Bab 27

7 2 0
                                    

Esoknya dia keluar menuju lebuh Nakasendo. Ketika melintasi simpang di Nagano, dia teringat kembali pedagang yang bernama Tokizawa itu, yang pernah menawarkan pekerjaan sebagai pengawal mereka. Dia menggeledah sakunya, lencana dagang itu ditinggalkan di rumah.

Dia bersembunyi di sebalik sebatang pokok matsu di atas bukit, memerhati sebuah kawasan yang menjadi kawasan panas serangan perompak-perompak tersebut.

Tidak lama kemudian, datang sebuah kereta kuda membawa tamahagane. Tamahagane berharga mahal melihatkan proses penghasilannya yang rumit dan hanya berjaya mengeluarkan dua persepuluh dari kuantiti bijih yang diproses. Disebabkan itu, ia menjadi sasaran utama perompak, selain dari sutera.

Lima orang berpakaian ninja berwarna hitam dan menutup muka, keluar mengacukan pedang dari bawah bukit di seberang laluan Nakasendo itu. Mereka menahan dan mengepung kereta itu dan bercakap-cakap dengan pengendera kereta kuda. Pengendera kereta kuda itu gugup. Kemudian pengawal di kiri dan kanannya mula mengeluarkan katana masing-masing. Mereka bertarung.

Kobato keluar dari persembunyian dan campur tangan. Mereka berjaya menumpaskan kelima-lima perompak. Kobato mengarahkan para pedagang dan pengawal itu meneruskan perjalanan sedang empat orang perompak terbaring kesakitan.

"Omae wa dare da? Keisatsu ka?! (Engkau siapa? Poliskah?)" Salah seorang dari mereka bertanya Kobato.

"Di mana ketuamu melarikan diri?"

Belum sempat soalan Kobato berjawab, tiba-tiba sebilah kunai melayang ke arahnya. Kobato sempat mengelak, kunai itu mencacak ke batang pokok matsu di hadapannya.

Kobato mengejar pelempar kunai itu, dan berjaya menangkapnya. Dia menindih pelempar kunai itu menggunakan badannya dan menarik kain yang menutupi wajahnya.

Kobato tersentak. Dia mengenali wajah lelaki di hadapan matanya itu.

"Engkau lelaki yang menyelamatkan aku malam kebakaran itu. Engkau Atsushi, bukan?!"

**

1854, musim luruh.

Pada ketika ini, Takasaki sudah menyertai Kogen senyap-senyap meskipun masih berkhidmat kepada Hamada. Miura telah meletak jawatan dua tahun sebelumnya, setelah sekian lama menyertai Kogen secara sembunyi.

Takasaki berharap ini adalah misi terakhirnya dengan Hamada. Dia merasakan sudah cukuplah semua dosa-dosanya. Sekiranya ada anak kecil terlibat, aku akan menyelamatkannya dan menjaganya.

"Bagaimana?" Takasaki bertanya kelangsungan rancangan mereka malam itu kepada Tsugiyama dan pembantunya Tatsuya.

"Mudah. Angin kuat telah memarakkan api. Sebelum pagi, semua penghuninya akan tinggal abu, seperti arahan Hamada-sama." Tsugiyama menjawab tanpa perasaan, rakannya Tatsuya mengangguk sahaja. Modus operandi pasukan Tsugiyama dalam membakar rumah sasaran ialah dengan menyimbah bahan bakar di sekeliling rumah dan kemudian mencampakkan punca apinya, seperti kayu bernyala. Mereka tidak akan memecah masuk rumah sasaran. Maka, ada kebarangkalian penghuni rumah sasaran akan terselamat dari perbuatan mereka, sekiranya mereka sempat melarikan diri. Kelemahan modus operandi ini akan dimanfaatkan Takasaki bagi menyelamatkan anak kecil sekiranya ada di dalam rumah itu.

"Kalian boleh beredar dahulu. Tinggalkan kami berdua di sini. Aku akan mengejar kalian kemudian."

"Baik, Takasaki-san." Mereka beredar.

Setelah jauh dari Takasaki, Tatsuya bertanya kepada Tsugiyama.

"Tsugiyama-san..."

"Aku tahu. Aku tidak akan memberitahu Hamada-sama. Engkau pun tutup mulutmu."

KaisenjyoWhere stories live. Discover now