Bab 31

11 3 1
                                    

Ryouji duduk melepak di tempat biasa di taman bonsai, cuba mengingat dan menghadam 'kuliah' Takasaki. Dia tahu Hisamiko sedang menunggu masa untuk bertemunya seorang. Hisamiko seorang yang amat pemalu dan tidak akan menunjukkan perasaan sebenarnya di depan orang lain selain Ryouji. Meskipun orang itu Chisato.

Tepat telahannya. Hisamiko datang berlari-lari seraya menyembabkan mukanya ke dada Ryouji. Dia menangis sekuat hatinya.

"Onii-san baka! Baka! Baka!..." dia memukul-mukul bahu Ryouji. Ryouji turut menangis dan memeluk Hisamiko, sambil mengusap kepalanya. "Maafkan aku Hisamiko..."

Chisato mengintai dari jauh, baru pulang dari melayani perasaannya di hutan buluh. Dia tidak pernah melihat Hisamiko sebegitu. Bodoh engkau Ryouji, betapa ramai yang memerlukan engkau!

Shinji juga memerhati dari jauh. Aku ingin benar memiliki hubungan sebegitu. Diperlukan. Dikasihi. Namun aku cuma ada sahabat-sahabat di sini. Aku tidak pernah merasai kasih sayang seorang ibu, seorang bapa dan seorang adik, atau kakak, atau abang. Sahabat-sahabatku di sini, adalah satu-satunya benteng kemanusiaanku yang masih tinggal. Tanpa mereka, aku cuma sebatang tunggul yang tidak berperasaan, atau mungkin, patung singa dan patung gangsa di kuil seberang Sungai Miya itu.

Kadangkala aku merasakan, tempoh hampir dua tahun sejak Ryouji datang ke sini terlalu singkat. Sebegitu banyak perkara berlaku. Sebegitu jauh aku telah berubah, juga penghuni-penghuni lain. Betapa aku menghabiskan tahun-tahun sebelumnya sia-sia.

**

"Shinji, bagaimana?" Soal Ryouji suatu hari, berkenaan senjata api yang dirampas dari Sonzaemon tempoh hari. Dia telah menyerahkan kepada Shinji untuk diselidiki.

"Ia tidak banyak bezanya berbanding senjata api sama yang sudah ada di bengkel kita. Kedua-duanya separa automatik. Cuma yang kau bawa pulang ini tidak berasap."

"Tidak berasap?"

"Ya. Apabila peluru dilepaskan, biasanya akan muncul asap putih di belakang pistol itu hasil dari pembakaran bahan di dalam peluru itu. Itulah yang selalu berlaku pada pistol separa automatik yang lama, dan menyebabkan lokasi penembaknya dapat dikesan dengan asap tersebut ketika di kawasan pertempuran."

"Namun pistol yang kau bawa pulang ini kulihat telah ditambahbaik. Aku masih tercari-cari apa sebenarnya bahan serbuk yang tidak berasap itu."

"Apakah pelurunya lebih laju dari pistol lama?"

"Aku yakin tidak banyak bezanya. Cuma mungkin campuran serbuk tersebut menyebabkan asapnya kurang. Mungkin ditambah sesuatu yang baru."

"Shinji, aku masih tidak faham. Aku fikir penembak edamame engkau itu sudah cukup pantas. Aku terlalu yakin aku mampu mengelak peluru senjata api."

"Ryouji, tenaga tembakan peluru edamame itu datang dari mampatan spring, berasal dari tangan penembak itu sendiri. Namun tenaga peluru dari senjata api datangnya dari bahan serbuk ini yang diletakkan di dalam peluru. Serbuk ini kecil, Ryouji, namun menyimpan tenaga berkali ganda dari tenaga tolakan tangan kita ketika menarik picu."

"Maksudmu?"

"Aku tidak pernah kata penembak edamame itu lebih pantas dari senjata api. Aku fikir engkau perlukan kaedah lain mengelak peluru senjata api. Latih dirimu sehingga jurus kelapan. Engkau boleh memotong peluru menggunakan pedangmu di jurus ini. Jurus enam juga boleh, namun kebarangkalian untuk gagal lebih tinggi berbanding dengan jurus kelapan."

"Aku sudah tahu jurus kelapan. Aku baru mempelajarinya selepas pulang dari Kisennuma."

"Maksudku, latih dirimu naik ke jurus kelapan sepantas mungkin. Melakukan jurus kelapan mungkin mudah, namun untuk naik kepadanya dari jurus-jurus rendah memerlukan latihan kerap."

KaisenjyoWhere stories live. Discover now