Ep 1: 𝐀𝐦𝐧𝐞𝐬𝐢𝐚
"THANK you for making me feel things I thought I could never feel, qīn ài de."
Sepasang mata itu terbuka perlahan-lahan. Pandangannya samar-samar. Kepalanya terasa berdenyut yang amat sangat. Tubuhnya terlantar lemah di atas katil, seakan-akan lumpuh dan tak mampu untuk bergerak. Kepalanya serasa kemas berbalut dengan kain kasa.
Bunyi titisan air jatuh menitik di dalam IV drip serta detakan mesin monitor jantung saling bersilih ganti menyapa pendengaran. Di kala dia bernafas, wap air membentuk di permukaan topeng gas yang menutupi saluran pernafasannya. Dadanya turun naik seiring dengan rentak nafasnya yang perlahan itu.
"Thank you for making me feel things I thought I could never feel, qīn ài de."
Tiba-tiba, tanpa dipinta, tanpa amaran, ayat itu bergema sekali lagi di dalam mindanya.
Oh sungguh, dia rindu akan pemilik suara itu. Siapakah dia? Orang yang penting dalam hidupnyakah? Keluarga? Kawan? Atau... kekasih?
"Berapa lama lagi saya kena tunggu, doktor?"
Soalan tersebut menyentak lamunan Yuna. Kini tumpuannya beralih pada arah punca suara tersebut. Di depan muka pintu wad, berdiri dua figura lelaki dalam keadaan saling mendepani antara satu sama lain. Seorang berkot putih manakala seorang lagi santai berpakaian kasual berwarna hitam.
Yuna menumpukan pandangannya terhadap lelaki berpakaian kasual itu. Entah kenapa, dia terasa dekat dengannya.
Sangat dekat.
"Sabarlah, Alfi. Mungkin dalam beberapa hari lagi. Pihak kami dah cuba sedaya upaya untuk tolong," balas doktor itu tenang. Tangan kanannya menepuk-nepuk bahu lelaki di hadapannya. Memberikan semangat.
"Dah satu tahun saya tunggu," balas Alfi rapuh. Wajahnya durja tanpa sebarang sinar. Seakan-akan sudah sebati dengan kesedihan di dalam diri. Langsung tak terpujuk dengan pujukan yang dihulurkan.
Doktor itu menghela nafas berat seraya menjatuhkan tangannya. Buntu akan apa yang perlu dikatakannya lagi. Bukan mudah untuk memujuk ahli keluarga pesakit. Lagi-lagi kalau dia sudah hilang harapan.
Seketika, Alfi mula merasakan dirinya sedang diperhatikan. Refleks mukanya berkalih ke arah si pemerhati. Tubuhnya kaku serta-merta.
Bagai tak percaya dengan apa yang dilihatnya, jemari kiri Yuna bergerak-gerak! Sepasang matanya sedikit terbuka, memaparkan iris hitam di dalamnya. Sedang memandang tepat ke arahnya.
"Yuna?"
Riak Alfi berubah teruja. Pantas dia berlari-lari anak ke arah adiknya, memaut pemegang sisi katil. Mengenal pasti jikalau apa yang dilihatnya sebentar tadi adalah benar.
YOU ARE READING
Anti-Romantic [Hiatus]
Mystery / ThrillerStart: 9th September 2022 End: - Genre: Light Romance/Comedy/Thriller ❦︎ Sᴇᴄᴏɴᴅ ʙᴏᴏᴋ ᴏғ sᴜᴘᴇʀʜᴜᴍᴀɴ sᴇʀɪᴇs | Yᴜɴᴀ's sᴛᴏʀʏ ❦︎ Amnesia. Kehilangan memori. Tak banyak yang berubah dalam hidup Yuna Farhana selepas itu, kehidupannya diteruskan seperti...