Bab 22

4 2 0
                                    

Berjalan kaki sememangnya memenatkan. Tambah-tambah lagi jika cuaca cerah dan suhu yang suam. Ketika mereka sampai di sebuah pekan pedagang, mereka bercadang untuk berhenti berteduh di sebuah kedai ramen untuk meminum air.

Terdapat beberapa orang lelaki yang sedang duduk melepak di kedai itu. Ryouji dan Chisato masih tidak mengangkat topi kon mereka. Mereka duduk dan memesan air minum sahaja. Sekali sekala mata Ryouji meninjau di balik topi kon, kalau-kalau kedapatan seseorang yang mencurigakan.

"Chisato, aku fikir kita tidak perlu lama di sini." Ryouji memberi isyarat menunjuk, sembunyi-sembunyi, ke arah kumpulan lelaki tersebut.

Chisato diam, sesekali mengintai. Dia terkejut, salah seorang dari lelaki itu ialah orang yang pernah mengejarnya dahulu bersama adiknya.

Namun Chisato masih tidak faham mengapa Ryouji mencurigai mereka. "Mengapa Ryouji?"

"Jika tidak silap mereka ini berkhidmat kepada Hagiura."

"Hagiura?"

"Ya. Hagiura adalah daimyo yang memerintah wilayah di mana kampung Tsuneki terletak iaitu Yozehama dan bertanggungjawab ke atas wabak taun Yozehama akibat tindakannya membuang air sisa ladang ternakannya ke dalam sungai. Masih tiada tindakan diambil ke atasnya."

"Dia juga memerdagang gadis-gadis sebagai karayuki. Tsuneki ada memberitahuku kerapkali dia terserempak dengan kumpulan lelaki dengan simbol itu di kampungnya mengangkut anak-anak gadis untuk dijual." Ryouji menunjuk ke arah simbol berbentuk burung pucung atau sagi, yang menjadi tatu pada leher mereka beserta simbol sama yang mencoraki lengan kimono dan belakang happi mereka.

"Bagaimana engkau tahu mereka berkait dengan Hagiura?"

"Simbol sagi itu ialah simbol keluarga Yoshitsugu. Keluarga penipu dan penindas, dan pembunuh." Mata Ryouji dipenuhi api kemarahan ketika mengujarnya. "Aku beruntung ditempatkan di rumah perlindungan itu, Takasaki bukan setakat menempatkan pelbagai karya di dalam perpustakaan besarnya bahkan segala hasil-hasil siasatan pertubuhannya. Dia tidak menyembunyikan malah berkongsi dengan kita. Aku berterima kasih dengan Shinji yang menghafal selok-belok perpustakaan itu."

Bahkan Chisato, mungkin engkau tidak perlu atau tidak ingin tahu, tetapi Hagiura itu juga anak kepada Hamada, daimyo Shinagawa yang telah bersubahat merancang membunuh bapaku. Aku pasti, meskipun bukti yang kuada mengarah kepada Sonzaemon, bahawa Hamada juga terlibat.

Mereka lekas keluar dari kedai itu selepas membayar minuman. Ryouji harus bergegas demi keselamatan Chisato. Dia tidak mahu kejadian lepas yang menimpa dirinya dan Hisamiko berulang.

Namun, setelah beberapa langkah meninggalkannya, mereka ditahan salah seorang dari lelaki-lelaki itu. "Chotto matte, omaera! (kalian tunggu sebentar!)" Lelaki yang melaungkan kata-kata itu nampak seperti seorang yang berumur lima puluhan dan bertubuh sedang. Dia memakai happi bercorak sagi di belakangnya, dan memiliki janggut putih.

Mereka berhenti, namun tidak menoleh. Mereka menunggu lelaki itu meneruskan kata-kata. Di belakang lelaki itu ialah tiga orang lelaki lain, barangkali pengikutnya. Mereka semua adalah lelaki-lelaki dari kedai ramen itu!

"Aku seperti pernah melihat kalian, terutama perempuan itu!" lelaki berjanggut itu menyambung sambil menunjuk ke arah Chisato.

Chisato mulai gugup. Tangannya sudah memegang pedang pendek atau tantou, terketar-ketar.

Tangan Ryouji pula sudah di hulu katananya, bersedia menarik dari sarung bila-bila masa sahaja.

"Oh, ya. Baru kuingat. Engkau Chisato bukan? Anak Minoru, yang telah membunuh rakanku di jeti. Engkau semakin cantik sekarang."

KaisenjyoWhere stories live. Discover now