Bilik hidang itu menjadi bilik mesyuarat mereka pada pagi itu. Ryouji, Shinji, Chisato, Azusa, Hisamiko dan Takasaki sedang duduk mengelilingi meja makan yang besar itu.
"Ohayou (Pagi), kalian. Tujuan aku memanggil kalian semua adalah untuk membincangkan penemuan-penemuan ketika keluarnya kalian dari rumah ini mengganggu urusan Ryouji dan Shinji." Takasaki memulakan kata, sambil menjeling sinis ke arah Chisato, Hisamiko dan Azusa. Muka mereka bertiga merah padam sambil tunduk malu, sementara Shinji ketawa kecil. Ryouji pula hanya tersenyum.
"Sa, hajime yo (Mari mulakan). Ogasawara-san, kami teringin benar untuk tahu apa yang telah berlaku kepadamu. Ceritakan semuanya."
"Selepas Hisamiko keluar dari sini mencari Ryouji, aku mengejarnya. Azusa bertemuku di depan kuil patung Buddha dan dua patung singa dan mengikutku. Seekor hayabusa mendekati kami, dan Azusa mencadangkan kami mengekorinya kerana dia ada melihat Hisamiko dengan seekor hayabusa sebelumnya. Kami mengekori burung itu, namun ia membawa kami kepada Tsugiyama dan orang-orangnya. Hagiura juga ada di situ. Hayabusa itu besar, dan bertenggek di atas lengannya."
"Jika Hagiura berada di situ, dan dengan saiz hayabusa itu yang besar, maka itu Goro, hayabusa mereka. Burung yang sama yang engkau temui di Kisennuma. Teruskan, Ogasawara-san." Takasaki menyampuk. Ryouji teruja mendengarnya. Apa Hagiura dan orang-orangnya buat di sini?
"Mereka mengepung kami. Azusa bertarung menggunakan kaminari-no-kaze jurus pertama tanpa senjata, tiga orang ditumpaskan." Shinji melopong mendengarnya. Hebat!
"Sementara itu seekor hayabusa yang kecil sedikit datang menyerang hayabusa milik Hagiura. Keadaan ketika itu senjakala dan Azusa meminta aku melarikan diri dahulu. Dia menyusul kemudian. Kami terpisah seketika dan bertemu kembali di bawah bukit."
"Kami menemui sebuah pondok dan bermalam di situ. Mereka tidak lagi mengejar kami. Barangkali hayabusa mereka sudah tercedera diserang hayabusa yang lebih kecil itu."
Takasaki teruja mendengarkan kemunculan hayabusa yang kecil ini. Siapa yang menghantarnya? Adakah hayabusa Hisamiko, atau hayabusa Ayame? Ini kerana hanya hayabusa di bawah perjanjian dengan hayabusa-no-kami sahaja yang akan menyerang hayabusa lain, atas arahan pemedang handal yang diiringinya. Mereka tidak akan meninggalkan pemedang handal kecuali atas arahannya.
Pada petang Chisato dan Azusa keluar, salah seorang rakan pengintip Takasaki dari Kogen yang dalam perjalanan ke Furukawa telah memberitahu dia ternampak Hagiura dan orang-orangnya sedang berada di dalam hutan di selatan agak jauh dari rumahnya, sedang berburu. Dia juga ternampak dua orang gadis mengekori seekor burung hayabusa yang agak besar sedang bergerak menuju ke arah mereka. Takasaki mengagak dua orang gadis itu Chisato dan Azusa dan mereka mungkin telah terserempak dengan Tsugiyama dan telah ditangkapnya.
Ketika Takasaki bersiap sedia untuk menjejaki mereka, dia telah terserempak dengan Ayame yang kebetulan melintas di tepi Sungai Miya tidak lama selepas pengintip itu berlalu. Takasaki memberikan cebisan pakaian mereka kepada Ayame untuk dihidu hayabusanya, ketika senja hampir berlabuh. Tidak lama kemudian pada malamnya, dia mendapat surat dari Ayame mengatakan Chisato dan Azusa selamat di sebuah pondok.
Namun esoknya, hayabusa Ayame kembali ke lokasi Chisato dan Azusa dan mendapati Tsugiyama dan rakannya sedang menghala ke situ, lantas Ayame menghantar surat kedua di awal pagi kepada Takasaki menyampaikan berita buruk itu. Dalam surat yang sama Ayame juga memberitahu akan ke lokasi tersebut sendiri menyelamatkan mereka. Takasaki yang melihat Saki tergesa-gesa hendak keluar telah memberikan surat palsu bagi menyedapkan hatinya, berjudi dengan kejayaan bantuan Ayame bagi membawa pulang Azusa dan Chisato ke kuil Furukawa.
YOU ARE READING
Kaisenjyo
Historical FictionSatu peristiwa pembunuhan membawa Ryouji dan adik perempuannya kepada kehidupan baru, di sebuah rumah perlindungan. Peristiwa demi peristiwa yang menyusul memberi petunjuk yang membawa kepada pembunuh bapanya. Kehidupan di rumah perlindungan itu jug...