Bab 24

9 2 0
                                    

Mereka keluar awal pagi esoknya. Mereka sampai di kampung Chisato, Kisennuma setelah menumpang sebuah kereta kuda membawa jerami yang melintas di kaki bukit yang menempatkan kuil itu. Chisato tidak mampu berjalan jauh dengan kaki yang masih tercedera.

Chisato sampai di rumahnya. Masih diingati laluan ke rumahnya yang merentas bendang. Sawah padi di situ baru bertanam, masih hijau. Ryouji berjalan di sebelahnya. Chisato masih boleh berjalan namun perlu berhenti kerap. Cuaca tidak terlalu panas pada hari itu di awal musim bunga.

Sampai di rumahnya, Chisato terperanjat melihatkan rumahnya telah diubahsuai. Dia ingat benar inilah tapak rumah bapanya, meskipun dia meninggalkannya hampir empat tahun lepas. Dia bertanyakan seorang lelaki yang sedang duduk di depan rumahnya sambil mengukir patung.

"Ya, cik. Ini rumahku. Aku telah membeli tanah bendang dan rumah ini dari Maharaja. Tiada lagi daimyo. Bekas daimyonya telah berpindah ke Kyushu dan tempatnya diganti oleh gabenor."

"Tuan masih ingat orang yang pernah tinggal di sini?"

"Aku tidak pernah menemuinya. Ketika aku sampai di sini pada tahun lepas, hanya kelihatan rumah dengan kesan terbakar. Tanah-tanah dipenuhi debu hitam. Tiang-tiang hanya tinggal separuh, habis semuanya rentung. Aku dengar ia terbiar begitu sejak tiga tahun sebelumnya."

Chisato terpana mendengarkan kata-kata lelaki itu. Terbakar? Adakah rumah kami dibakar, dan bapaku dibunuh? Siapa yang melakukannya?

Chisato merayau-rayau di kawasan rumah lain di sekitar bendang itu. Namun semua petani di situ tidak pernah dilihatnya. Mereka semua petani yang baru di sini. Adakah aku tersilap kampung? Tidak, inilah kampungku! Jalan yang aku lalui tadi amat aku kenali.

Chisato menemui seorang lelaki yang selalu berjudi dengan bapanya. Dia sedang merayau-rayau tanpa arah tujuan di pertengahan jalan.

"Ano sumimasen, encik Kazumi-san bukan?" Lelaki itu menoleh, rambutnya panjang dan kusut masai, pakaiannya compang-camping dan kotor, wajahnya penuh celoreng dan berkaki ayam. Dia nampak seperti kurang siuman, amat kurus seperti sudah sebulan tidak makan. Namun Chisato tiada pilihan, dia hanya mengenali lelaki itu sedikit sahaja ketika mana dia melawat rumah bapanya suatu ketika dahulu, maka mungkin dia orang yang tepat untuk ditanya.

"Chisato-chan, bukan?" tutur lelaki itu selepas menatap Chisato seketika.

"Ya." "Engkau telah banyak berubah, semakin cantik!"

Chisato tersipu malu dipuji, namun terus bertanya, tidak mahu melengahkan masa, "Kazumi-san, masihkah engkau ingat apa yang telah terjadi kepada otou-san?"

"Minoru-san ka?" "Aku pergi ke rumahmu suatu hari, namun mendapati dia sudah rentung bersama rumahnya. Mayatnya kami bakar kerana tiada sesiapa yang menuntut."

Rumah Chisato terletak jauh dari rumah-rumah petani lain maka kebakaran lambat dikesan. Lagi pula kejadian itu berlaku di waktu malam pada musim luruh, maka bau kebakaran itu mungkin disangka bau kebakaran akibat seseorang membakar daun kering.

"Benarkah begitu Kazumi-san?" Chisato masih tidak dapat mempercayai apa yang didengarinya.

"Ya, aku berada ketika upacara pembakaran. Malang nasib Minoru, seringkali kalah berjudi bahkan ditipu kerap."

Chisato terdiam, fikirannya kaku. Dia tidak dapat mengungkapkan kesedihannya. Pilu kerana dia tidak sempat melihat bapanya buat kali terakhir. Pandangan terakhirnya yang dilihat Minoru adalah sebuah pandangan penuh kebencian dari seorang anak perempuan, bahawa perbuatannya adalah jijik dan tidak boleh dimaafkan. Aku bapa yang jijik! Aku tidak layak menjadi bapa! Aku layak ditinggalkan mereka!

KaisenjyoWhere stories live. Discover now