Mereka bertolak awal pagi kerana siang amat pendek dan rombongan pedagang tersebut mahu sampai ke shukuba atau hentian seterusnya sebelum malam.
Hari tersebut cerah. Laluan Nakasendo yang dilalui pada hari ini tidak lagi dikelilingi gunung-ganang yang tinggi, dan suhunya tidak lagi mencengkam, ditambah dengan cuaca yang baik. Berkurangnya gunung-ganang menandakan mereka sudah menghampiri Tokyo. Pekan nelayan itu mungkin dalam sehari setengah perjalanan lagi dari situ. Tokyo adalah ibu kota baharu Jepun selepas Maharaja berpindah dari Kyoto ke sana pada musim panas yang lalu.
Ketika hampir tengahari, mereka ditahan sekumpulan perompak bersenjatakan pedang samurai.
"Serahkan barang daganganmu dan kamu akan selamat." Seorang dari mereka berbadan sedang dan pendek, seperti ketua mereka, bersuara sambil mengacu katananya. Dua orang, barangkali pengikutnya berdiri di kiri dan kanan lelaki itu sambil memeluk tubuh.
Kobato hanya melihat, tidak mahu masuk campur urusan mereka. Dia menunggu pengawal-pengawal pedagang yang dua orang itu mengendalikan keadaan, jika tidak untuk apa mereka diupah.
"Kami tidak akan menyerah diri." Salah seorang pengawal melompat turun dari kudanya. "Suzuki, ayuh! Kobato, dan kalian, biar kami yang uruskan." Pengawal itu yang bernama Katsuzawa meminta rakannya, Suzuki turun dari kuda, dan mengarahkan Kobato dan ahli rombongan beredar dari situ.
"Tamatkan riwayat mereka." Ketua perompak mengarahkan anak buahnya yang dua orang. Kobato dan rombongan berlalu pergi. Bunyi desingan pedang menyusul di belakang mereka.
"Nanti, kalian! Mahu ke mana? Aku belum habis berbicara." Ketua perompak lekas menahan mereka yang bergerak meninggalkan lokasi itu. Kobato tersentak. Pengawal yang dua orang sedang di belakang bertarung. Siapa yang akan menguruskan lelaki ini?
Pengendera kereta kuda yang bernama Tokizawa itu memandang Kobato, riak wajahnya mengharapkan Kobato menguruskan ketua perompak itu. Kobato sedikit keberatan, kerana dia benar-benar tidak mahu campur tangan. Akan tetapi melihatkan mereka yang tidak tahu berpedang, membuatkan dia bersimpati. Tambahan mereka telah membantunya meneruskan perjalanan bahkan membayar penginapan dan makanan di onsen jigokudani semalam. Kobato merasakan bahawa dia perlu membalas budi.
Dia mengangguk kepalanya sedikit sambil memandang Tokizawa, dan memaling muka mengadap ketua perompak.
"Namaku Kozue Kobato. Siapa namamu?" Kobato bertanya ketua perompak.
"Aku Ryuzen. Hanya Ryuzen."
Kobato menarik keluar katananya yang tidak bermata itu. Takasaki yang menempanya. Takasaki tidak membuat pedang bermata untuk anak muridnya, dikhuatiri mereka membunuh sesuka hati jika dikuasai perasaan. Jika mereka mahu pedang bermata, mereka harus menempanya sendiri selepas meninggalkan rumah perlindungan.
Mereka berpusingan menanti serangan. Pergerakan Ryuzen pantas, sehingga memaksa Kobato menganjak ke jurus lapan. Ryuzen nampaknya tahu kaminari.
Namun Kobato masih dapat menewaskannya. Ryuzen cedera di bahagian rusuk selepas menerima tetakan Kobato tidak lama selepas mula bertarung.
"Beredar sekarang!"
Ryuzen melarikan diri sambil memegang rusuknya, disusuli dua pengikutnya.
"Terima kasih Kobato. Aku pasti akan membalas budimu suatu hari nanti."
"Doumo. Betsu ni, Tokizawa-san. Engkau telah membayarkan penginapanku semalam bahkan menunjukkan jalan kepadaku. Terima kasih padamu juga." Kobato menunduk hormat. Dia kemudian memandang Suzuki dan Katsuzawa, dua pengawal mereka. "Kalian tidak apa-apa?"
YOU ARE READING
Kaisenjyo
Historical FictionSatu peristiwa pembunuhan membawa Ryouji dan adik perempuannya kepada kehidupan baru, di sebuah rumah perlindungan. Peristiwa demi peristiwa yang menyusul memberi petunjuk yang membawa kepada pembunuh bapanya. Kehidupan di rumah perlindungan itu jug...