Emir dan ibunya, Datin Fauziah, tiba di rumah selepas melawat Sofia di hospital. Mereka melangkah perlahan ke arah pintu utama, tetapi sebelum masuk, pandangan mereka tertumpu kepada sebuah kereta Proton X50 berwarna biru yang diparkir di garaj. Emir dan Datin Fauziah saling berpandangan.
Datin Fauziah memegang lengan Emir dengan lembut, suaranya penuh dengan kebimbangan. "Angah, kita balik rumah angah aje dululah. Nanti kita suruh aje Elly singgah kat sana lepas outing dengan Ayish dan Rin,"
Namun, Emir menggeleng dengan tekad yang jelas di wajahnya. "Tak, mama. Dah sampai masanya angah bersuara. Angah tak boleh terus diam dan biarkan keadaan ni berlarutan,"
Datin Fauziah memandang anaknya dengan rasa simpati, tetapi dia tahu betapa pentingnya bagi Emir untuk berhadapan dengan apa yang sedang berlaku. Mereka masuk ke dalam rumah, di mana suasana tegang sudah dapat dirasakan. Datuk Emran sedang duduk di ruang tamu, wajahnya kelihatan serius. Di sebelahnya, Iskandar duduk di sofa dengan ekspresi yang sama tegang. Isha duduk di sebelah ayahnya, kelihatan tidak berkutik, jelas berada dalam tekanan.
Melihat kehadiran Emir, Datuk Emran segera bersuara dengan nada tegas. "Balik pun, apahal lama sangat kamu kat hospital tu? Salam uncle Is, cepat. Tunjuklah hormat dekat bakal bapa mentua kamu,"
Tanpa senyuman, dia menuju ke arah Iskandar, menghulurkan tangan untuk bersalaman. Namun, pandangannya tetap fokus, menahan rasa amarah yang semakin membara di dalam dadanya.
Sementara itu, Datin Fauziah memandang Isha dengan senyuman. Dia baru menyedari betapa beratnya tekanan yang sedang ditanggung oleh gadis itu. "Isha, jom temankan mama ke dapur sekejap. Mama nak potongkan kek pisang,"
Isha mengangguk perlahan, berdiri dengan langkah yang sedikit lemah. Mereka berdua bergerak ke dapur, meninggalkan ruang tamu yang penuh dengan ketegangan.
Sebaik sahaja mereka tiba di dapur, Isha tidak dapat menahan perasaannya lagi. Air matanya mula mengalir deras, dan dia teresak-esak menangis. Datin Fauziah segera memeluknya, cuba menenangkan gadis yang sudah dianggap seperti anak sendiri.
"Mama minta maaf sayang..." pujuk Datin Fauziah dengan lembut sambil menyeka air mata Isha.
Isha menarik nafas panjang, cuba mengawal emosinya yang sedang meluap. "Papa marah Isha, ma sebab Isha bagitahu papa nak putuskan pertunangan ni. Dia orang nak majlis diadakan dalam masa tiga minggu lagi, mama. Isha tak nak kahwin dengan Emir,ma. Tak nak..."
Datin Fauziah mengusap lembut kepala Isha, suaranya penuh dengan rasa prihatin. "Tak apa, nanti angah cakap dengan papa ya. Mama yakin papa akan faham,"
Isha menggigit bibirnya, cuba menahan esakan yang semakin kuat. "Isha takut, ma. Isha tak pernah nampak reaksi papa macam tu. Papa tak akan terima kalau Isha tak ikut cakap dia,"
Namun, sebelum Datin Fauziah sempat membalas, kedengaran suara riuh dari ruang tamu. Suara Iskandar yang kuat memanggil nama Isha mengejutkan mereka. Datin Fauziah dan Isha segera bergegas keluar, meninggalkan dapur dalam keadaan tergesa-gesa.
Di ruang tamu, Iskandar berdiri dengan wajah merah padam, jelas sekali marah. "Isha! Mari sini sekarang!"
Isha, dengan wajah yang penuh ketakutan, segera melangkah ke arah ayahnya. Dia menarik tangan Isha dengan kasar, menariknya ke pintu. "Kita balik sekarang. Emran, ajar anak kau cara bercakap dengan orang tua. Aku maafkan dia kali ni, tapi aku nak perkahwinan ini berjalan lancar. Kalau tidak..."
Dengan itu, Iskandar dan Isha keluar dari rumah, meninggalkan suasana yang semakin tegang di ruang tamu. Emir hanya mampu melihat dengan perasaan bercampur baur—antara marah dan kesal— Emir masih tidak berganjak dari tempatnya, cuba menenangkan diri.
YOU ARE READING
Tak kan Pernah Ada
Любовные романыSebaik mana manusia merancang, Tuhan jugalah perancang yang terbaik. Sofia Irdina punya rancangan sendiri tentang hidupnya. Tentang cita-cita dan impian. Bukan untuk hari ni tapi untuk satu hari nanti setelah usia remaja dikorbankan untuk melindungi...