Kobato mendapat surat balas dari Saki. Dia membacanya.
Bagaimana mungkin aku meminta Ryouji membantuku? Aku arif benar perangainya. Dia bijak. Dia pasti akan bertanyaku sehingga ke akar umbi berkenaan motifku. Aku tidak boleh sekali-kali mendedahkannya. Bahkan sebelum aku bertanya perkara itupun, aku masih perlu bertemunya juga. Dia pasti akan memujukku agar menghentikan rancanganku membunuh Takasaki. Aku tidak mahu mendengarnya, atau dia mungkin akan kubunuh juga. Aku tidak mahu melakukannya selagi boleh. Ryouji adalah satu-satunya sahabatku selagimana dia tidak masuk campur urusanku dengan Takasaki. Apa yang penting, Takasaki mesti mati di tanganku. Sesiapa yang cuba menghalang, akan turut menerima akibat yang sama.
Aku tiada cara lain. Aku perlu mendapatkan resin itu sendiri.
Kobato mengembara ke serata Nakasendo dan cuba mencari-cari di pasar pedagang di shukuba (hentian atau pekan persinggahan di sepanjang Nakasendo) dan bertanyakan pedagang yang lalu-lalang di lebuh itu, dengan harapan menemui jalan pintas mendapatkannya. Namun hampa. Resin itu tidak dijual di pasar.
Mungkin aku boleh menumpu kepada kaedah kedua yang dicadangkan Saki. Mungkin aku harus bertapa.
Setelah meninggalkan kedai pedang Mitsuhide, Kobato bersembunyi di sebuah pondok terbiar di dalam hutan. Dia membina sebuah relau di situ dan membeli tamahagane, cuba mencipta pedang yang ringan bagi mencapai jurus kesembilan. Pedang yang ringan, namun tanpa resin yang dinyatakan Saki.
Dia bereksperimentasi dengan pelbagai ramuan tamahagane bagi mendapatkan pedang tersebut tanpa resin khas. Dalam masa berbulan dia tinggal di situ, dia juga memerhati para pedagang yang melalui Nakasendo dan melindungi mereka dari serangan perompak. Seringkali dia mendapat upah dari para pedagang tersebut, dan kadangkala makanan yang mewah. Dia menggunakan kesempatan bertarung dengan perompak-perompak bagi menguji bilah yang dihasilkan. Namun bilah itu sebenarnya hanyalah bilah biasa yang pernah ditempa di kedai Mitsuhide, tiada apa yang istimewanya. Hanya resin itu sahaja yang boleh mengubahnya agar setanding dengan Saishi-tou.
Suatu hari, dia duduk di atas batu, di tepi sungai. Cuba menenggelamkan dirinya dalam hingar sungai yang mengalir. Tenang. Sekosongnya. Dirasakan begitu mudah sekali dia menenangkan diri. Dia tiada ibu bapa, tiada isteri, tiada anak, tiada rakan. Tiada siapa yang mengharap kepadanya dan dia tidak mengharap kepada sesiapa. Tiada sesiapa yang bermusuh dengannya dan dia tidak memiliki musuh untuk dikejar. Hanya dendam. Hanya itu sasarannya. Tiada siapa yang perlu dirisaukan dan dia tidak merisaukan sesiapa. Maka mencapai zen menjadi mudah.
Dalam matanya masih terkatup, dia perlahan-lahan mencapai pedang yang baru ditempa, dan melibas batu besar di hadapannya. Batu itu terbelah. Dia membuka mata dan terperanjat.
Sekuat inikah jurus kesembilan? Apakah aku telah mencapainya?
**
Awal musim bunga 1871 (selepas Ryouji pulang dari misi pertama)
"Onii-san, Azuchi memberitahuku yang dia mengantuk sekiranya aku menayangkan loket yang kau berikan ini padanya." Hisamiko memberitahu Ryouji tiba-tiba suatu hari ketika dia duduk melepak di taman bonsai.
"Aku ingin melihatnya. Panggil dia ke mari."
Hisamiko memanggil burung itu, seperti biasa ia bertenggek di atas pohon shirakaba. Azuchi terbang turun dan hinggap di pohon momiji yang lebih rendah dari shirakaba.
"Sekarang, Hisamiko."
Hisamiko membuka loket itu dan menayangkan kepada Azuchi. Serta-merta, mata Azuchi terkatup dan dia menganga seluas-luasnya, menguap, kemudian merendahkan badannya dan tertidur.
YOU ARE READING
Kaisenjyo
Historical FictionSatu peristiwa pembunuhan membawa Ryouji dan adik perempuannya kepada kehidupan baru, di sebuah rumah perlindungan. Peristiwa demi peristiwa yang menyusul memberi petunjuk yang membawa kepada pembunuh bapanya. Kehidupan di rumah perlindungan itu jug...