Ep 3: 𝐌𝐢𝐦𝐩𝐢
GELAP. Kelam.
Hujan lebat jatuh bersepai ke tanah. Langit dipancar cahaya putih kilat, guruh berdentum kuat, menghentak gegendang telinga.
Namun Yuna langsung tak menghiraukan semua itu. Atau uniform sekolahnya yang sudah kebasahan. Atau payungnya yang sudah jatuh terlepas dari genggaman.
Kedua kakinya tegak berdiri terpasak di atas tanah.
Di hadapannya, sekujur tubuh sedang terbaring kaku. Tangannya bergetar, cuba menyentuh pisau yang tertanam ke dalam abdomennya. Kolam darah membentuk di atas jalan berbatu-bata, bercampur-baur dengan air hujan yang sedang deras mengalir ke arah longkang berdekatan.
"Lari..."
"Yuna..."
Suara menahan perih itu memberi arahan. Yuna yang mendengarnya sahaja sudah terasa nyerinya, apatah lagi si dia yang menuturkan kata.
Belum sempat reaksi diberikan, satu figura laju meluru ke arahnya. Yuna tersentak. Pisau dilibas kuat ke arah pipinya, Yuna mengelak. Dia jatuh terjelepok ke atas tanah.
Kepalanya mendongak. Melihat wajah si figura yang terlindung di sebalik hud jaket hujan berwarna hitam yang dipakainya.
"Yuna...! Lari...!"
Yuna meneguk liur. Lantas, tanpa berpaling lagi, dia menghayunkan langkah deras untuk berlari selaju mungkin. Menjauhi susuk misteri tersebut.
Dia sudah tidak pedulikan lagi akan siapa identiti si dia. Yang penting sekarang, nyawanya. Air mata jatuh menitis ke pipi kanan.
Bagaimana dengan nasib 'dia' yang telah ditikam tadi? Sempatkah nyawanya untuk diselamatkan? Entah kenapa, hatinya rasa bersalah kerana meninggalkan. Mungkin orang itu merupakan salah satu insan yang penting dalam hidupnya.
Yuna hampir tergelincir tatkala kakinya kian melangkah di atas jalan yang basah. Dapat dia rasakan manusia berhud hitam itu semakin dekat dengannya. Jantungnya berdegup kencang. Lantas dia melajukan langkahnya lagi.
Tidak! Dia pelari pecut sekolah!
Seharusnya perkara ini menjadi mudah untuknya. Mengaplikasikan bakatnya dalam situasi genting begini. Namun, itulah yang sukar. Lari demi kemenangan tak seerti dengan lari demi nyawa. Kerana lari demi nyawa itu jauh lebih sukar dan melelahkan.
YOU ARE READING
Anti-Romantic [Hiatus]
Mystery / ThrillerStart: 9th September 2022 End: - Genre: Light Romance/Comedy/Thriller ❦︎ Sᴇᴄᴏɴᴅ ʙᴏᴏᴋ ᴏғ sᴜᴘᴇʀʜᴜᴍᴀɴ sᴇʀɪᴇs | Yᴜɴᴀ's sᴛᴏʀʏ ❦︎ Amnesia. Kehilangan memori. Tak banyak yang berubah dalam hidup Yuna Farhana selepas itu, kehidupannya diteruskan seperti...