Bab 38

2 0 0
                                    

"Shinji! Shinji!" Ryouji memanggil Shinji, sambil mengendong Hisamiko dengan kakinya masih terjengket-jengket kesan luka dipedang orang-orang Shizuo semalamnya.

"Aku di sini!" Shinji sedang duduk. Kakinya terseliuh setelah tergelincir sewaktu berlari menuruni bukit itu. Dia sedang duduk berlunjur dan bersandar pada sebatang pokok, sambil memandang sungai kecil yang mengalir tenang di hadapannya.

"Mujurlah, kalian selamat. Maaf aku tidak dapat mengejar kalian. Kakiku tercedera. Ryouji, bagaimana denganmu? Bagaimana kamu bertemu Hisamiko?"

"Aku baik Shinji. Aku menemui Hisamiko di lereng. Shinji, apa yang telah berlaku?"

"Ryouji, maafkan aku, tapi engkau harus percayakan kata-kataku. Engkau telah menyerang kami berdua dan kami terpaksa melarikan diri!"

"Menyerang kamu berdua? Shinji, benarkah apa yang engkau perkatakan?"

"Benar Shinji. Aku tidak berbohong, sungguh. Ryouji, apakah engkau sedar ketika itu?"

"Aku tidak ingat apa-apa. Ceritakan padaku lagi apa yang engkau lihat."

"Pergerakanmu sungguh pantas. Lelaki berlilit kepala itu nampak lebih berpengalaman darimu. Namun ketika engkau memasuki jurus kelapan, seekor hayabusa terbang dekat dan mengibas-ngibas sayapnya. Sejak saat itu, kelajuan engkau meningkat dan lelaki itu kelihatan semakin tertekan dalam pertarungan. Dia lebih banyak mengelak dari sebelumnya, sehingga pedangmu mematahkan tulang bahunya." Shinji menerangkan dengan terperinci. Matanya tajam. Disebabkan itulah Takasaki menghantarnya mengiringi Ryouji. Kerana dia melihat dengan jelas dan menerangkan dengan perincian yang jitu. Takasaki tahu, dari pengamatannya di gelanggang, bahawa Ryouji tidak sedar ketika melakukan jurus tersebut.

"Kemudian engkau menghunus pedangmu ke arah Hisamiko. Aku tidak sedap hati, lantas pergi ke hadapannya demi melindunginya. Namun engkau tiba-tiba menghayun pedangmu ke leherku. Mujur sahaja Hisamiko pantas menolakku ke tepi. Kemudian engkau menghayun ke arahnya pula dan dia mengelak.

"Hisamiko menasihatiku agar melarikan diri, dia merasakan engkau bukan lagi engkau, Ryouji. Dari pengamatannya, anak matamu membesar seperti dirasuk. Kami melarikan diri darimu. Aku terlalu takut sehingga terlupakan Hisamiko di belakangku dan berpisah arah darinya. Kemudian aku tersampuk akar dan kakiku terseliuh."

Hisamiko tertidur keletihan di dalam kendongan, tidak mendengar kata-kata Shinji. Ryouji tersentak mendengar kata-kata Shinji. Dia benar-benar tidak tahu apa yang telah berlaku. Tidak pernah terlintas di fikirannya untuk mencederakan mereka, lagikan Hisamiko. Tidak sekali-kali! Dia menepuk kepalanya berkali-kali, memarahi dirinya sendiri.

"Ryouji, sungguh aku tidak pernah melihat kepantasan sebegitu, dan engkau terbang. Apakah ia jurus kesembilan seperti yang diperkatakan Takasaki?"

"Aku tidak tahu, Shinji. Semua ini sungguh mengelirukan." Ryouji melepaskan keluhan panjang. Dia menutup mukanya dengan kedua-dua belah tangan, cuba menghadam apa yang telah berlaku. Siapa yang mengawalku? Bagaimana aku boleh tidak menyedarinya?

Matahari masih belum mencecah tegak di kepala, dan mereka sudah menghadapi perkara yang ganjil pada hari itu.

**

"Ryouji, aku fikir mungkin kita harus belajar menunggang kuda."

"Aku pun fikir begitu. Amat penat sebenarnya berjalan kaki begini. Lagikan pula kita berdua tercedera."

Namun siapa yang boleh mengajar kami? Kudapun kami tidak miliki. Mungkin aku harus mencadangkan kepada Takasaki.

Ryouji dan Shinji saling memapah, dengan kaki masing-masing yang tercedera menjadi kaki ketiga di tengah mereka, sedang Hisamiko memerhati sekeliling sambil dibantu Azuchi. Banyak perkara yang mahu dibincangkan dengan Ryouji namun dia memendam. Mungkin aku perlu tunggu sehingga kami sampai di rumah, fikirnya.

KaisenjyoWhere stories live. Discover now