Bab 25

7 2 0
                                    

"Takasaki-san, siapakah Tsugiyama?

Takasaki agak tersentak mendengar soalan Ryouji yang tiba-tiba. Dia baru sahaja pulang bersama Chisato dari kampungnya dan terus bertemu Takasaki di pejabat.

"Dia bekas anak muridku sewaktu aku berkhidmat kepada Hamada. Mengapa engkau bertanya, Ryouji?"

"Ketika aku di kampung Chisato, aku terserempak dengannya. Dia mahu menangkap Chisato. Katanya Chisato telah membunuh rakannya. Sefaham aku, dari kisah Chisato, dia cuma menyelamatkan Chinami dan Chiho dari mereka kerana mereka mahu menjual adiknya sebagai karayuki. Dia tiada pilihan dan harus pantas, jika tidak orang-orang di situ akan menangkap dia dan adiknya. Mungkin dalam proses bergegas itu dia tidak sengaja membunuh mereka."

Takasaki teruja mendengarnya. Dia maklum yang keluarga Yoshitsugu punya hubungan dengan sindiket pemerdagang karayuki selepas dia meninggalkan Hamada, dan dia juga ada mendengar berita Tsugiyama dihantar Hagiura sebagai pemerhati kepada sindiket itu. Perkhabaran Ryouji itu membuktikannya. Takasaki sendiri ada bertemu Tsugiyama ketika menyelamatkan Chisato dan adik-adiknya, namun pada ketika itu dia tidak faham mengapa Tsugiyama berminat untuk menangkap Chisato dan adiknya.

Apa yang dibuatnya lagi di Kisennuma? Aku dengar dia merompak di Nakasendo selepas Hagiura memecatnya tahun lepas. Takasaki kebingungan.

Tsugiyama adalah anak murid kedua Takasaki. Kemahiran berpedang kaminari-no-kazenya adalah kedua terbaik selepas Saitou. Selepas dia meletak jawatan, Tsugiyama berkhidmat sebagai mata-mata kepada anak Hamada iaitu Hagiura. Saitou pula diambil oleh Hamada.

Mungkin di sepanjang ketiadaannya, Tsugiyama telah menambahbaik kemahiran berpedangnya. Mungkin dia belajar dari Saitou? Aku tidak tahu, bisik Takasaki.

"Aku tidak mewajarkan pembunuhan yang dilakukan Chisato jika benar, namun mungkin dia juga terpaksa. Maruah adiknya perlu dibela, dia tiada pilihan. Dia juga pasti dibelenggu rasa bersalah. Ryouji, apa telah berlaku pada kamu berdua semasa bertemu Tsugiyama?"

"Dia mahu menangkap Chisato, dan aku menghalangnya. Pergerakan Tsugiyama pantas dan dia tahu selok-belok kaminari-no-kaze. Aku terpaksa mengeluarkan jurus yang hanya kufahami secara teori, iaitu jurus ketiga dan keempat. Namun katanaku tidak dibuat untuk disesuaikan dengan jurus itu. Aku hampir ditewaskan ketika seekor burung hayabusa datang berteriak, dan dia berhenti tiba-tiba seraya beredar seperti bergegas mengejar sesuatu yang amat mustahak."

"Takasaki-san, apa tujuan lain penjinakan hayabusa?" Ryouji mengalih topik.

"Yang aku tahu, ia dijinakkan untuk tujuan berburu, dan memintas burung merpati yang dihantar sebagai pengutus surat oleh pasukan musuh dalam peperangan. Ryouji, maaf aku ingin tahu, engkau sudah pandai membacakah?"

"Aku masih hanya mampu membaca dua ratus kanji sahaja."Jawab Ryouji mendatar.

"Ryouji!" Takasaki menempik, Ryouji sedikit terkejut. Takasaki tiba-tiba berang, matanya merah menyala seperti daun momiji di musim luruh.

"Engkau perlu belajar membaca! Shinji, ke mari masuk!"

Shinji masuk dengan tersengih-sengih. Dia yang mengadu kepada Takasaki yang Ryouji memintanya membacakan kanji-kanji tertentu di perpustakaan. "Ajar Ryouji membaca! Sebelum musim panas, aku mahu dia hafal dua ribu kanji. Ajarnya mulai hari ini! Dua ribu kanji, atau lebih. Lebih banyak lebih bagus!"

Dua ribu atau lebih? Takasaki-san!

"Ryoukai, Takasaki-san!" Shinji tersengih lagi, kali ini memandang Ryouji. Habislah engkau Ryouji!

KaisenjyoWhere stories live. Discover now