Bab 43

2 1 0
                                    

"Takasaki-san, aku mahu keluar."

"Engkau mahu mengejar Kobato, bukan?"

Ryouji mengangguk. Dia fikir dia perlu mendekati Kobato dan memujuknya. Kobato adalah teman rapatnya meskipun cuma setahun mereka berkenalan. Kobato kerap berbincang hal peribadi dengannya.

"Ryouji, aku tidak benarkan."

"Maka aku terpaksa mengingkarimu."

"Ryouji!" Melihatkan Ryouji mulai bergegas menuju ke gerbang buluh, Takasaki berkeras menahannya.

"Tidak bolehkah engkau dengar kataku sebentar?! Aku tahu di mana tahapmu. Engkau bukan tandingan Kobato."

"Maksudmu?" Ryouji bertanya perlahan, nadanya keletihan. Letih dengan Takasaki yang gemar menerangkan perkara baru yang dia tidak tahu yang banyak mengubah rancangan dan juga apa yang dia fikirkan berkenaan sesuatu.

"Ketika dia bertarung denganku tempoh hari, kepantasannya luar biasa. Ia di antara jurus kelapan dan kesembilan. Ia boleh dicapai dengan tumpuan yang penuh, barangkali zen."

"Zen? Takasaki, aku tidak faham apa yang engkau karutkan. Aku mohon engkau tidak menghalangku. Dan jika benar katamu, bagaimana pula engkau boleh mengalahkannya?"

"Nasibku baik pada hari itu. Dia masih mentah dalam menstabilkan diri pada kepantasan itu. Ketika dia tidak sengaja memperlahan di jurus tujuh, aku mengambil kesempatan menyungkurkannya."

"Ryouji, Kobato memilih untuk melepaskan segala-galanya dan menyasarkan aku sebagai sasaran utama hidupnya, mungkin itu membolehkannya mencapai zen tanpa disedari, yang mungkin kunci kepada jurus kesembilan kaminari. Engkau mungkin akan dibunuhnya. Kobato yang datang pada hari itu bukan lagi Kobato yang engkau kenali."

Ryouji duduk di atas teratak kerikil itu, membantutkan perjalanan ke gerbang buluh.

"Ryouji, fikir. Tidak berbaloi engkau keluar begini. Engkau pun belum menguasai jurus kesembilan. Aku fikir engkau perlu menguasai jurus kesembilan dahulu jika engkau mahu bertemunya."

Ryouji diam dan terus duduk di atas teratak kerikil itu, cuba menghadam kata-kata Takasaki. Dia menutup wajah dengan tangan. Kobato, apa yang membuatmu berubah begini? Perlukah aku mengorbankan persahabatan kita dengan mempercayai Takasaki? Engkau keseorangan bukan? Engkau tiada ibu, tiada bapa, tiada kekasih, tiada adik-beradik, tiada rakan. Siapa lagi yang akan mendengarmu selain aku?

Kobato, engkau seorang yang kasihan. Ryouji membuka tekupan tangannya. Matanya berair.

Hisamiko dan Chisato sedang memerhatinya dari dataran luas. Mereka sudah bersiap sedia mengekori Ryouji sekiranya dia keluar tanpa kebenaran lagi. Azuchi pula seperti biasa sedang bertenggek melihat drama itu dari atas pohon shirakaba.

**

Awal musim panas, 1871 (selepas misi pertama Ryouji dan selepas Kobato pulang dari menyerang Takasaki)

Saki mencari-cari di manakah buku berkenaan senjata seperti yang pernah dilihatnya di dalam perpustakaan itu lebih setahun yang lalu, ketika Kobato memintanya mengkaji latar belakang Takasaki. Dia ada ternampak buku itu di atas meja Shinji namun sekarang sudah tiada. Mungkin diletakkan kembali di rak yang betul.

Di dalam buku itu mungkin terkandung seni pembuatan senjata termasuk katana.

Semalam, Saki menerima surat dari Kobato, memintanya mencari ramuan katana yang digunakan Takasaki, yang membolehkan dia meningkat ke jurus tinggi kaminari-no-kaze.

Kobato kerap mengutus surat kepada Saki sejak meninggalkan Mitsuhide si tukang pedang itu. Dia berpura-pura menyukai Saki, sedangkan dia punya motif terselindung. Isi-isi surat yang dihantar adalah ayat-ayat dan janji-janji manis. Sehinggalah surat yang terbaru, yang berisi permintaan kedua sejak kali pertama dia meminta tolong Saki.

KaisenjyoWhere stories live. Discover now