Bab 33

3 2 0
                                    

Hisamiko berada di tengah-tengah hutan. Dia tidak tahu ke mana harus dituju. Di tangannya seutas tali yang separuh disimpan di dalam saku umanorinya, yang sering di bawa ke mana-mana. Takasaki menemukan tali itu tercicir entah di mana dan memulangkan kepadanya sewaktu dia memanggil Hisamiko ke pejabatnya tadi. Tali itu digunakan bagi mengikat dia dan abangnya bersama ketika kembara, agar dia tidak direntap oleh penculik tiba-tiba. Dia juga membawa sejenis pedang pendek yang dipanggil tantou.

"Onii-san! Onii-san! Onii-san!" Dia melaung, memanggil Ryouji. Tiba-tiba seekor burung hayabusa turun, lalu bertenggek di atas sebatang dahan yang telah reput, memandang dia tepat.

Hisamiko berkomunikasi dengan burung itu.

"Tahukah engkau di mana onii-san?"

"Aku tidak tahu. Tetapi aku boleh menjejakinya jika engkau memberikan baunya."

Bau? Sebentar.

Hisamiko mencari-cari apakah yang boleh dijadikan sumber bau Ryouji. Tali. Ya tali! Harapnya masih ada bau Ryouji.

"Hidu tali ini."

Burung itu menghidu, seraya berkata "Ia bau engkaulah!"

Hisamiko menyuruh menghidu bahagian lain tali itu pula. Bahagian yang selalu dililit di pinggang Ryouji.

"Oh. Baiklah. Aku sudah menemui baunya. Aku pernah menghidu bau ini."

Sebentar, bukankah burung ini yang membelot aku di Furukawa kerana menerima sogokan Sonzaemon itu? Hisamiko melihat belakang badan burung itu. Ada bulu-bulu putih yang membezakannya dengan hayabusa lain.

"Wahai burung, maaf aku tidak tahu namamu..."

"Panggil aku Azuchi!"

"Ne, Azuchi, berjanji denganku yang engkau akan mencari onii-san dan tidak lagi belot terhadap kami."

"Baiklah, Hisamiko. Aku tidak akan belot, dengan syarat engkau memberikan aku makan dahulu."

"Aku tiada makanan. Aku hanya ada buah itu." Hisamiko menunjuk ke arah pokok, yang dipanggil ume. Pokok dan bunganya seperti sakura, namun buahnya boleh dimakan dan tidak pahit seperti buah sakura.

"Aku tidak makan buah!" Azuchi berteriak, bunyinya hanyalah bunyi biasa hayabusa namun perinciannya jelas di telinga Hisamiko.

"Aku akan memberikanmu kemudian apa sahaja yang engkau mahu. Termasuk ayam besar jika engkau mahu." Hisamiko agak teragak-agak menyebutnya. Takasaki-san pasti memarahiku membuat perjanjian sebegini! Di mana ayam besar boleh didapati di dalam pergunungan yang jauh dari tamadun ini?

"Baiklah, tepati janjimu, seperti selayaknya bangsa Yamato! Mari, ikuti aku."

"Sebentar, Azuchi, engkau makan daging rusa?" Hisamiko mendapat ilham, mungkin ia boleh didapati dengan berburu di dalam hutan ini.

"Oh, itu lebih bagus!" Burung itu menjawab.

Hisamiko mengatur langkah merentasi hutan itu, dengan Azuchi terbang di atasnya, mengesan lokasi Ryouji.

**

"Miko-chan! Miko-chan! Miko-chan!" Chisato melaung. Dia tidak tahu ke mana harus dia pergi. Hisamiko langsung menghilang di celah-celah hutan.

"Chisato, engkau mencari Hisamiko-kah?" suara seorang wanita, sedikit kasar, menegurnya.

Chisato menoleh. Azusa sedang berdiri di depannya. Dia baru pulang dari kuil yang ada dua patung singa dan patung Buddha. Lengan yukata dan kaki umanorinya bersingsing seperti baru lepas membuat kerja pembersihan, menampakkan kaki dan lengannya yang berotot.

KaisenjyoWhere stories live. Discover now