Bab 37

12 1 0
                                    

Azuchi terbang mencari Hisamiko, setelah menyedari dia sudah jauh meninggalkan Ryouji.

"Hisamiko!"

Hisamiko sedang terbaring di lantai hutan, kepenatan.

"Engkau ke mana?" Hisamiko bertanya kepada Azuchi dengan nafas mencungap.

"Aku sedang memerhati Ryouji menyerangmu seperti orang hilang akal. Sekarang dia sudah pulih."

"Pulih? Azuchi, apakah yang telah berlaku?"

Azuchi terbang turun mendekati Hisamiko dengan hinggap pada dahan yang lebih dekat.

"Hisamiko, aku nampak bayangan hayabusa berwarna hitam di belakang tubuh abangmu."

"Apa maksudmu? Aku tidak nampak apa-apapun."

"Hanya kami yang boleh melihatnya. Bayangan itu melekap di belakang badannya. Kepala dan paruhnya di atas kepala abangmu, sedang kedua-dua sayapnya di belakang tangan abangmu. Cakarnya sebelah kaki kanan mencucuk tangan kanannya dan membuat tanda hitam."

"Tanda hitam?"

"Ya."

"Apakah aku boleh melihat tanda hitam itu?"

"Manusia sepertimu boleh melihatnya. Ia seperti tanda kecederaan yang tidak diketahui apa penyebabnya, namun kami tahu. Ia sumpah hayabusa. Sesiapa yang ditimpanya, akan mati sebelum umurnya menginjak dua puluh tahun." Azuchi selamba berkata tanpa mempedulikan perasaan Hisamiko. Dia hanya binatang, apa yang dia faham!

"Apakah...apakah yang engkau cuba beritahu aku, Azuchi? Apakah engkau bergurau?" wajah Hisamiko mula berubah kelam.

"Aku tidak bergurau Hisamiko. Engkau tidak tahukah bagaimana engkau beroleh kebolehan memahami bahasaku?"

"Tidak. Ceritakan padaku, Azuchi. Ceritakan semua yang engkau tahu!" Hisamiko sedikit membentak, sambil menggoncangkan dahan tempat Azuchi bertenggek.

"Nenek moyangmu pernah membuat perjanjian dengan kami. Agar puakmu dikurniakan kepantasan hayabusa ketika bertarung. Sebagai pembayaran, setiap seratus tahun seorang dari puakmu akan dikorbankan. Pada masa ini, Ryouji adalah korban itu. Juga setiap seratus tahun, akan muncul seorang pemedang yang handal dari puakmu, dan dia mampu memahami bahasa hayabusa. Engkau adalah pemedang itu."

Hisamiko kebingungan sama ada mahu mempercayai Azuchi atau tidak. Namun melihatkan apa yang telah berlaku pada dirinya, ia nampak seolah-olah benar.

Namun, jika benar, onii-san akan mati sebelum umur kedua puluhnya! Jika sekarang dia sudah berumur enam belas tahun, hanya empat tahun berbaki. Dan aku akan keseorangan.

"Apakah onii-san sudah mengetahui perkara ini?"

"Aku tidak pasti. Aku pernah melihat sami di Furukawa itu seperti memberitahunya dan dia termenung panjang selepas itu. Di hari ketika kepalamu cedera selepas diserang lelaki gemuk dan tiga rakannya itu di hutan Furukawa. Maaf, aku tidak faham butir-butirnya kerana aku tidak faham bahasa kalian."

Hisamiko termenung. Mengapa sami itu tidak memberitahuku? Mengapa onii-san menyembunyikannya dariku? Kemudian Hisamiko mengingat kembali Ryouji yang menangis tiba-tiba sewaktu memberikannya kalungan bermanik itu. Onii-san memendam, dan menanggung kesakitan itu sendiri. Aku tidak tahu, maafkan aku onii-san!

Dia menyeluk dada yukatanya, mengeluarkan dan membelek-belek kalungan itu. Sekarang baru kufaham. Dia tidak punya banyak masa. Bagaimana dengan nee-chan? Adakah nee-chan juga sudah mengetahuinya?

"Tidakkah ada penawar untuk sumpahan itu?"

"Aku tidak tahu. Mungkin ada. Beberapa ratus tahun lepas ada sahaja dari puakmu yang ditimpa sumpahan itu, kembali sihat, kemudian mereka mati sebagai manusia normal. Namun aku tidak pasti apa penyebabnya. Sebentar Hisamiko. Batu apa yang berkalung di lehermu itu?" Azuchi tertarik dengan kalungan yang dipakai Hisamiko, dan dia tiba-tiba menguap panjang. Bagaimana Azuchi boleh mengantuk tiba-tiba pula di siang hari begini?

KaisenjyoWhere stories live. Discover now