"Kotobuki-san, mengapa engkau di sini?" Ryouji terperanjat, selepas ditarik sami itu ke sebuah lorong.
"Shh...engkau jangan bisinglah!" Kotobuki, sami yang pernah merawat Hisamiko itu, datang ke Furukawa selepas menerima surat dari Takasaki melalui merpati. "Takasaki menghantar aku selepas melihat engkau keluar malam tanpa kebenaran dari rumahnya. Dia mengatakan Ryouji sedang melakukan perkara bodoh di Furukawa." Sami itu menumbuk kepala Ryouji. Sakitnya!
Ryouji terpana. Dari mana pula orang tua itu mengendapku? Ramai betul pengendap di rumah itu. Selepas Tsuneki, Funazuki dan kini Takasaki juga tumpang semangkuk!
"Mereka masih mengejarmu?"
"Tiga orang sudah kutumpaskan. Abaikan seorang lagi yang lembab kerana badan gemuknya. Mereka menggunakan senjata api ini." Ryouji menyuguh senjata api itu kepada Kotobuki.
"Ia seakan-akan tanegashima, namun separa automatik. Oh, aku tahu senjata ini. Kami menyelidiknya di makmal Kogen di tanah tinggi Shirasaka. Semua pemberian Miura, diperolehi dari pedagang Belanda."
"Kami juga memiliki satu di bengkel Takasaki. Takasaki mengajar kami menggunakannya. Ada dua peluru yang masih berbaki di dalam kelopak."
"Engkau bernasib baik, budak bodoh!" maki sami itu selamba. "Mereka menggunakan senjata api kali ini, tidak seperti sewaktu engkau diserang di pinggir hutan itu. Nasib engkau baik kerana mereka nampaknya cuma ada sebuah dan tembakannya mengenamu sipi. Senjata ini dan pelurunya mahal. Pedagang Belanda sengaja menjualnya mahal. Atau mungkin mereka mencurinya dari saku pedagang Belanda?"
Ryouji menggeleng tidak tahu. Kotobuki hanya berspekulasi, mungkin juga. Mereka pun perompak, mencuri adalah rukun hidupnya.
"Apapun, orang biasa mungkin tidak dapat mengelak sepertimu. Lihatlah, sepantas kamu pun, tembakannya masih mengena sipi. Mari sini, aku ingin lihat kecederaan di betismu."
Ryouji menawarkan betisnya kepada Kotobuki untuk diperiksa. Darahnya sudah berhenti mengalir.
"Lukanya agak dalam. Mujur sahaja sipi. Bayangkan sekiranya peluru itu menembusi tulangmu. Kemungkinan kakimu terpaksa dipotong kerana tulangmu sudah rosak. Engkau akan cacat selama-lamanya."
Gerun Ryouji mendengarkannya. Aku tidak mahu cacat! Tidak pernah kutahu begitu bahaya senjata api ini! Mungkin orang-orang Sonzaemon juga cacat akibat tembakanku itu. Apapun, mereka tidak seharusnya menyerangku dahulu. Tanggunglah akibatmu sendiri!
"Kotobuki-san, aku sedikit mengantuk." Ryouji memberitahu, kepalanya tiba-tiba pening dan dia kerap menguap. Dia keletihan yang amat sangat.
"Ya, engkau kehilangan banyak darah. Engkau perlu berehat. Dan makan. Mari sini, aku bawakan onigiri. Makanlah. Kemudian minum air dan telan ubat ini."
Mereka menyorok di dalam sebuah bangunan terbiar.
"Ryouji, sebentar lagi akan lalu sebuah kereta kuda membawa jerami melalui pekan ini. Jika engkau melihatnya, melompat segera ke bahagian belakangnya dan menyorok di balik jerami. Kita akan berundur ke sebuah lembah. Aku mahu menunjukkan sesuatu."
"Engkau hendak membawaku ke mana?"
"Ke lembah Okuhida. Untuk memulihkan pendarahanmu. Engkau kehilangan banyak darah. Dan juga memulihkan emosimu. Ryouji, jangan bertindak melulu seperti ini lagi. Jepun di ambang pengenalan senjata api era baru, bukan lagi tanegashima seperti zaman moyang Tetsugawa. Furukawa sudah menjadi sebuah pekan seperti di negara Amerika itu."
"Amerika?"
"Ya. Negara orang-orang Kapal Hitam. Di sana pekan sebegini digelar pekan koboi. Kerapkali berlaku pergaduhan dan rompakan menggunakan senjata api seperti itu. Furukawa bukan lagi seperti pekan yang engkau kenali sewaktu kecil."
YOU ARE READING
Kaisenjyo
Historical FictionSatu peristiwa pembunuhan membawa Ryouji dan adik perempuannya kepada kehidupan baru, di sebuah rumah perlindungan. Peristiwa demi peristiwa yang menyusul memberi petunjuk yang membawa kepada pembunuh bapanya. Kehidupan di rumah perlindungan itu jug...