama bersiap menghunus penumbuknya, sekadar mahu membuka pencak bagi menangkap Chisato yang tahu bertarung itu. Dia tidak boleh mencederakan Chisato. Begitu juga pengawal yang lain.

KaisenjyoWhere stories live. Discover now