Sofia terjaga dari tidur petangnya dengan perasaan lega menyelubungi dirinya. Selepas membiarkan fikirannya menerawang jauh, dia menyedari sesuatu. Punca utama hadirnya perasaan lega itu—Emir.
Tugasnya di syarikat Emir sudah selesai. Begitu juga dengan bab yang penuh kontroversi dalam hidupnya sepanjang berurusan dengan Emir dan syarikatnya semuanya sudah berakhir. Dia dan lelaki itu tidak mungkin akan bertemu lagi. Segaris senyuman terukir di bibirnya, dia meregangkan badan.
Ding!
Timbul rasa panik saat itu. Adakah ketenangannya bakal diragut semula? Matanya mengecil saat ternampak nama Elly terpapar di skrin. Dia tersenyum
Jgn lupa malam ni. [location]
Ding!
Tema : White Bride Dress
Realisasi itu menyambar seperti kilat—dia belum memilih baju untuk majlis tersebut. Panik menyapanya setelah dia terpandang jam sudah menunjukkan tepat jam 2.30 petang. Sofia tergesa-gesa bersiap.
"Ayish, mandi awal tau. Mama keluar sekejap. Pesan Rin mandi awal," pesan Sofia.
Farish mengangguk tetapi matanya melekat pada kaca televisyen. Sofia mencari kunci keretanya. Dia menepuk dahinya, tersedar keretanya sekarang berada di bengkel.
"Dil!" panggilnya.
Selang beberapa minit, pintu gelangsar dibuka. Kepala Aidil tersembul keluar. Riak wajahnya seakan dapat dibaca Sofia.
"Aku nak pinjam kereta boleh?" Sofia segera menghadiahkan senyuman paling manis buat abangnya itu.
"Tu... Gunalah," Aidil menggunakan bibirnya menunjuk ke arah kereta Mistsubishi biru yang diparkir di garaj rumahnya.
"Ish... Tak nak aku. Kereta kau mana?"
"Bini aku pakai. Kereta dia aku hantar kat service centre," sengaja dia menekankan perkataan bini itu.
Mata Aidil tertumpu pada kerutan di dahi Sofia. "Nak pakai kunci kat dalam. Tak nak pakai, naik aje grab. Jangan nak merungut," bebel Aidil.
"Aku lagi rela naik grab daripada guna kereta itu," Sofia terus masuk ke dalam rumah untuk bersiap.
Angin penghawa dingin menyambutnya saat dia melangkah masuk ke dalam butik Mia. Suasana elegan dan bergaya butik Mia memberikan harapan baju yang sesuai akan dibeli dari butik ini kerana dia sudah tidak punya masa untuk mencari. Dia kena berada di rumah Elly sebelum 7.30 malam.
Menelusuri ruangan butik, Sofia dikelilingi dengan tulle dan satin, kilauan warna dan tekstur seakan menari di hadapannya. Mia terus menyambutnya dengan senyuman hangat.
"Ada yang berminat?" soal Mia sambil mendepakan tangannya.
"Aku betul-betul lupa tentang majlis pertunangan malam ini," Sofia mengaku. "Dan aku perlu bantuan kau," Sofia merapatkan kedua belah tangannya.
Gelak tawa Mia berdenting melihat wajah risau Sofia. "On it! Don't worry! Ini Damia Hana, setakat nak cari gaun. Macam kupas kacang aje," Mia menjungkitkan keningnya.
"We can start here," dengan kecekapan Mia, dia membimbing Sofia ke setiap rak-rak. Sofia rambang mata. Semua gaun kelihatan cantik di matanya.
Kemudian, mata Sofia tertumpu pada sehelai gaun putih di hadapannya. Gaun itu menggunakan kain satin yang berwarna putih gading dan berbentuk A-line. Kesederhanaan gaun tersebut merupakan pemanisnya.
"This is it," bisiknya, Senyuman Mia melebar, matanya berkilauan tanda bersetuju dengan Sofia.
"Perfect!" Mia bersuara penuh keyakinan. Seakan-akan mengumumkan kepada semua yang berada dalam butik itu. "You look so pretty."
YOU ARE READING
Tak kan Pernah Ada
RomanceSebaik mana manusia merancang, Tuhan jugalah perancang yang terbaik. Sofia Irdina punya rancangan sendiri tentang hidupnya. Tentang cita-cita dan impian. Bukan untuk hari ni tapi untuk satu hari nanti setelah usia remaja dikorbankan untuk melindungi...