Bab 10

17 4 0
                                    

Beberapa bulan berlalu, Okuhida bersaudara semakin betah menyesuaikan diri dengan kehidupan di tempat baru itu. Funazuki bersaudara seperti biasa bersikap dingin dengan Hisamiko sejak pertarungan pengenalan saban hari. Tsuneki masih dengan perwatakan misterinya, dia sering diam namun apabila menemui sesuatu yang diminatinya dia berubah kecoh dan gamat. Dia nampaknya amat meminati perkara-perkara mistik dan seni berpedang, namun kemahirannya masih rendah, dan dia masih di bawah umur dan tidak dibenarkan berpedang oleh Takasaki, maka dia hanya memerhati dan memerhati.

Shinji pula masih dengan buku-buku bertulisan anehnya dan perbualan yang sukar difahami berkenaan negara luar, England dan Belanda. Ogasawara bersaudara menjadi peneman Hisamiko dan seringkali bersamanya ke mana-mana. Hisamiko yang selalu memendam kini semakin banyak berbicara, kerana sikap mereka bertiga yang peramah. Hisamiko dicairkan dengan kelembutan Chisato yang persis ibunya.

Ryouji dan Kobato pula semakin rapat dan sering bertarung di dataran dan menjadi 'panggung wayang' kepada mereka yang lain. Ryouji sedar kemahiran Kobato semakin meningkat. Ryouji tidak lagi boleh berlakon kalah. Kini, walaupun dia bersungguh, keputusannya masih seri. Kobato seorang yang berusaha keras. Kobato sedar dia hanya ada lagi beberapa bulan berbaki di situ, iaitu hanya beberapa bulan untuk dia meraih sebanyak mungkin ilmu dari Ryouji dan Takasaki, dan jurus kaminari-no-kaze. Nyawa ibu bapanya harus dituntut bela secepat mungkin.

Sehingga sekarang masih belum diadakan sebarang pertarungan rentas jantina. Ia dilarang oleh Takasaki. Funazaki bersaudara ingin sangat bertarung dengan Ryouji. Namun sebelum Ryouji, mereka harus mencuba Kobato dahulu, sekurang-kurangnya sebelum dia meninggalkan rumah ini. Ryouji dan Hisamiko harus dikemudiankan kerana mereka separa kami, fikir Funazuki bersaudara. Kepantasan mereka tiada tandingnya di situ. Hisamiko, Ryouji, kamu berdua aneh. Aneh!

**

Musim bersilih ganti, tatkala musim luruh habis menggondolkan dedaun dengan tiupan anginnya, musim sejuk pun kunjung tiba. Tiga purnama kemudiannya, salju membakar di bawah terik mentari, dan musim bunga pun tiba. Bunga sakura mulai berputik, menyerikan taman bonsai di depan rumah perlindungan itu dengan warna-warni putih dan lembayung yang bersilih ganti, yang sekian lama rompong tatkala pohon-pohon momiji, sakura dan shirakaba dan yang lainnya menggugurkan kesemua daun-daun yang telah kirmizi.

Bermulanya kitaran baru alam. Setiap tahun, alam membaharu dan memulih. Daun lama gugur, daun baru menumbuh. Bunga-bunga kembali mewarnai alam memberikan satu macam keceriaan yang tidak terungkapkan oleh sajak dan puisi. Begitu juga tamadun manusia. Sesuatu bangsa jatuh atas pelbagai sebab, mungkin diperangi, atau dimusnahkan bencana alam. Namun mereka kembali bangkit, membina semula tamadun baru di atas puing keruntuhan tamadun lama, berkembang, menambahbaik, kemudian dimusnahkan lagi, dan bangkit semula, dengan keturunan yang lebih baik. Dan kitaran itu berterusan, dan tamadun itu semakin bertambah baik dari kitaran ke kitaran.

Di kala bunga kembali mekar dan pepohon membaharui daun-daun lama yang telah gugur, Jepun membaharui tamadunnya. Maharaja berjaya menamatkan perang menentang saki-baki terakhir kuasa Shogun Tetsugawa, dengan memenangi pertempuran terakhir jauh di utara negara di Hakodate, di pulau Ezo atau Hokkaido. Kuasa pemerintahan seluruh Jepun dikembalikan sepenuhnya kepada dinasti Yamato di Kyoto. Sistem samurai dihapuskan dan digantikan dengan sistem gabenor. Wilayah-wilayah disempadankan semula. Samurai-samurai yang kehilangan tanah mula berpindah ke Kyushu. Bermulalah era baru dalam tamadun Jepun.

Musim bunga, 1869.

Maharaja mengambil keputusan berpindah dari Kyoto ke Edo bagi mengukuhkan kekuasaannya. Edo ditukarkan kepada nama baru, Tokyo yang bermaksud ibukota timur. Baginda turut menghantar rombongan ke Barat bagi mencedok ilmu pengetahuan mereka dan menambahbaik negara. Baginda juga mengalu-alukan karya dari Barat masuk. Pelabuhan-pelabuhan dibuka sepenuhnya kepada Barat. Semua tindakan Maharaja ini terang-terangan berbeza dengan sangkaan umum, termasuk Takasaki, bahawa Maharaja memusuhi Barat.

KaisenjyoWhere stories live. Discover now