Suasana di luar bilikku begitu mengasyikkan hatiku. Awan mendung tampaknya seakan berarak pergi tapi sejauh manakah aku sanggup menghadapi sebuah kepastian dan realiti hidup ini. Kehilangannya cukup menyiksakanku. Aku benar-benar tersiksa. Sepi.
Milik siapakah hati ini? Hatiku benar-benar kesepian. Ingin sahaja aku menjerit "Aku kesepian...Aku perlukan teman.....kesepian!". Belum pernah ada sesiapa yang ingin menjengah hati kecil ini. Hidupku yang terumbang ambing dibawa oleh arus dunia kian banyak menyesatkan aku. "Ibu! Aku kesepian...aku perlukan belaian kasih sayangmu!...Ayah! Aku keseorangan sewaktu engkau tinggalkan aku...aku perlukan senda guraumu!"
Kakiku terus melangkah dan mungkinkah Pantai Lido menjadi tempatnya untuk aku mencapai suatu kedamaian? Hilangkah keresahan aku di sini? Tenangkah aku di sini? Ibu...aku merinduimu. Ayah.......aku perlukanmu. Dengarlah rintihan hati kecilku ini...aku kerinduan pada segala kasih dan belaian mesramu. Aku kesepian. Aku kesunyian. Aku hanyut di dalam dakapan sendu.
Angin pagi di sini menyapu dingin ke mukaku. Dinginnya terasa mencengkam tulang temulangku. Kesepian itu mengheret aku ke alam yang lebih menakutkan tapi kata-kata yang mengerikan itu hadir cuma seketika dan menghilang setelah pintu hatiku diketuk oleh seorang insan yang amat kusayangi. Ajmihar. Begitulah namanya segagah orangnya. Kebetulan aku diperkenalkan dengannya di dalam suatu majlis suaikenal di kampus kediamanku. Pendiam dan menpunyai sedikit sifat keanak-anakkan. Di sebalik sifat itu, aku menyaksikan bahawa insan ini agak istimewa sehinggakan aku benar-benar tertarik kepadanya. Cinta! Aku menafikannya kerana mana masuk dek akal aku boleh bercinta dengan insan yang sejenis denganku. Aku cuma menyayanginya setakat sayangnya seorang sahabat kepada sahabatnya seperti mana aku pernah mendengar sepotong hadis yang diriwayatkan bermaksud - 'Tidak sempurna iman seseorang muslim itu sehinggalah dia menyayangi saudaranya sebagaimana dia menyayangi dirinya sendiri'.
Aku cuma tua setahun daripada Ajmihar. Kasihan aku melihatkan telatahnya yang sering diperolok-olokkan oleh rakan-rakannya. Kebanyakan mereka memanggilnya dengan nama gelaran 'Kuno'. Entahlah aku sendiri pun tidak tahu bagaimana asal usulnya nama gelaran itu tetapi yang pastinya aku tidak pernah memanggilnya dengan nama gelaran yang sedemikian rupa. Aku tetap memanggil Ajmihar dengan nama Mihar. Bukan sifatku untuk menggelar seseorang dengan nama yang tidak disenanginya.
Sifat kasihan dan kasih sayangku terhadap Ajmihar semakin mendalam sehinggakan aku pula yang tidak tahan dengan segala olokan rakan-rakannya. Hatiku yang tersayat pedih sedangkan dirinya masih mampu untuk tersenyum. Segala kuasa yang terdapat pada diriku di dalam kampus kupergunakan sebaik mungkin. Pengetua Kampus Kediaman yang aku diami beserta dengan penolong penguasa kampus kediamanku bersetuju dengan fakta yang kuberikan untuk mengalihkan kedudukan blok kediaman Ajmihar dari blok jenis Economic kepada Blok jenis Eksklusif. Begitu kuatnya pengaruh seorang Presiden kampus kediaman seperti aku dalam menentukan penempatan pelajar. Aku memohon agar Ajmihar ditempatkan di hadapan bilik aku. Mungkin harapanku agar aku selalu dapat memerhatikannya.
