Ryuzen datang menemui Tsugiyama.
"Tsugiyama-san, maaf kami pulang dengan tangan kosong. Seseorang telah campur tangan." Ryuzen bersuara terketar-ketar mengadap Tsugiyama, sedang berdiri bersama tiga pembantunya, masing-masing menundukkan kepala. Dia masih memegang rusuknya, menahan kesakitan.
"Siapa yang campur tangan?"
"Seorang budak lelaki bernama Kozue Kobato, gaya bertarungnya seperti samurai. Pergerakannya pantas sepertimu, dia mahir menggunakan kaminari-no-kaze."
"Bagaimana rupanya?"
"Berkulit gelap, mata sepet dan rambutnya panjang diikat ke belakang. Muda, dalam lingkungan belasan tahun. Tingginya purata."
Penampilannya seperti samurai, fikir Tsugiyama. Namun melihatkan kaminari-no-kaze-nya, mungkin dia bersama Takasaki. Barangkali Kogen.
"Di mana kamu diserangnya? Apakah pedangnya bermata?"
"Ketika kami menahan mereka berhampiran Nagano. Pedangnya tidak bermata."
Kemungkinan besar Kogen, kerana pedangnya tidak bermata. Jika aku ada di situ, mungkin kami sudah berjaya merompak sutera-sutera yang mahal itu, fikir Tsugiyama.
Tsugiyama terpaksa hidup begini, sebagai perompak yang merompak pedagang-pedagang di laluan Nakasendo bagi meneruskan hidupnya. Beberapa bulan lepas pada pertengahan musim panas 1869, daimyo Yozehama, Hagiura telah melucutkan jawatan samurai-samurainya termasuk Tsugiyama kerana tidak mampu membayar gaji mereka setelah tanah-tanahnya diambil kembali oleh Maharaja.
Lelaki berumur empat puluhan itu mengusap-usap janggutnya yang beruban, cuba merancang sesuatu. Dia berkata kepada Ryuzen, "Ryuzen, aku yakin dia tidak jauh dari Nagano. Cari dia, dan laporkan kepadaku lokasi tepatnya. Aku sendiri akan selesaikan perkara ini."
Mereka mengangguk, "Baik, Tsugiyama-san!"
**
"Tup!" sebatang panah hinggap pada tiang balai menempa pedang itu. Mitsuhide dan Kobato tersentak, mereka sedang duduk di anjung rumah kedai menghadap ruang lapang. Kedengaran bunyi seseorang berlari di atas bumbung dan Kobato dapat melihat kelibatnya pada malam itu. Namun dia tidak sempat mengejarnya kerana ia pantas menghilang.
Kobato mencabut panah itu. Padanya tergulung satu surat, bertulis:
"Kepada remaja berambut panjang berikat yang menyerang dekat Nagano, kami menunggumu di hutan belakang kuil Shizen esok malam sebaik matahari terbenam, atau kedai pedang ini kami bakar."
Mitsuhide keberatan dan cuba menghalang Kobato, namun Kobato meyakinkan dia yang dia tahu berlawan dan pasti dapat menumpaskan mereka.
**
Di musim sejuk begini, siang amat pendek. Sebaik tamat kerja, Kobato bergegas ke kuil Shinto Shizen, terletak di pinggir Shizen-machi di atas sebuah bukit. Dia pernah ke kuil ini sewaktu kecil bersama bapanya. Sampai di sana dia terus ke belakang kuil dan duduk bersila menunggu di bawah sebatang pokok momiji yang sudah tidak berdaun, sambil menggigil menahan sejuk. Malam itu bulan mengambang terang membantu penglihatannya dalam dunia yang semakin pekat ditelan kegelapan.
Tsugiyama muncul dari kegelapan malam di hadapan Kobato. Sebaik tiba, dia terus meluru menghunus pedangnya ke arah Kobato untuk mengujinya, namun sempat ditepis. Mereka bertarung dengan pantas dan meningkat dari jurus ke jurus, mengikut gerakan kaminari-no-kaze.
Benarlah, budak ini tahu kaminari.
"Engkau yang menyerang kami di Nagano bukan?"
"Siapa engkau?" Kobato tidak menjawab soalan itu.
YOU ARE READING
Kaisenjyo
Historical FictionSatu peristiwa pembunuhan membawa Ryouji dan adik perempuannya kepada kehidupan baru, di sebuah rumah perlindungan. Peristiwa demi peristiwa yang menyusul memberi petunjuk yang membawa kepada pembunuh bapanya. Kehidupan di rumah perlindungan itu jug...