Bab 3

33 6 0
                                    

Seekor burung gagak menjatuhkan sebatang kayu kecil berwarna di halaman sebuah rumah di kota Kawamoto di dalam Wilayah Shinagawa, seraya berteriak nyaring memanggil seseorang.

Seorang lelaki berbadan tinggi dan kurus berjalan keluar dari rumah itu. Dia mengenakan haori berwarna kirmizi bercorak di atas kimono berwarna biru gelap yang dipakainya, dua bilah pedang samurai tersisip kemas di pinggang sedang rambut hitamnya panjang diikat kemas ke belakang. Dia memakai gincu dan bersolek tebal seperti seorang geisha. Wajahnya seperti seorang wanita yang hodoh, dengan muka cengkungnya dan rahang yang petak, tetapi dengan badan tinggi sebegitu amatlah mustahil untuk dikesilapkan dengan seorang wanita.

Dia menguis-nguis kayu itu dengan kakinya. Melihat warna batang kayu itu yang merah tanpa jalur, dia maklum bahawa misinya telah berjaya, dengan sekurang-kurangnya satu korban dari kalangan orang-orang yang dihantarnya, sama ada Sairenji atau Genji. Sasarannya telah berjaya dihapuskan. Sama ada sasarannya dihapuskan secara kebetulan atau orang-orang yang dihantarnya, itu tidak penting dan tidak boleh dinyahkodkan dari sebatang kayu sebegitu.

Gagak peliharaannya itu tidak boleh mengajuk bahasa manusia maka komunikasi adalah menggunakan kod warna kayu: warna merah bermakna misi berjaya namun ada orangnya yang mati, warna hijau berjalur merah bermakna misinya berjaya dan tiada orangnya yang mati, manakala warna hijau bermakna misinya gagal dan tiada orangnya yang mati.

Dia mendepangkan tangan kirinya, gagak itu terbang rendah lalu hinggap di atasnya. Dia mengusap-usap jemala gagak itu. "Bagus Kurobi, aku akan menghadiahkan daging lembu untuk santapanmu hari ini." Gagak bernama Kurobi itu berteriak keriangan.

"Saitou!" lelaki itu memanggil pembantunya, seorang samurai.

"Hamada-sama!" pembantunya yang bernama Saitou itu segera datang dan melutut di hadapannya.

"Miura sudah mati. Aku tidak tahu apa nasib Sairenji dan Genji."

Saitou gusar mendengarnya, namun dia mendiamkan diri. Dia tidak mahu Hamada mengesan riak wajahnya. Dia sudah menyangka rakannya itu bukanlah tandingan Miura. Nyawa mereka telah disia-siakan. Dia kesal Hamada mengambil keputusan sedemikian.

"Saitou, sama ada kedua-dua mereka mati atau melarikan diri, aku tidak mahu tahu. Aku mahukan engkau menangkap anak-anak Miura dan membawanya ke sini. Dan juga siasat bagaimana Miura mati. Pergi sekarang!" Hamada mengarah.

"Baik, Hamada-sama. Akan kami uruskan."

Saitou mengeluh sendirian. Malang kamu, Sairenji dan Genji! Jika aku yang dihantar dahulu oleh Hamada-sama, mungkin kamu berdua masih hidup. Dia memejam mata, bertafakur seketika di atas kematian rakan samurainya itu. Barangkali, salah seorang dari mereka masih hidup? Harapnya begitu.

Sebentar, yang jelas adalah kematian Miura. Kematian Genji dan Sairenji masih boleh dipersoalkan selagi aku belum menemukan buktinya. Boleh jadi salah seorang dari mereka masih hidup, namun memilih untuk melarikan diri. Terutama Genji itu, yang masih muda dan amat sayangkan nyawanya dan berkali-kali mengadu yang dia tidak gemar menyabung nyawa untuk pekerjaan sebegini. Aku perlu mencari bukti.

Hamada menunggu sehingga Saitou beredar dan hilang dari pandangan. Dia berjalan menelusuri sebuah taman bonsai di hadapan rumahnya, dan mengenang kembali kisah lama. Miura adalah samurai yang pernah berkhidmat dengannya suatu ketika dahulu. Dia berkhidmat hampir tiga dekad dengannya sejak berusia lima belas tahun sebelum mengambil keputusan meletak jawatan secara tiba-tiba enam belas tahun lepas. Dua tahun selepas itu, samurainya yang bernama Takasaki juga turut meletak jawatan. Dia amat buntu memikirkan siapakah yang boleh menggantikan mereka.

Nama Saitou dicadangkan oleh Takasaki. Hamada tidak punya pilihan lain lantas mengambil Saitou sebagai samurainya. Saitou adalah anak murid Takasaki yang paling mahir dan tua dan mewarisi seni berpedang rahsia Kaminari-no-kaze. Sesiapa yang menguasai seni berpedang itu amat Hamada hargai. Ia seni berpedang yang menekankan kepantasan pergerakan. Ia amat penting pada zaman ini untuk membolehkan pahlawan-pahlawan samurai mengelak dari serangan senjata api yang dibawa oleh bangsa gasar dan tidak bertamadun dari tempat matahari terbenam sana, yang memuntahkan butir-butir logam lebih pantas dari mata panah. Senjata yang dinamakan tanegashima itu amatlah digeruni Shogun Tetsugawa sehingga mendorongnya menguatkuasakan dasar Sakoku yang menghalang Barat dari memasuki Jepun kecuali melalui Dejima dan hanya untuk berdagang sahaja. Seni Kaminari-no-kaze dicipta oleh Miura dan Takasaki dan hanya diperturunkan kepada murid-murid mereka sahaja, dan Saitou adalah satu-satunya murid Takasaki yang benar-benar menguasai seni berpedang itu.

KaisenjyoWhere stories live. Discover now