Bab 41

2 0 0
                                    

Selingan mengenai batu resin di dalam loket Hisamiko

Batu yang diletak di dalam loket Ryouji itu ialah sejenis resin yang hanya ditemui pada sejenis pokok di lembah Okuhida dan Shirasaka, di mana hayabusa mengelak dari mengunjunginya. Pokok itu digelar aomomiji, sejenis pokok dengan daun momiji namun berwarna biru dan kekal begitu sepanjang tahun.

Setiap kali Kotobuki ke lembah Okuhida mencari ketenangan, dia mengambil kesempatan menadah resin itu ke dalam bekas-bekas berbentuk bujur dan membiarkan ia membeku, dan mengeluarkannya kemudian ketika dia melawat lembah itu kembali. Kadangkala ada serangga yang terperangkap di dalamnya dan dibiarkan kerana ia memberi nilai estetika. Selepas ia beku, Kotobuki akan mengikis resin-resin beku itu agar membentuk bujuran yang sempurna untuk dijual. Dia tahu resin itu mampu menghalau hayabusa yang dihantar mana-mana pengintip yang masih setia kepada keluarga Yoshitsugu.

**

Takasaki sudah tahu sedikit dari Shinji berkenaan apa yang berlaku kepada misi mereka. Dia mahu mendengarnya sendiri dari Ryouji, namun dia bercadang menangguhkan sehinggalah ke hari ini, ketika Chisato dan Azusa sudah kembali. Selain itu, dia juga mahu memberi masa kepada Ryouji meredakan kemarahannya dahulu. Jika tidak, sebarang perbincangan tidak akan membuahkan hasil.

Dia memanggil Ryouji masuk ke pejabat.

"Ryouji, aku sengaja menangguhkan perbincangan misi engkau sehingga ke hari ini. Aku bilang Shinji sudah memberitahumu bukan?

"Ya, Takasaki-san."

"Shinji sudah memberitahuku sedikit, apa yang dapat ditangkapnya. Cuma, dia tidak dapat merakamkan perbualanmu dengan gadis yang akan dijual itu kerana Hisamiko mengganggunya. Ceritakan kepadaku kembali, Ryouji."

"Wanita itu mengaku yang mereka rela dijual, demi membayar rawatan ibu dan bapanya yang miskin. Dia memarahi aku kerana campur tangan. Dia turut memarahi pasukan yang kau hantar dari Shinagawa itu. Aku hanya berdiam dan kaget. Kemudian mereka meninggalkan aku."

"Engkau melepaskan mereka begitu sahaja?" Takasaki cuba mengorek alasan dari Ryouji, kerana dia telah terang-terangan menggagalkan misi tersebut dengan melepaskan mereka hanya kerana mereka bersetuju dijual.

"Takasaki-san, aku tiada pilihan dan melepaskan mereka kerana berasa kemunculanku ketika itu amat mengganggunya. Bahkan, jika aku menyelamatkan mereka, ibu bapa mereka mungkin akan diapa-apakan, seperti yang telah berlaku kepada Chisato. Takasaki-san, apakah engkau benar-benar merancang serangan ini dengan teliti?"

"Soalan yang bagus. Aku bangga engkau mampu berfikir begitu dan beralasan begitu. Benar, arahan dari Kogen boleh dipersoalkan kerana kami juga manusia dan melakukan kesilapan."

"Buat pengetahuanmu Ryouji, Kogen telah merampas feri yang membawa mereka ke Osaka. Selain tiga gadis itu, ada dua belas orang lagi gadis lain dari serata pelusuk Jepun di atas feri itu, dihantar ke jeti Kisennuma oleh orang-orang Tsugiyama dan orang-orang Hamada dan Hagiura yang berpangkalan di serata Yozehama dan Shinagawa. Maka engkau tidak perlu risau, mereka kini selamat dan berada di Shirasaka."

"Bagaimana pula dengan ibu dan bapa mereka?"

"Kogen memulangkan semula kepada orang-orang Tsugiyama wang yang telah dibayar mereka kepada ibu bapa gadis-gadis itu, ketika kami merampas feri itu. Kami berterima kasih kepada Maharaja yang membiaya kami."

"Membayar mereka? Takasaki-san, aku tidak faham. Apa perancangan kalian sebenarnya? Bukankah itu menjadikan misiku sia-sia?"

"Itu penyelesaian jangka pendek, agar mereka tidak mengganggu ibu bapa gadis-gadis itu. Kami menghantar wakil ke kampung-kampung bagi mencari anak-anak yang miskin dan merawat orang-orang kampung yang sakit."

KaisenjyoWhere stories live. Discover now