Aku semakin hari semakin rapat dengan Ajmihar. Aku sendiri dapat merasakannya tetapi aku tidak faham dengan Ajmihar. Apa anggapannya terhadapku? Kelu? Resah? Tapi aku malu untuk menyatakan rasa kasih sayangku terhadapnya. Malu disalahanggapkan. Malu jika ditertawakan. Malu jika diperleceh-lecehkan. Malu! Malu! Kadang kala aku bertanya kepada diriku kenapa aku menyayanginya? Salahkah? Teringat aku akan kata-kata dalam sebuah buku mengenai psaikologi remaja yang menceritakan bahawa remaja yang seusia dengan umur akan mudah merasa sayang sama ada terhadap insan sejenis mahupun yang berlainan jenis. Ahh! Itu semua karutan pihak orientalis yang bertujuan untuk merosakkan umat Islam tapi sayangnya hatiku sukar untuk menafikannya.
Hubunganku dengannya semakin hari cuba kurapatkan. Ketika aku menganjurkan suatu Kejohanan Temasya Sukan, aku telah melantik Mihar sebagai setiausahaku dengan harapan yang tinggi menjulang. Rupanya jawatan yang kuberikan itu tidak menyenangkan Arill, 'sahabatku'. Dia sendiri yang menyaksikan bahawa persahabatan aku dengan dia semakin pudar. Bosankah aku? Aku tidak pernah bosan bersahabat dengan sesiapapun tapi yang pastinya aku perlukan seseorang yang boleh aku percayai sebagai seorang sahabat dan bukannya seekor harimau kumbang....menyimpan kukunya di dalam diam. Aku serik dengan Arill. Aku kesal menjadi sahabatnya. Aku dipergunakan. Pernah Arill bermasam muka denganku kerana kegagalannya mempertahankan jawatan yang dipegang olehnya selama ini. Aku terus kukuh dalam organisasi Majlis Perwakilan di Kampus Kediamanku. Bukan salah aku. Arill sendiri yang menghilangkan kepercayaan para pengundi terhadapnya. Arill bukannya seorang yang tidak berkebolehan, aku tidak pernah menafikan kebolehannya tapi aku tidak menyalahkan anggapan orang lain terhadap anak bekas wakil rakyat yang terkenal. Ayahnya selaku bekas wakil rakyat di daerah lamaku, hanya pandai menabur janji apabila menjelangnya pilihanraya. Maka yang pastinya janji hanya tinggi janji. Begitu juga Arill. Bapa borek, anak rintik. Kenyataan! Aku bukannya hendak memburuk-burukkannya tapi ini adalah satu kenyataan yang bagiku amat berasas kerana dilihat sendiri bahawa Arill hanya inginkan kehidupan yang serba mewah berdasarkan keistimewaan yang dia perolehi sekiranya ia terpilih menduduki organisasi Majlis Perwakilan Kampus Kediaman melalui pilihanraya tahunannya. Perjuangan yang sering dilaung-laungkan olehnya kepada semua pelajar kampus kediamanku sewaktu menjelangnya pilihanraya hanyalah semata-mata sebuah janji-janji kosong. Arill hanya mampu untuk bertahan untuk satu penggal sahaja dnegan rekod yang terlampau buruk di mata warga Kampus Kediamanku. Mana tidaknya, wang yang sepatutnya digunakan untuk menjalankan projek kemasyarakatan warga kampus kediaman telah dicukaikannya semata-mata untuk meraikan kemenangannya dalam "Majlis Anugerah Warga Kampus". Aku pun tidak faham bagaimana insan yang sedemikain rupa boleh memenangi anugerah yang dipertandingkan itu. Maklumlah sebuah Anugerah yang berprestij di mata semua warga Kampus. Biarpun begitu terdapat juga desus-desas yang menyatakan bahawa amalan rasuah telah berlaku semasa pemilihan tersebut, namun kudiamkan sahaja demi untuk menjaga reputasi kampus kediamanku yang seringkali menggondol pelbagai pencalonan dan memenangi pelbagai anugerah dalam setiap "Majlis Anugerah Warga Kampus" pada setiap tahun.
YOU ARE READING
Naluri III
RomanceMasih mengisahkan tentang pencarian cinta sang arjuna dengan sesama jenis.