Malam itu, mereka makan malam bersama. Ara, Dilla, Ikmal dan kedua ibubapa Dilla. Mereka menikmatinya dengan senyap terutama Dilla. Malam ini dia akan merayu kepada ibubapanya supaya pertunangannya itu dapat dibatalkan. Ketegangan dapat Ara dan Ikmal merasakan tetapi mereka di situ hanya untuk memberi sokongan kepada Dilla.
"Along tak datang ke malam ni?" tanya Encik Said memecahkan kesunyian.
"Tak, dia terpaksa bermalam kerana banyak kes kecemasan. Dia kirim salam kat Dilla," jawab ibunya. Dilla hanya mendiamkan dirinya. Terlalu banyak pertanyaan yang ingat ditanya kepada ibunya tetapi di meja makan bukanlah tempat yang sesuai.
"Tambahlah lagi Ikmal. Bukan senang nak sampai ke rumah ni," pelawa Encik Said tersenyum.
"Alhamdulillah dah ni, pakcik. Sedap kari kepala ikan yang makcik masak ni," jawab Ikmal.
"Yang tu Dilla masak," jawab Ara. "Aku yang tolong tau" katanya lagi.
"Betul ke?" tanya Ikmal sambil menyuap nasi ke mulut. Memang terbuka seleranya malam ini. Yang menjanggalkan hanyalah isu pertunangan Dilla. "Orang kata kalau makanan sedap, ia dimasak dengan keikhlasan dan kasih sayang. Sayang jugak awak kat saya ya?"usik Ikmal. Dilla mengetap bibir untuk menahan kaki kanannya dari menyepak kaki Ikmal di bawah meja.
"Tapi itulah, saya dah jadi tunangan orang," balas Dilla. Ikmal yang ceria terus bermuram. Encik Said dan Puan Wahida berpandangan sesama mereka. Mereka sangat rasa bersalah kerana Ikmal seorang pemuda yang baik. 'Baik Ikmal, pandai kau berlakon,'bisik hatinya. Semuanya menyambung makan dengan senyap sekali lagi.
Selesai makan malam mereka semua berkumpul di ruang tamu. 'Inilah masanya,' bisik hati Dilla.
"Ayah, Dilla balik sebab nak tanya mengapa ayah tunangkan Dilla tanpa berunding dengan Dilla?" Ikmal dan Ara mendengar sahaja pertanyaan Dilla itu. ibunya Puan Wahida menghela nafas panjang.
"Sebab mak yang hendak Dilla bertunang dengan Razlan," jawab ibunya.
"Mak? Tapi kenapa?"
"Sebab dalam fikiran mak Dilla gemuk susah orang nak berkenan," jawab ibunya selamba.
"Haaahhhhh?" Ara, Ikmal dan Dilla tersentap mendengar kata-kata itu.
"Yalah, pemuda macam Razlan rasanya takkan datang dua kali di dalam hidup kita," kata ibunya lagi.
"Mak terima sebab Dilla gemuk? Mak takut Dilla takkan kawin sebab orang tak berkenan sebab Dilla gemuk?" tanya Dilla tak percaya. Ibunya mengangguk. "Ayah betul ke ni? Dilla tak percaya itu je sebabnya."
"Mak Razlan berkenan dengan Dilla sebab dia kata Dilla comel. Mereka kenal Dilla sejak Dilla kecil-kecil lagi," kata ayahnya. Ikmal dan Ara masih lagi memproses perbualan anak beranak itu.
"Hai anak mak, mak melawak je tadi. Sebenarnya Auntie Jamilah dan Uncle Adham memang berhajat menjadikan Dilla menantu mereka. Mereka tidak kisah kalau rupa Dilla macamana sebab masa kenduri Wan Busu dulu mereka banyak memerhatikan Dilla."
"Mak ni kan. Gugur jantung Dilla tau. Sampai hati mak cakap anak mak gemuk," kata Dilla merajuk.
"Bukan ke?" usik ibunya.
"Mak ni!" rajuk Dilla masih tidak surut. Ikmal hanya tertawa. 'Oh, begini kau kat rumah ya. Manja sangat orangnya,' fikir Ikmal.
"Rasanya objektif tak tercapai ni, dia tak cakap pun nak putuskan sekarang jugak ni," bisik Ara kepada Ikmal.
"Pakcik, makcik saya minta dengan penuh rendah diri, batalkanlah pertunangan ini. Saya sayangkan Dilla. Tolonglah pakcik, makcik," Ikmal merayu sebaik mungkin.
"Betul mak, tolonglah Dilla. Dilla tak maulah tunang lanang tak tau orang ni. Seram tau tak?" Dilla mencuba lagi.
"Sudahlah Dilla, Ikmal. Keputusan ini muktamad. Pakcik dan makcik minta maaf tidak dapat memutuskan pertunangan ini. Yang boleh putuskan hanyalah sebelah Razlan. Pakcik dan makcik tak mahu merasa bersalah. Mereka telah menolong kami anak-beranak tanpa mengharap apa-apa balasan pada suatu ketika dahulu," terang Encik Said. Dia pergi kepada Dilla dan memegang bahunya. "Maafkan ayah, Dilla. Bertahan sahaja biarpun Dilla sudah bertunang, jodoh Dilla masih di tangan Allah. Kita tengok sahaja ya?"
"Tapi ayah.."
