"Saki!"
Saki tidak mengendahkan panggilan Takasaki. Dia cemas. Azusa tidak pulang-pulang dari kuil seberang sejak semalam.
Dia berjalan laju menuju gerbang buluh.
"Takasaki-san, maaf, aku harus pergi menyelamatkannya. Dia satu-satunya ahli keluargaku yang tinggal."
"Saki!" Takasaki tidak mengendahkan kata-kata Saki dan terus menghalangnya, sambil dibantu Mariko.
"Saki, dengari aku. Mereka berdua selamat di kuil Furukawa. Kotobuki sami di situ mengutus surat memberitahuku. Ini." Takasaki menyuguh surat itu kepada Saki.
Saki membaca. Dia terduduk lega selepas mengetahui kakaknya sedang bersama Chisato dalam keadaan selamat.
Takasaki telah menulis surat palsu itu demi melegakan Saki dan mengelakkan lebih banyak masalah timbul apabila lebih ramai ahli rumah itu keluar tanpa kebenarannya. Kotobuki, aku mengharapkan engkau dan Ayame memastikan keselamatan mereka. Maafkan aku!
**
"Sayonara, Hatsuki, Natsuki. Sehingga bertemu lagi kalian."
Selepas masing-masing mengucapkan selamat tinggal, Hisamiko, Shinji dan Ryouji mula melangkah pulang, setelah berehat semalaman di kuil itu.
Azuchi mula menampakkan dirinya di atas mereka, mengekori ke mana sahaja arah laluan Hisamiko. Shinji dan Hisamiko kelihatan tenang, hanya Ryouji yang kerapkali mengelamun sepanjang perjalanan, sehingga Hisamiko menyedarinya.
"Onii-san, engkau tidak apa-apakah?
"Aku baik-baik sahaja, Miko. Engkau tidak perlu risau."
"Engkau mengelamun sahaja hari ini."
Ryouji tidak menjawab. Dia teringat kemarahan yang cuba disimpan sejak semalam. Kemudian dia meluahkannya.
"Miko, mengapa engkau keluar dari rumah berseorangan begini?"
"Aku risaukan engkau, onii-san. Engkau keluar tanpa memberitahuku. Dan aku tidak berseorangan. Aku bersama burung itu." Hisamiko menunjuk ke arah Azuchi.
"Miko, ini misiku. Engkau tidak boleh menyertaiku tanpa kebenaran Takasaki. Engkau masih belum matang melakukan serangan."
"Misi? Onii-san, apa yang engkau perkatakan? Engkau berkhidmat kepada siapa?"
Ryouji tergamam. Dia tidak sepatutnya memberitahu Hisamiko.
"Miko, engkau tidak perlu tahu. Ia antara kami dan Takasaki. Engkau belum matang dalam pertarungan, Miko."
"Onii-san, bukankah kita telah berjanji akan ke mana-mana bersama? Apakah engkau sudah lupa?"
"Aku tidak mahu kehilanganmu Miko. Engkau masih ingat bukan kejadian di hutan Furukawa? Aku rasa lebih baik engkau berdiam di rumah sahaja kerana itu lebih selamat."
"Aku risaukan engkau juga onii-san!. Engkau pulang tercedera dahulu selepas keluar tanpa kebenaran. Engkau satu-satunya ahli keluargaku yang tinggal."
Perbualan mereka terhenti menyedari bunyi ranting patah dipijak. Dari celah-celah semak muncul seorang lelaki berlilit kepala.
"Budak, kita bertemu lagi."
Ryouji teringat lelaki tersebut yang hampir memancung kepalanya semalam. Mengapa dia kembali mencariku?
"Apa yang engkau mahukan kali ini? Beredar dari kami sekarang!"
"Apakah aku layak menerima kata-kata sebegitu, sedangkan engkau yang menyerang kami semalam?
Budak, ayuh ikuti aku dan kamu akan selamat."
YOU ARE READING
Kaisenjyo
Historical FictionSatu peristiwa pembunuhan membawa Ryouji dan adik perempuannya kepada kehidupan baru, di sebuah rumah perlindungan. Peristiwa demi peristiwa yang menyusul memberi petunjuk yang membawa kepada pembunuh bapanya. Kehidupan di rumah perlindungan itu jug...