𝐄𝐩𝐢𝐬𝐨𝐝𝐞 22: 𝐌𝐞𝐬𝐲𝐮𝐚𝐫𝐚𝐭
BEBERAPA minit kemudian, pintu dikuak seseorang lalu muncul figura Aiman di hadapan bilik mesyuarat. Serta-merta, keadaan yang tadi riuh-rendah bertukar menjadi sepi.
"Morning everyone," ucap Aiman.
Tergesa-gesa dia membuka tali beg sandangnya seraya meletakkannya ke atas meja. Kot kerja serta tali leher yang nampak selekeh dikemaskan.
Pap!
Aiman mendaratkan kedua tangannya pada meja. Tubuh direndahkan sedikit. Pandangan dilingaskan ke sekeliling meja mesyuarat yang berbentuk bujur itu.
"Kau orang semua tahu kenapa aku buat mesyuarat hari ni?" Soalan pertama dilontarkan.
"Sebab nak buat movie, bos!" jawab seseorang sambil mengangkat tangannya tinggi.
Aiman pandang seseorang itu. Kosong sahaja tatapannya.
"Memang sekarang ni aku tengah buat movie pun. Lain?" Aiman alihkan pandangannya. Tanda dia meminta orang lain untuk menjawab pula.
"Sebab bos nak bagi kita orang cuti tahunan, bos!" Faliq mengangkat tangan sambil memberikan jawapan.
Tak semena, bilik mesyuarat itu dipenuhi dengan tawa.
Kecuali Yuna. Hanya dia satu-satunya yang tak ketawa pada detik itu. Faliq yang duduk bertentangan dengannya dipandang serius tanpa satu kelipan pun.
Sedangkan Aiman pun tersenyum sedikit akibat jenaka yang dibuat Faliq.
"Mungkin. Nanti aku pertimbangkan balik cuti tahunan kau orang." Aiman layankan sahaja. Kedua tangan yang tadi melekap pada permukaan meja kini diangkat lalu disilangkan pada dada.
Ktak!
Tiba-tiba, dua orang figura memasuki bilik itu seterusnya mengganggu konsentrasi mereka semua.
"Maaf lambat, bos," ujar Zafrel terlebih dahulu, mewakili sekali Izara di belakangnya. Kebetulan mereka berdua sama-sama lambat hari ini.
Aiman mengangkat kening. Hujung bibirnya naik terjungkit. Timbul satu idea nakal di mindanya.
"Kalau lambat lagi, aku kahwinkan kau orang berdua!" seloroh Aiman.
Sesaat. Dua saat. Krik krik. Masih lagi senyap tanpa sebarang tawa. Hanya bunyi burung gagak sahaja yang kedengaran.
Aiman mendesis. Dia pandang seluruh pelosok bilik itu. Tak menjadikah lawaknya?
"Duduk," arahnya sementelah kemudian.
"Maaf, bos!" Zafrel menunduk meminta maaf.
"Maaf, bos!" Izara pula ikutkan sahaja segala gerak-geri Zafrel. Lalu mereka sama-sama beredar menuju ke tempat duduk yang masih kosong iaitu di belakang sekali.
YOU ARE READING
Anti-Romantic [Hiatus]
Mystery / ThrillerStart: 9th September 2022 End: - Genre: Light Romance/Comedy/Thriller ❦︎ Sᴇᴄᴏɴᴅ ʙᴏᴏᴋ ᴏғ sᴜᴘᴇʀʜᴜᴍᴀɴ sᴇʀɪᴇs | Yᴜɴᴀ's sᴛᴏʀʏ ❦︎ Amnesia. Kehilangan memori. Tak banyak yang berubah dalam hidup Yuna Farhana selepas itu, kehidupannya diteruskan seperti...