Selepas anak-anak tidur, Sofia berjalan perlahan menuju ke meja kecil di biliknya. Komputer ribanya yang sudah tersedia di atas meja dibuka. Jika dia tidak dapat tidur, sekurang-kurangnya dia boleh fokus pada kerja. Mesyuarat esok memerlukan persiapan yang rapi, dan Sofia tahu dia perlu memberikan yang terbaik untuk memastikan program perpustakaan berjalan lancar.
Dia membuka beberapa fail dan sesekali menonton video di YouTube, mencari inspirasi untuk menjadikan program perpustakaan lebih menarik kepada pelajar kolej. Namun, ketika dia sedang khusyuk bekerja, terdengar suara Wafa dari luar bilik.
"Jangan lewat sangat balik, Bella." Suara Wafa jelas kedengaran, nadanya agak serius.
"Tak balik? Kau jangan jalan dengan orang lain pula, tau! Kalau dengan Emir tak apa," Wafa menambah, dengan nada gurauan.
Sofia terdiam. Matanya melirik ke arah jam di sudut kanan laptop—12:50 pagi. Fikirannya mula berputar. Dia segera menyelak langsir bilik dan melihat ke luar. Kereta Emir tiada di tempat biasa. Sofia menarik nafas panjang, cuba menenangkan hatinya yang mula tidak tenteram.
Dia menyimpan semua fail kerjanya, menutup komputer riba, dan memasang alarm di telefon bimbitnya. Namun, fikiran tentang Emir dan Isabella yang masih keluar bersama mengganggu perasaannya. Sofia memadamkan lampu, cuba melelapkan mata, tetapi bayangan Emir dan Bella terus menghantui fikirannya.
Entah pukul berapa Sofia akhirnya tertidur, tetapi apabila dia terjaga, jam sudah menunjukkan 5:30 pagi. Dia terkejut, melompat dari katil, dan segera bersiap, risau anak-anaknya sudah terlewat untuk ke sekolah. Selepas mandi dan berpakaian, dia tergesa-gesa turun ke bawah.
Namun, apabila Sofia sampai di ruang tamu, dia terkejut melihat anak-anaknya, Farish dan Irina, sudah siap sedia. Mereka sedang berbual sambil menunggu di ruang depan.
"Mama lambat bangun hari ni. Tapi kami dah siap!" Farish berseru riang.
"Mama, dah mandi? Kami nak jalan dah ni," Irina menambah sambil tersenyum.
Sofia memeluk mereka dengan penuh kasih sayang sebelum membiarkan mereka keluar ke pintu. Di luar, Emir sudah menunggu di pagar sambil tersenyum melihat Farish dan Irina. Selepas mereka melambai kepada Emir, Sofia perlahan-lahan keluar dari rumah, rasa aneh menjalar di dalam hati.
Emir memandang Sofia dengan senyuman biasa. "Nak saya jemput balik nanti?" tanyanya dengan lembut.
Sofia menolak pada mulanya. "Tak apalah, saya boleh balik sendiri."
Namun, Emir berkeras. "Lebih baik saya jemput. Untuk keselamatan awak. Please..."
Sofia akhirnya mengalah dan setuju. "Baiklah."
Mereka memasuki kereta, dan Emir mula memandu menuju ke pejabat Sofia. Suasana di dalam kereta agak tenang, namun Sofia tidak dapat menghilangkan rasa gelisah di hatinya. Beberapa minit berlalu dalam keheningan sebelum Emir tiba-tiba mula berbual.
"Saya bising eh semalam?" Emir memulakan, matanya masih memandang ke arah jalan.
Sofia, yang sedang cuba mengawal perasaannya, mengangguk sedikit. "Ya, macam awak tengah berbual di sebelah saya aje,"
Emir tersenyum tipis, seolah-olah teringat sesuatu yang menyenangkan. "Best berbual dengan Bella. Saya kagum sangat dengan cara dia berfikir. Masih muda tapi dah tahu dia nak apa dalam hidup. Kalau orang tak kenal dia mesti terkejut umur dia baru 23 tahun,"
Sofia memandang ke luar tingkap, cuba mengelak dari memberi reaksi, namun hatinya semakin resah. Dia tahu perasaan cemburu itu tidak sepatutnya ada, tetapi mendengar Emir tak putus-putus memuji Isabella membuatkan dia tidak senang duduk.
YOU ARE READING
Tak kan Pernah Ada
RomansSebaik mana manusia merancang, Tuhan jugalah perancang yang terbaik. Sofia Irdina punya rancangan sendiri tentang hidupnya. Tentang cita-cita dan impian. Bukan untuk hari ni tapi untuk satu hari nanti setelah usia remaja dikorbankan untuk melindungi...