Bab 12

9 3 0
                                    

Kyoto, 1866.

Ah, bosannya.

Seorang budak lelaki sedang baring di atas rumput di taman di dalam sebuah kuil Shinto yang terletak di atas bukit, istana Maharaja dapat dilihat nun jauh di bawahnya. Kimono yang dipakainya kotor. Mukanya comot. Sudah empat hari dia tidak membaca buku. Bosan sungguh dirasakan. Oh lupa, sudah empat hari juga aku tidak makan.

Dia tidak tahu asal usulnya. Siapa ibu dan bapanya. Dia hanya hidup sedari kecil di sebuah gereja Jesuit selepas dibuang di situ oleh ibunya yang entah siapa. Paderi itu menjaganya, memberinya makan dan minum dan mengajarkannya bahasa asing. Dan dia gemar duduk melepak di dalam sebuah perpustakaan besar di dalam gereja yang menempatkan buku-buku keagamaan dan juga buku-buku berbahasa aneh dengan gambar-gambar menarik. Paderi itu juga mengajarkannya bahasa Inggeris dan Belanda atas desakannya itu kerana dia mahu membaca buku berbahasa itu. Gereja itu adalah yang terakhir di pulau Honshu. Selebihnya berada di Kyushu.

Namun gerakan demi gerakan menghalau Barat semakin kuat di Kyoto, bandar diraja Jepun tempat dinasti Yamato bersemayam. Gereja dipaksa ditutup. Paderi-paderi dihalau keluar dari Jepun. Beberapa hari lepas gereja itu ditutup. Dia tidak lagi dapat makan atau membaca buku. Paderi itu telah meninggalkannya tanpa khabar, tiba-tiba. Dia berjalan, meminta dan meminta. Tiada sesiapapun yang sudi membantu. Perut berkeroncong hari ke hari. Dia teruskan berjalan sehingga menemui kuil ini. Selama empat hari dia hanya minum air di kolam depan kuil.

Aku mahu makan, namun aku tidak berduit. Mungkin aku boleh mengait duit yang dicampak pelawat? Aku akan tunggu sehingga malam.

Malam itu dia memulakan perancangannya.

Dia mencapai kayu kecil yang hujungnya berbentuk cangkuk. Kemudian dia memasukkannya ke dalam peti syiling tempat pelawat mencampak syiling berlubang-lubang. Dikuis-kuis. Ditarik. Satu pun dari syiling-syiling berlubang itu tidak sangkut.

Dia mencuba sekali lagi. Dapat! Satu duit perang. Dia meniru godekan yang sama, kerana difikirkan itulah godekan berhasil. Lagi satu menyangkut. Duit berwarna perak.

Cukuplah. Esok aku kait lagi.

Esoknya, dia cuba menggunakan duit itu membeli makanan. Dia turun dari bukit, menuju gerai penjaja. Hari itu ada matsuri (pesta keramaian) di kaki bukit. Banyak orang berkerumun di situ dan banyak kedai-kedai penjaja dibuka. Dia teringin benar makan takoyaki, kuih yang bulat-bulat itu. Air liurnya meleleh membayangkannya.

Dia nampak kedai takoyaki. Waktu itu masih awal, dan masih belum ada takoyakinya. Dia menunggu dan menunggu. Perut sambung berkeroncong sejak semalam lagi. Namun dikuatkan semangat menunggu. Melihat dan menerawang. Sekian lama menunggu, barulah takoyaki pertama diletak. Dia segera bergegas menghulur duit syiling yang dicurinya. Penjual itu berkata duit syiling itu tidak cukup. Dia hampa.

Aku lapar. Lama sudah aku menunggu. Dia menunggu peluang. Sekali lagi dia berundur. Menunggu sehingga orang mulai ramai.

Dia masuk semula setelah ramai orang mengerumuni pasar sehari itu. Dia cuba mencapai sebekas takoyaki, dan ketika dia senyap-senyap melarikan diri, tangannya dipegang. Dia ditangkap!

"Ojii-san, berapakah harganya sebekas?" lelaki yang memegang tangannya itu bertanya kepada penjaja.

"Dua syiling perak." Lelaki itu selamba mengambil lima bekas takoyaki dan membayarnya.

Kemudian lelaki itu memberikan kesemuanya kepada budak itu.

"Terima kasih, ojii-san." Budak itu makan dengan lahapnya.

"Panggil aku Takasaki-san. Aku Takasaki Nakatsu desu."

"Namaku Shinji. Hanya Shinji."

KaisenjyoWhere stories live. Discover now