Shinji melihat bilah Saishi-tou yang diambil dari Ryouji. Dia tersenyum. Dia telah melihat bagaimana Saishi-tou itu menyumbingkan bilah Shizuo. Dia teruja. Kaedah barunya membuahkan keputusan yang tidak disangka-sangka.
Aku hanya mencuba. Resin itu dibenci hayabusa kerana baunya yang tidak boleh dihidu manusia tetapi berbau racun pada hayabusa dan memabukkannya. Apabila resin itu dicampurkan di dalam relau, ia mengubah bilah itu. Kemudian ia hilang seperti wap dan yang tinggal hanyalah besi yang berkilauan, yang ringan tetapi amat kuat. Orang-orang Barat memanggilnya mangkin (catalyst) dalam kitab-kitab kimia mereka. Ia ditambah ke dalam adunan relau dan mengubah cirian besi yang terhasil, namun tidak menjadi sebahagian darinya.
**
Kekalahan yang memalukan pagi tadi masih menghantui Shizuo. Dia berdiri dan termenung di tepi sebuah gaung.
Memalukan! Aku telah dikalahkan oleh seorang budak! Malu, malu, malu! Bagaimana aku membawa mukaku jika Takeo dan Suneo tahu perkara ini?
Shizuo tidak dapat menerima kekalahannya bertarung dengan Ryouji. Dia telah memberitahu Takeo dan Suneo dia akan menangkap Ryouji. Namun apa alasan yang dia boleh berikan sekarang? Ryouji diculik? Atau rakannya datang membantunya? Mereka berdua pasti akan mentertawakanku meski apa alasan yang kuberikan.
Shizuo perlahan-lahan menarik pedangnya dari sarung. Dia bersedia melakukan seppuku sambil terjun ke dalam gaung di hadapannya.
"Nani shite no, ojii-san? (Apa sedang kau lakukan, pak cik?) " kedengaran suara seorang wanita dari belakangnya.
Shizuo memasukkan pedangnya kembali ke sarung perlahan-lahan, seraya menoleh. Seorang gadis, berusia lingkungan dua puluhan, memakai yukata yang lusuh dan bertampalan, sedang berdiri di depannya. Agak cantik, fikirnya. Kulitnya cerah sekali. Dia menggalas bakul berisi cendawan dan sayuran hutan. Di balik gadis itu bersembunyi seorang budak lelaki dalam usia lima tahun. Dia juga berpakaian lusuh dan bertampalan.
"Apa yang kalian lakukan di sini?"
"Kami mencari cendawan liar. Tuan sudah makan?"
Perut Shizuo berbunyi. Mereka berdua tertawa kecil. "Mari, ikuti kami."
Shizuo seperti orang dipukau, menuruti gadis dan budak lelaki itu.
Mereka berjalan menelusuri denai menuju ke sebuah rumah usang di tengah-tengah hutan. Rumah itu hanya berbumbungkan jerami dan tiang-tiang kayunya adalah batang-batang kayu yang tidak dipotong sempurna, seperti bangsal kuda. Di sebelah rumah itu ialah dewan besar yang menempatkan beberapa orang lelaki yang sedang tercedera, terbaring di atas katil-katilnya. Shizuo terperanjat melihatkan seorang lelaki di dalam dewan itu yang sedang duduk di sisi salah sebuah katil, seperti pernah dilihatnya.
"Tsugiyama!"
"Shizuo!" laung lelaki yang sedang duduk itu, sambil menoleh.
"Bagaimana engkau boleh berada di sini?" Shizuo memulakan pertanyaan dahulu.
"Orang-orangku tercedera sewaktu bertarung." Tsugiyama menjawab pendek, tidak meneruskan kata-katanya. Amat memalukan jika dia menceritakan yang mereka telah dikalahkan seorang gadis.
"Dan engkau pula?" Pantas Tsugiyama menyambung dengan soalan agar perbualan tidak tertumpu kepada kisahnya yang memalukan itu.
"Panjang ceritanya." "Aku cuba menangkap seorang remaja yang telah menyerang kami ketika menghantar karayuki. Namun remaja ini sungguh aneh. Dia bertarung menggunakan jurus kesembilan."
"Jurus kesembilan? Bukankah hanya puak Okuhida yang boleh melakukan jurus tersebut?" Tsugiyama mengujar, meskipun ragu. Aku baru sahaja menemui seorang gadis bertopi kon melakukan jurus tersebut. Apakah dia dari puak Okuhida?
YOU ARE READING
Kaisenjyo
Historical FictionSatu peristiwa pembunuhan membawa Ryouji dan adik perempuannya kepada kehidupan baru, di sebuah rumah perlindungan. Peristiwa demi peristiwa yang menyusul memberi petunjuk yang membawa kepada pembunuh bapanya. Kehidupan di rumah perlindungan itu jug...