"Ayah tahu,ayah pun sukakan Ikmal tapi semuanya sudah terlambat," balas Encik Said. Dia memandang Puan Wahida yang hanya mendengar sahaja dari tadi. Ara yang ceria itu pun begitu simpati dengan nasib Dilla. Keadaan menjadi sunyi sepi yang kedengaran hanyalah esakan Dilla yang cuba dikawal agar tidak keterlaluan. Dia mengesat airmatanya dan menelan kepahitan kenyataan ini. Dia berlalu ke biliknya dan diikuti oleh Ara. Ibunya cuba menenangkannya tapi tidak dihiraukan oleh Dilla yang masih menyapu airmata deras mengalir.
Ikmal pergi kepada Encik Said dan bersalaman dengannya.
"Izinkan saya balik ke hotel dulu, pakcik. Biarpun pertunangan ini tidak dapat dibatalkan bolehkah saya terus berkawan dengan Dilla pakcik, makcik?" kata Ikmal tenang.
"Asalkan Ikmal tahu batasannya. Dilla kini tunangan orang," kata Puan Wahida perlahan. Ikmal mengangguk.
"Esok, saya ingat hendak pergi ke Tanjung Dawai nak cari ikan bilis dan belacan. Mak saya pesan. Pakcik dan makcik nak ikut?" tanya Ikmal lagi. Puan Wahida tersenyum. 'Baik budi bahasa budak ni,'bisik hatinya.
"Makcik dan pakcik ada mesyuarat kenduri kampung. Dilla dan Ara ajelah temankan Ikmal boleh?"
"Terima kasih kerana izinkan makcik, pakcik," ucap Ikmal. Encik Said menepuk-nepuk bahu Ikmal perlahan seperti meminta maaf kerana memisahkan Ikmal dan Dilla.
"Saya balik dulu," ucap Ikmal dan berlalu keluar dari rumah itu. 'Maafkan aku Dilla aku tak dapat menolongmu,'kata hati Ikmal.
Ara masih lagi mengurut belakang Dilla kerana dia masih teresak-esak. Belum pernah Ara melihat Dilla begitu rapuh seperti ini. Dia hanya berada di situ tanpa mengeluarkan kata-kata. Dilla tidak memerlukan kata-kata sekarang. Dia hanya mahu Ara menemaninya. Setelah seberapa lama, tangisan Dilla makin reda.
"Kau dah rasa ok tak?"tanya Ara kepada Dilla. Dia menggelengkan kepalanya. Fikirannya bingung memikirkan ikatan yang tidak nampak ini membebankan emosinya. 'Mengapa aku?' soal hatinya berulang-kali. "Dilla, kau dengar tak ni?" tanya Ara lagi. Dilla memalingkan mukanya yang sembab kerana terlalu banyak menangis.
"Aku ok, kau baliklah. Dan jauh malam ni,"
"Betul ni? Kau tak mau aku teman? Aku boleh tidur sini kalau kau nak," pelawa Ara. Dilla menggelengkan kepalanya.
"Kau tak payah risaulah. Ini Dilla Riana. Aku tak mudah mengalah. Jika inilah takdirku aku akan terima tapi sebelum aku menyerah, aku takkan menerima ini bulat-bulat," kata Dilla menghembuskan hingus ke tisu.
"You're right! Hang in there. Allah takkan menguji hambaNya jika hamba itu tidak dapat menanggungnya. Kau rehatlah. Alah lagi dua tahun banyak benda boleh terjadi," pujuk Ara sambil memegang tangannya. Dilla cuba tersenyum.
"Kau pergilah balik, aku ok," katanya lagi.
"Esok, Ikmal ajak pi Tanjung Dawai. Nak cari ikan bilis dan belacan. Kau mesti ikut. Dapat jugak kau tenang-tenangkan fikiran tengok laut."
"Kau ni, kalau bercakap macam mak nenek. Tak tahu nak berhenti," usik Dilla cuba berbunyi ceria.
"Lebih baik mak nenek dari anak singa lapar macam kau. Eh, kau sedar sikit, aku je yang sanggup dengan kepala kau yang berangin tu. Oh, sorang lagi Ikmal. Pencinta setia kau tu," kata Ara tersenyum. "Tak sangka dia pandai mengambil hati orang tua kan?" kata Ara lagi. Lain macam aje Dilla mendengar pengakuan itu.
"Baguslah korang berdua memang elok bersama. Aku doakan berhasil," kata Dilla ketawa.
"Kau jangan macam-macam ya, dia suka kat kau bukan kat aku. Dia suka pompuan bambam macam kau. Yang ala-ala model ni, dia tak nak."
"Uih, bernanah telinga aku mendengarnya. ala-ala model? Pompuan bam-bam? Eii, perasan sungguh tuan puteri bendang padi ni," balas Dilla membuat muka. Hatinya terhibur seketika berbicara dengan Ara. Ya, dia akan mulakan hidup baru esok. Hidup sebagai tunangan Razlan apa entah namanya. Aku mesti fokus. Ini tahun akhir. Dia mengingatkan dirinya sekali lagi. Ara meminta diri untuk balik biarpun hatinya juga sedih dengan apa yang Dilla hadapi sekarang ini.
![](https://img.wattpad.com/cover/85023748-288-k306705.jpg)
YOU ARE READING
Mengapa Aku?
ChickLitMengapa aku? Dilla Riana Said ditunangkan dengan Razlan Shaari. Ibubapa mereka membuat majlis tanpa berunding dengan keduanya terlebih dahulu. Razlan Shaari, 34, simbol lelaki elit yang mementingkan kesempurnaan lebih-lebih lagi seorang wanita. Tamp...