Penghujung musim luruh, 1866.
Pada ketika ini, Chisato baru beberapa bulan menghuni rumah itu. Dia mahu mencari tempat bersendirian, dan melayani perasaannya, jauh dari adik-beradiknya. Dalam mencari, dia mendengar suara seorang remaja lelaki, suara itu cukup dikenalinya. Namun intonasinya berlainan sama sekali seperti yang biasa didengarinya.
"Bangsat engkau Takasaki. Bangsat, bangsat, bangsat...!" Kobato memukul-mukul pokok buluh itu dengan kayu kendo.
"Hanya kerana satu peristiwa itu, engkau terus menghukumku. Aku cuma mahu belajar jurus ketujuh dan kelapan sahaja. Engkau terus mendiamkan diri. Bangsat orang tua itu. Orang tua mandul!" Dia mencarut-carut dan memaki Takasaki.
Selepas penat memaki, dia duduk dan ketawa berseorangan. Tempat itu ialah tempat di mana dia akan bertarung dengan Takasaki dan membunuhnya beberapa tahun kemudian.
Di balik celah-celah buluh itu, Chisato mengintainya, kemudian meninggalkan tempat itu dalam keadaan menggigil ketakutan. Mengapa Takasaki menyimpan orang gila di sini?
**
"Dia pernah menawarkan cintanya kepadaku, namun kutolak mentah-mentah. Aku fikir dia tidak waras." Chisato menamatkan imbas kembalinya.
"Engkau tidak memberitahu Takasaki-san?"
"Aku sudah memberitahunya. Namun dia berdegil mahu mengekalkan Kobato di sini. Aku tidak pasti apa alasannya."
Dan mengapa Takasaki-san tidak memberitahuku? Takasaki-san, aku benar-benar tidak memahamimu.
Malam itu, Ryouji mendengar tangisan Mariko di dalam pejabat, yang sengaja dibiarkan gelap.
Hisamiko, dan kembar Ogasawara juga bersedih. Namun memori mereka dengan Funazuki bersaudara dan Takasaki tidaklah banyak.
Shinji bertanya kepada Ryouji bagaimana rumah ini diteruskan tanpa Takasaki.
"Aku tidak tahu, Shinji. Aku dan Mariko-san menunggu arahan dari Kogen. Takasaki-san juga mungkin ada mewasiatkan sesuatu kepada Mariko-san."
Shinji juga merasa kehilangan Takasaki namun tidak sekuat Tsuneki. Mungkin kerana dia sudah biasa tanpa ibu bapa. Tsuneki pula, memandang Takasaki sebagai pengganti bapanya. Maka kehilangan Takasaki lebih berat dirasakan oleh Tsuneki.
Shinji sekali-sekala teringat akan Saki. Saki kerap berbual dengannya belakangan ini, di perpustakaan, dan di bengkel relau. Namun tidak pula dia tahu sebabnya. Rasanya baru semalam dia berbual denganku di perpustakaan, dan bengkel relau. Dan hari ini, dia sudah pergi selama-lamanya. Bagaimana dengan pertemuan sesingkat ini memberi kesan padaku? Apakah aku kesunyian?
Suasana suram menyelubungi rumah perlindungan itu selama seminggu lebih, sebelum emosi penghuninya masing-masing mulai beransur reda. Namun sebahagian dari mereka mula berubah ketara sikapnya.
Yang paling ketara adalah Tsuneki.
**
Mariko pergi ke lokasi tama-no-iwa milik Takasaki di kuil Shinto lama, mahu melihat keadaannya. Meskipun Takasaki sudah tiada, batu itu masih di situ, cuma sedikit terhakis.
Dia berdiri lama, mengingati pesan Takasaki. Ketika mendengar pesan itu beberapa tahun lalu ketika mereka baru menempati kawasan itu, Takasaki berdiri di sebelahnya, menunjuk ke arah batu mistik itu.
"Mariko, selepas aku mati, batu ini juga akan beransur-ansur reput dan runtuh. Selepas ia runtuh sepenuhnya, rumah perlindungan ini akan terdedah kepada penceroboh dari dunia luar. Jika aku mati dahulu sebelummu, hubungi Kogen segera dan berpindah lekas dari sini, demi keselamatanmu dan penghuni lain."
YOU ARE READING
Kaisenjyo
Historical FictionSatu peristiwa pembunuhan membawa Ryouji dan adik perempuannya kepada kehidupan baru, di sebuah rumah perlindungan. Peristiwa demi peristiwa yang menyusul memberi petunjuk yang membawa kepada pembunuh bapanya. Kehidupan di rumah perlindungan itu jug...