Tsuneki adalah pelajar termuda di rumah perlindungan itu, berusia lapan tahun ketika Ryouji menyertainya. Dia tidak dibenarkan menyertai pertarungan sebelum umurnya mencecah sembilan. Maka dia hanya memerhati. Kini, tahun 1869 kunjung tiba dan dalam beberapa bulan lagi umurnya akan menginjak sembilan. Namun dalam beberapa bulan menjelangnya dia akan terus memerhati dan bermain.
Sebagai kanak-kanak, adalah normal untuk dia takjub dengan apa-apa yang dilihatnya yang nampak magis dan menarik. Namun dia memiliki tabiat buruk, iaitu suka mengendap. Jika dibiarkan, ia mungkin akan menjadi lebih buruk apabila dia dewasa kelak.
Suatu hari dia mengajak Ryouji melalui sebuah denai rahsia di belakang bilik relau. Sebenarnya, pagar hutan buluh itu memiliki banyak ruang masuk selain daripada gerbang buluh. Ia termasuklah denai-denai yang dilitupi pokok-pokok dan belukar biasa, dan juga perbukitan. Tapak rumah perlindungan itu agak tinggi berbanding Sungai Miya dan ia dirasakan Ryouji kerana dia perlu mendaki bukit ketika mengikut Takasaki mengelilingi pagar hutan buluh itu ke pintu gerbangnya.
Denai yang disuguh Tsuneki itu membawa mereka ke sebuah kolam air panas yang besar dan dikelilingi oleh pagar buluh. Tsuneki membuat isyarat diam. Ryouji menjengketkan kakinya. Kemudian Tsuneki melihat melalui celah-celah pagar buluh itu. Dia meminta Ryouji melakukannya juga.
Ryouji agak terperanjat. Dia melihat beberapa orang wanita yang amat dikenalinya tanpa seurat benang sedang berendam di dalam onsen itu. Yang mula-mula sekali dapat dicamnya ialah Chisato. Namun belum sempat dia menyedari Hisamiko juga ada dalam kalangan mereka, dia memalingkan mukanya ke Tsuneki dan menepuk kuat kepalanya. "Baka! Nani shiteru to omotta?! (Bodoh! Apa yang kau fikirkan mengajak aku ke sini?)"
Tsuneki mengaduh kesakitan, kemudian tersengih seperti kerang busuk.
Dia mendengar bunyi derapan tapak kaki dan ranting patah seraya menoleh ke belakang. Di depannya, Funazaki Azusa dan Saki sedang berdiri sambil mencekak pinggang.
"Oho, ini kerja kamu ya. Mari sini!" Azusa menarik telinga Ryouji sementara Saki menarik telinga Tsuneki. Aduh sakit sakit! Itai itai!
"Funazuki-san, maafkan aku. Aku tidak berniat mengendap."
"Tsuneki, aku akan berjumpamu kemudian. Jangan kau lari. Okuhida-san," dia membuat isyarat agar mengikutinya. Saki masih memegang lengan Tsuneki, si 'musang kecil' itu.
Azusa membawa Ryouji jauh sedikit dari Saki dan Tsuneki, kemudian dia separa membisik, "Okuhida-san, aku mahu bertarung denganmu."
"Apa?"
"Aku mahu bertarung denganmu. Seperti malam itu di mana kau bertarung dengan Chisato. Ajarkanku sehingga aku mahir."
Ryouji tersentak. Rupanya malam itu dia diekori.
"Mahukah kau jika aku melaporkan perkara ini kepada Takasaki-san? Yang engkau keluar malam secara rahsia dan hari ini, mengendap penghuni perempuan pula di onsen? Kau tahu tak Hisamiko ada di dalam onsen itu?"
Berderau darah Ryouji mendengarkannya. Nasib baik aku tidak melihat lama! Tsuneki no baka! Baka! (Bodoh engkau Tsuneki, bodoh!)
"Funazuki-san, aku bersumpah demi para kami yang menjaga onsen ini, sungguh aku tidak tahu yang mereka semua berada di dalam itu. Tsuneki yang membawaku, bahkan aku tidak tahu langsung kewujudan onsen ini."
"Aku percayakanmu Okuhida-san," Azusa mengujar lembut sambil menguntum senyuman manis. "Iya, iya, Okuhida-san jyanai (bukan, bukan Okuhida-san), RYOU-JI," Azusa memanggil Ryouji dengan nama peribadinya.
YOU ARE READING
Kaisenjyo
Historical FictionSatu peristiwa pembunuhan membawa Ryouji dan adik perempuannya kepada kehidupan baru, di sebuah rumah perlindungan. Peristiwa demi peristiwa yang menyusul memberi petunjuk yang membawa kepada pembunuh bapanya. Kehidupan di rumah perlindungan itu jug...