Awal musim bunga, 1871 (lapan bulan selepas Ryouji pulang dari lembah Okuhida)
"Ryouji, setakat ini sahaja kesemua lapan jurus kaminari-no-kaze." Takasaki mengujar selamba. Dia baru sahaja menghabiskan separuh kedua dari sukatan jurus kelapan yang rumit itu. Separuh pertama telah dikuasai Ryouji selepas dia pulang dari Kisennuma awal tahun lepas.
Ryouji terkejut beruk mendengar kata-kata Takasaki.
"Takasaki-san, bukankah ada sepuluh semuanya? Bagaimana dengan dua lagi?"
"Miura tidak memberitahumukah?"
Ryouji cuba mengingat. Ya! Aku baru teringat.
"Aku tidak mampu mengajarnya. Dua jurus terakhir adalah eksklusif, hanya dapat dicapai puakmu disebabkan kepantasan hayabusa yang kalian miliki. Namun untuk mencapai itu, engkau perlu menguasai lapan jurus pertama itu terlebih dahulu."
"Ryouji, carilah dua jurus terakhir itu melalui kembara. Aku akan menghantar kamu dan Shinji untuk satu tugasan Kogen."
Antara Shinji dengan Kobato, aku lebih cenderung memilih Kobato kerana dia lebih pandai bertarung. Namun aku bilang aku tiada pilihan sekarang. Tsuneki terlalu muda. Kobato tiada lagi di sini, fikir Takasaki. Lagipun aku ada sesuatu yang aku ingin Shinji lakukan untuk Ryouji.
Takasaki menarik sesuatu dari dalam kabinet di belakangnya. Dia meletakkan di atas meja di depan mereka sebilah pedang yang lengkap bersarung.
"Nama pedang ini Saishi-tou (benang halus). Aku telah meminta Shinji membuatkannya untukmu. Ia tidak bermata, dan bukan untuk membunuh. Ia pedang paling ringan namun paling kuat dan keras di dunia, setelah dicampurkan sejenis resin yang aku beri kepada Shinji. Tetakannya jika dilakukan betul, mampu mematahkan tulang dan memecahkan pedang lawan. Namun engkau harus kuat dan cukup pantas. Ia hanya bergantung kepada kekuatan dan impak dari kepantasanmu kerana ia amat ringan.
Ambil pedang ini, Ryouji dan jayakan misimu."
**
Takasaki memanggil Shinji masuk dan menyambung penerangannya.
"Ryouji, Shinji, dalam misi ini engkau mungkin perlu membunuh jika mereka terlalu berbahaya, demi melindungi nyawa kalian. Namun aku tidak menggalakkannya. Mengelak selagi boleh."
"Aku menghantar kalian di bawah mandat Kogen yang secara rasmi sekarang menjadi proksi Maharaja. Maka jika kalian membunuh kerana melindungi diri, Kogen akan melepaskan kalian meskipun kalian belum menjadi ahli rasminya. Namun itu semua bukanlah alasan untuk kalian membunuh sewenang-wenangnya. Kekal berpegang kepada matlamat misi, itu lebih utama. Dan kalian juga tidak akan terlepas dari perbicaraan kami jika kalian membunuh."
"Ryouji, Shinji, nyawa kalian juga mungkin melayang dalam misi ini." Takasaki mengingatkan mereka akan risiko yang bakal dihadapi. Dia memandang mata Ryouji dan kemudian Shinji, mengamati reaksi mereka.
Shinji mula gelabah. Aku tidak mahu mati sebelum ke Eropah! Ryouji melihat Shinji gugup. Takasaki membaca mereka.
"Shinji, engkau takutkah?" Takasaki bertanya selepas membaca Shinji.
"Aku tidak memaksamu Shinji. Terpulang kepada engkau. Ryouji, kamu pun. Jika kamu tidak bertindak, kanak-kanak perempuan itu akan dilacurkan. Mahukah kalian membiarkannya begitu sahaja? Ryouji, bagaimana jika Hisamiko menerima nasib sedemikian?" Takasaki cuba memancing mereka.
"E to...aku bukannya takut, Takasaki-san. Cuma aku risau aku tidak berkesempatan melihat benua Eropah jika aku mati dalam misi ini." Shinji memberitahu. Itu adalah impian seumur hidupnya.
YOU ARE READING
Kaisenjyo
Historical FictionSatu peristiwa pembunuhan membawa Ryouji dan adik perempuannya kepada kehidupan baru, di sebuah rumah perlindungan. Peristiwa demi peristiwa yang menyusul memberi petunjuk yang membawa kepada pembunuh bapanya. Kehidupan di rumah perlindungan itu jug...