Pagi esoknya, selepas mereka bersarapan, Takasaki dan Ryouji duduk di depan taman bonsai.
"Takasaki-san, adakah samurai dibenarkan membunuh seseorang kerana dia menipu?"
"Benar, mereka menuruti apa yang tertulis dalam kod Bushidou."
"Kod Bushidou?"
"Kod yang perlu engkau patuhi sebagai seorang samurai. Ia tidak tertulis di mana-mana, hanya sebuah pegangan yang diperturunkan secara lisan. Sebarang penghinaan dikira jenayah dan akan dihukum bunuh. Maruah dipentingkan lebih dari nyawa."
"Lebih penting dari nyawa? Maruah samurai lebih penting dari nyawa seorang lelaki tua yang tidak berdosa, yang cuma bekerja menjaga kuil itu?"
Ryouji tidak dapat memahaminya. Dia dibesarkan dalam suasana di sawah padi dan hanya kadangkala ke pekan bersama bapanya melihat masyarakat luar. Dia tidak tahu menahu tentang Bushidou, bapanya amat sedikit sekali bercerita perihal sejarah kerjaya samurainya kepadanya. Dia sendiri tidak dibesarkan dan diasuh untuk menjadi seorang samurai. Bagaimana menghina seseorang samurai boleh dihukum bunuh? Tidak masuk akal!
"Ya." Takasaki mengiyakan, tanpa sebarang perasaan terlukis di wajahnya. Seperti dia sudah menerima kenyataan begitu lama dahulu.
"Takasaki-san, apakah engkau bersetuju dengan perbuatan mereka?"
"Ya, tetapi lama dahulu. Aku sudah melepaskan status samuraiku. Sekarang aku ronin, sama seperti bapamu."
Ryouji termenung panjang. Baginya, dunia sebegini seperti tiada undang-undang. Yang kuat dan memiliki dan tahu menggunakan senjata akan mengawal yang lainnya. Ia tidak ubah seperti peraturan rimba.
"Apakah memang begini sejak purbakala lagi?"
"Sejak lebih kurang seribu tahun lepas."
"Apakah negara ini tidak akan berubah? Mahu kekal dalam keadaan begini?"
"Ryouji, jika engkau tidak tahu, tidak lama lagi semuanya akan berubah. Maharaja sedang memerangi pakatan Shogun di Hakodate di pulau Ezo di utara. Aku yakin mereka semua akan dikalahkan, kerana mereka semua, pakatan Shogun yang mempertahankan sistem samurai itu, sudah kekurangan sumber manusia. Senjata mereka juga kurang ampuh berbanding tentera Maharaja."
"Ryouji, sertai pertubuhanku. Kita ubah negara ini. Fukoku kyohei!"
"Fukoku kyohei?" Ryouji bertanya kehairanan. "Ya, kayakan negara dan kuatkan pertahanan. Pertubuhan ini mendukung prinsip sedemikian. Setiap nyawa yang bangsa ini miliki, kita hargai dan asah kemahiran mereka, hanya untuk itu."
"Sebentar, Takasaki-san. Menyertai pertubuhanmu? Untuk apa Takasaki-san?" Ryouji bertanya dalam keterpingaan.
"E to, tidak apa-apa. Nanti akan kujelaskan lagi." Takasaki menyedari dia terlalu teruja menerangkan sejarah sehingga tidak sedar mempelawa Ryouji menyertai pertubuhannya pula. Sabar, sabar. Budak ini baru sahaja kematian bapanya, Takasaki. Berilah dia ruang bernafas dahulu.
"Buat pengetahuanmu, Ryouji, rumahku yang akan engkau sertai ini ialah rumah perlindungan yang didirikan pertubuhanku. Engkau akan belajar pelbagai perkara bagi meneruskan kehidupan, termasuk seni kaminari-no-kaze yang diciptakan bapamu itu. Aku fikir hanya dengan pendidikan sahaja dapat mengubah nasib bangsa ini. Engkau belum pandai membaca bukan?"
"Selain hiragana dan katakana, aku tahu membaca dua ratus kanji sahaja."
"Kau patut tahu lebih dari itu. Bukan setakat itu, kau akan belajar bahasa asing seperti Belanda dan Inggeris. Aku punya perpustakaan yang menempatkan buku-buku dari England dan Belanda."
YOU ARE READING
Kaisenjyo
Historical FictionSatu peristiwa pembunuhan membawa Ryouji dan adik perempuannya kepada kehidupan baru, di sebuah rumah perlindungan. Peristiwa demi peristiwa yang menyusul memberi petunjuk yang membawa kepada pembunuh bapanya. Kehidupan di rumah perlindungan itu jug...