Bab 46

3 1 0
                                    

Yang tinggal di rumah itu kini adalah Ryouji, Hisamiko, Ogasawara bersaudara, Tsuneki, Shinji dan Mariko. Mereka berkabung selama seminggu. Mayat Takasaki, dan Funazuki bersaudara dibakar. Pakaian Kobato disimpan Ryouji di dalam biliknya.

Kotobuki dan Ayame datang menziarahi mereka.

"Mariko-san, kami tumpang bersedih atas pemergiannya. Takasaki-san banyak menyumbang kepada Kogen sejak penyertaannya lebih dua dekad lalu." Ujar Kotobuki kepada Mariko.

Mariko masih sugul. Dia tidak dapat menerima kenyataan bahawa pembunuhan Takasaki dan Funazuki bersaudara dilakukan bekas penghuni rumah itu sendiri. Terbayang-bayang di ingatannya wajah Kobato sewaktu dia mengambilnya dari Atsushi pada malam tujuh belas tahun lepas. Jika aku tahu sudah pasti aku akan membunuhnya malam itu juga dan membuang mayatnya jauh-jauh. Atau aku minta Atsushi biarkan sahaja dia dibakar api di rumahnya.

Mariko mengetap bibir menahan marah, tanpa menyedari Ayame dan Kotobuki sedang memerhatikannya, dahinya yang sudah berkedut tua bertambah kedut, matanya berair hampir melimpah. Dia sedih. Dia tidak mencintai Takasaki sewaktu mereka berkahwin, namun lama-kelamaan perasaan itu berputik, dan ketara setelah Takasaki pergi.

Aku tidak dapat menafikan perasaanku terhadap Nakatsu.

"Mariko-san, Mariko-san..." Ayame memanggil-manggil Mariko, setelah mendapati dia mengelamun dan berwajah marah berseorangan, tidak menyedari kata-kata Kotobuki sebentar tadi.

"Ah, gomen ne (maaf), kalian. Aku masih tidak dapat menerima kematiannya."

Hanya mereka bertiga di dalam bilik itu. Ia bilik tamu yang menempatkan kuil kecil beserta abu mayat Takasaki, Azusa dan Saki di depannya.

Ayame memandang Kotobuki, meminta pandangannya. Kotobuki hanya menganggukkan kepala.

"Mariko-san, pabila engkau sudah bersedia, beritahu kami." Ayame menyampaikan peringatan yang menjadi tujuan kedua mereka datang ke situ. Tujuan pertama ialah memberi penghormatan terakhir kepada Takasaki.

"Ayame-san, beri aku sedikit masa di sini. Mohon engkau beritahu Omi-san menghantar bantuan tambahan ke sini. Aku tidak yakin Ryouji seorang diri mampu menewaskan orang-orang yang dihantar keluarga Yoshitsugu. Keupayaannya memimpin pasukan masih perlu diasah."

"Baiklah Mariko-san. Kami minta diri dahulu."

"Doumo."

Ketika keluarnya Ayame dan Mariko dari rumah itu menunjuk gerbang buluh, Ryouji datang bertemu mereka.

"Tunggu sebentar, Kotobuki-san. Aku ingin berbual denganmu sebentar. Maafkan kami sebentar, Ayame-san."

Ayame mengangguk. Dia sudah bertemu Ryouji sebelum menemui Mariko. Itu adalah pertemuan pertama mereka. Ayame memperkenalkan dirinya sebagai anak kepada Kotobuki seperti yang pernah diceritakan Chisato. Ryouji berterima kasih kepada Ayame kerana membantu Chisato dan Azusa tempoh hari.

Di atas pokok shirakaba, dua ekor hayabusa bertenggek bersebelahan. Seekor Azuchi, hayabusa yang mengekori Hisamiko, dan yang seekor lagi itu adalah hayabusa yang mengekori Ayame. Kedua-duanya seperti sedang berbual sakan, seperti sudah lama tidak berjumpa. Ayame memanggil salah seekor daripada mereka dengan membuat siulan. Hayabusa itu turun dan bertenggek di lengan Ayame.

"Momo-chan, engkau mahu makan apa hari ini?" begitulah maksud kukuran Ayame kepada hayabusa yang digelar Momo-chan itu.

Momo-chan membalas dengan kukuran juga, "Aku tidak mahu makan. Aku bersedih dengan kematian Takasaki."

KaisenjyoWhere stories live. Discover now