Penghuni wanita pula berada di dataran. Jadual mereka diasingkan mengikut jantina. Pada hari itu, pelajar wanita belajar seni mempertahankan diri. Ini adalah kelas pertama Hisamiko. Dia terpinga-pinga. Di tangannya ada kayu kendo yang pendek. Hisamiko sudah biasa dengan aktiviti kejantanan. Cuma dia tidak pernah belajar seni mempertahankan diri. Ryouji dan Miura belum bersedia mengajarnya. Namun, Ryouji telah bersetuju Takasaki melatihnya latihan-latihan asas dahulu. Hisamiko perlu akur.
"Mariko-san, apa yang kita akan lakukan hari ini. Di mana Onii-san?" soal Hisamiko tanpa gentar meskipun dia baru mengenali Mariko. Mungkin setelah mendapat pemangkin semangat dari Ogasawara bersaudara.
"Hisamiko-chan, kita akan belajar seni bertarung. Jangan risau, Ryouji ada bersama Takasaki. Mereka belajar membuat katana."
Hisamiko faham. Asalkan Ryouji tidak lari, maka dia senang hati.
Mariko memulakan kelas. Sebagai isteri Takasaki dan satu-satunya guru dan penjaga di situ selain Takasaki, dia perlu tahu seni mempertahankan diri. Takasaki mengajarkan segala apa yang dia tahu. Mariko tidak membantah. Mungkin berguna suatu hari nanti jika Takasaki curang terhadapnya!
Disebabkan Hisamiko adalah yang paling baru di situ, maka dia dibenarkan melihat dahulu mereka berlatih. Mariko kemudiannya meminta Chisato mengajar Hisamiko perkara-perkara asas seperti latihan pernafasan. Sementara itu Chinami dan Chiho berlatih bersama.
Selain mereka, terdapat dua orang lagi penghuni perempuan di situ. Mereka menginap di bilik asrama yang lain, bersebelahan bilik Hisamiko.
"Funazuki Azusa, Funazuki Saki, ayuh ke depan," nama mereka dipanggil Mariko. Mereka adalah duo pertama yang dipanggil pagi itu untuk mempamerkan pertarungan mereka.
Mereka diberikan kayu kendo sebagai pedang tiruan. Azusa dan Saki mula bertarung pedang sementara yang lain memerhati. Pergerakan mereka lincah seperti pemedang berpengalaman. Mereka, Funazuki bersaudara berasal dari kawasan sekitar rumah perlindungan itu. Azusa bertubuh lebih tinggi dari Saki. Kedua-duanya lebih berisi berbanding penghuni perempuan yang lain, namun ketinggian mereka masih tidak dapat menyaingi ketinggian Chisato. Mereka berdua bukanlah gemuk tetapi berisi dengan otot, seperti datang dari keluarga buruh atau tukang besi. Lebih tepat lagi, tukang membuat katana. Apapun, mereka pasti biasa melakukan sebarang kerja-kerja berat sebelum masuk ke sini.
Disebabkan kemahiran bertarung mereka yang tinggi, mereka bersama-sama Mariko adalah tonggak pertahanan rumah perlindungan tersebut jika Takasaki dan Kozue tiada. Kozue adalah yang terbaik kemahiran bertarungnya dalam kalangan pelajar lelaki, namun mungkin selepas ini tempat tersebut akan diambil alih oleh Ryouji. Funazuki bersaudara adalah penghuni yang pertama menyertai pusat perlindungan itu selepas Kozue, disusuli dengan Tsuneki, Shinji, Ogasawara bersaudara dan terakhir Okuhida bersaudara.
Sekarang tibalah giliran Hisamiko dan Chisato. Mariko sedar masih terlalu awal untuk Hisamiko, namun dia mahu melihat potensi Hisamiko terlebih dahulu. Kemudian barulah dia merancang bagaimana melatihnya kelak. Pertarungan bermula.
Sepanjang pertarungan itu berlangsung, Mariko terpegun. Hisamiko mampu mengelak semua serangan Chisato namun dia tidak sedikitpun menghayun kayunya. Membingungkan, kerana dia difahamkan oleh Takasaki bahawa Hisamiko tidak pernah menerima sebarang latihan pun dari Miura mahupun Ryouji. Malah, di tengah-tengah pertarungan tersebut Hisamiko mencampakkan kayunya ke tepi seolah-olah satu beban bagi lengannya yang kecil itu untuk terus memegangnya. Dia terus mengelak dan mengelak, pergerakannya pantas.
"Berhenti!" Mariko memberi arahan. "Hisamiko, dari mana engkau belajar mengelak sebegitu?"
"Aku melihat pergerakan. Onii-san, otou-san, Kozue nii-san, dan nee-san tachi (kakak-kakak itu)," dia menunjuk ke arah Funazuki bersaudara. Semua pergerakan yang pernah dilihatnya dihafal. "Kayu itu berat, aku tidak mahu menggunakannya." Dia menunjuk pula kayu yang telah dicampak tadi.
YOU ARE READING
Kaisenjyo
Historical FictionSatu peristiwa pembunuhan membawa Ryouji dan adik perempuannya kepada kehidupan baru, di sebuah rumah perlindungan. Peristiwa demi peristiwa yang menyusul memberi petunjuk yang membawa kepada pembunuh bapanya. Kehidupan di rumah perlindungan itu jug...