Bab 30

7 2 0
                                    

Chisato merenung wajah Ryouji lama, seraya mengalirkan air mata. "Baka! (bodoh!)" dia menjerit lalu meninggalkan Ryouji, berlari menuju ke hutan buluh sambil menekup mata dengan lengannya, sambung tangis di sana.

Maafkan aku Chisato! Hontou ni!

Mendengarkan jeritan Chisato itu, seorang demi seorang mula berkumpul di teratak kerikil. Hisamiko sedang duduk di taman bonsai dan tidak berganjak sedikitpun, merenung Ryouji dari jauh. Ryouji memandangnya. Namun Hisamiko pantas memalingkan mukanya sambil mendengus 'huh!' penuh meluat, merajuk nampaknya. Aku akan memujuknya nanti, bilang Ryouji. Namun bagaimana harus aku memujuk Hisamiko yang sudah berusia sebelas tahun itu? Dia bukan lagi budak kecil, mungkin lebih sukar.

Tsuneki yang mula-mula keluar dari rumah lalu memeluk Ryouji. "Ryouji engkau ke mana? Mengapa engkau tidak memberitahuku?"

"Maafkan aku Tsuneki. Nanti kita berbual panjang di bilik, ne?" Ryouji membuat janji dengan Tsuneki.

Shinji pula tercegat seperti batu sambil menyilang lengannya.

"Panjang umurmu Ryouji. Bagaimana kakimu?" mata Shinji pantas menangkap luka berbalut di kaki Ryouji.

"Hanya luka kecil."

"Ditembak? Atau dihiris?"

"Nanti aku kisahkan."

Azusa mengintai dari dataran luas. Dalam hatinya menjerit 'baka' juga, namun masih ada buih-buih kegembiraan. Aku sudah dapat meneruskan hidupku sehari-hari seperti biasa, hanya dengan melihatmu Ryouji!

Ryouji datang berjumpa Takasaki di pejabat.

"Takasaki-san, maafkan aku. Aku terlalu mengikut emosi. Adakah engkau masih marah denganku?"

"Aku masih marah. Amat! Ryouji, ke sini sedikit muka engkau. Mari!" Takasaki meminta Ryouji menyuakan mukanya sedikit. Mereka sedang duduk bersila di dalam pejabat, sambil dipisahkan sebuah meja. Takasaki mahu menampar mukanya menggunakan kedua-dua belah tangan seperti memukul gendang taiko.

Dia mengangkat tangannya. Ryouji bersedia menerima hukuman, seraya menadah muka dan memejamkan matanya. Dia sedar kesalahannya. Hukuman sebegini lebih baik dari seppuku.

"Pap!" kedua-dua tangan Takasaki itu hinggap di bahu Ryouji. Dia memandang Ryouji tepat ke dalam anak matanya. Air matanya mengalir menuruni wajah tua yang hanya berkedut sedikit.

"Bodoh engkau Ryouji. Aku amat risaukan engkau!"

Ryouji tersentak melihatkan Takasaki. Pertama kali dia melihat Takasaki menangis. Patutlah dia mahu berjumpa aku di dalam pejabat sahaja!

Setelah keadaan kembali reda, Ryouji memulakan bicara tentang kejadian di Furukawa.

"Sonzaemon mengaku dia terlibat membunuh bapaku. Motifnya dengki. Namun aku tidak membunuhnya meskipun aku mampu. Aku hanya mahu dia meminta maaf dan menyedari kesalahannya."

Aku sudah agak, getus Takasaki di dalam hati. Disebabkan itu aku amat mempercayaimu Ryouji. Aku tahu benar engkau tidak akan melakukannya. Aku mempercayai pertimbanganmu.

"Takasaki, aku mahu siasat Hamada lebih lanjut. Kesemua perniagaan keluarga Yoshitsugu. Mereka sebuah keluarga yang amat membingungkan. Mengelirukan. Bahkan jaringan orang-orang mereka di mana-mana."

"Mengapa Ryouji? Adakah kerana didorong oleh kematian bapamu?"

"Ia salah satu sebab. Namun aku dapati sejak menghuni di sini, ramai di antara kami menjadi mangsa mereka. Ogasawara, Kobato, Tsuneki, dan juga kami Okuhida. Bahkan bukan setakat mereka, orang-orang di kampung Tsuneki juga menjadi mangsa taun. Aku juga mendengar berapa banyak rumah petani di wilayah Shinagawa dibakar atau mereka dihalau kerana tidak menjelaskan cukai kepada Hamada."

KaisenjyoWhere stories live. Discover now