Bab 8

19 3 0
                                    

"Okuhida-san."

"Hanya Ryouji. Boleh aku memanggilmu Kobato?"

"Hai, douzo. (Ya, silakan)"

"Otou-san memberitahu kami engkau dari utara Hidagawa. Apa telah terjadi pada ibubapamu?" Kobato menyoal langsung, tanpa mempedulikan sama ada perkara itu pahit buat orang yang disoalnya.

"Ibuku sudah lama meninggal akibat sakit. Bapaku pula mati dibunuh beberapa hari lepas." Ryouji menjawab, nadanya mendatar, seperti sudah mulai belajar menerimanya.

Kobato terdiam, agak lama.

"Aku tidak tahu siapa yang melakukannya. Dia disumpit fukiya."

"Maafkanku bertanyakan soalan begitu."

"Tidak mengapa Kobato."

"Kedua ibubapaku juga mati dibunuh. Rumah kami dibakar," Kobato bercerita tanpa disoal, selamba dan mendatar. Air matanya seolah-olah sudah lama kering.

Dibakar? Mengapa sebegitu kejam?

Dia menyambung, "Rumahku terletak di Shinagawa. Keluargaku pesawah. Kami tidak membayar cukai kepada Hamada-sama. Bukan kami tidak mahu tetapi hasil kami sedikit. Kami tidak mampu membeli baja berkualiti atau membina tali air yang cukup kerana wang kami banyak dihabiskan pada cukai."

"Suatu malam aku bangun dan menyedari rumahku sudah marak. Ibu dan bapaku mati kelemasan asapnya. Aku tidak tahu angkara siapa, namun firasatku kuat mengatakan ia angkara Hamada-sama. Tempoh hari sebelumnya dia telah menghantar wakil mengingatkan kami untuk membayar cukai. Aku berusia tiga tahun pada waktu itu namun aku sudah faham erti cukai, kerana setiap hari ibu dan bapaku bertengkar berkenaannya. Ia soal hidup dan mati kami."

Hamada si bangsat itu lagi! Ryouji menggetap bibirnya menahan marah. Dia bertanya bila serangan itu berlaku?

"Lama dahulu, lebih kurang empat belas tahun lepas. Aku diselamatkan oleh seseorang yang membawa aku berjumpa Takasaki. Aku tinggal dengannya sejak saat itu. Tidak beberapa lama, Takasaki berpindah ke sini dan aku mengikutinya. Pada mulanya hanya kami yang tinggal di sini. Kemudian sedikit demi sedikit penghuninya bertambah. Ramai yang masuk dan keluar sepanjang tempoh itu kerana umur mereka lebih tua dariku. Jika umurmu menginjak lapan belas tahun, engkau perlu meninggalkan tempat ini dan membawa haluanmu."

Ryouji menyedari Kobato lebih tua darinya, dalam empat tahun. Mungkin fizikalnya yang kecil, atau fizikal Ryouji yang jauh melepasi umurnya.

"Bapaku juga diserang orang-orang Hamada dahulu sebelum tiba-tiba disumpit fukiya," Ryouji membuka kisahnya.

"Aku bilang fukiya itu juga angkara Hamada. Dia amat bijak. Perlukan siasatan terperinci untuk membuktikannya." Kobato memberikan pandangannya, dia menyambung "Tahun hadapan aku akan meninggalkan tempat ini. Aku mahu mencari bukti. Sehingga sekarang, aku masih ragu-ragu sama ada kebakaran itu angkara Hamada selagi tidak ada buktinya."

Ryouji merenung kesakitan di dalam mata Kobato. Dia faham amat. Sakit yang sama, mungkin lebih lagi dirasai Kobato yang lebih lama kehilangan orang tuanya berbanding dirinya. Dia juga ingin mencari bukti yang boleh mensabitkan Hamada dengan pembunuhan-pembunuhan itu.

Di dalam bilik itu ada dua katil dua tingkat. Ya, katil dua tingkat, di Jepun pada zaman itu. Seperti banyak peralatan di rumah perlindungan itu, kebanyakannya dipelajari atau dibeli dari pedagang Barat. Takasaki dan Miura cuba bereksperimentasi dengan pelbagai peralatan dari Barat di rumah itu. Ryouji ditempatkan di katil atas Kobato. Sementara itu di sebuah lagi katil dua tingkat, di bahagian bawahnya, seorang budak lelaki sebaya Ryouji yang lebih rendah fizikalnya dari Kobato, sedang membaca buku yang kecil. Ryouji mendekati remaja itu dan bertanyakan namanya.

KaisenjyoWhere stories live. Discover now