Tamat

5.3K 235 35
                                    

Zariel menoleh ke kiri dan kanan. Jam yang dipakai pada tangan kanan ditatap. Sudah lebih kurang 30 minit dia duduk menunggu di situ tetapi bayangan isterinya langsung tidak kelihatan. Takut juga dia jika terjadi apa-apa kepada Aqilah.

Beberapa orang gadis yang sedang berjoging di taman itu mengerling ke arah Zariel. Mereka tersengih-sengih. Zariel hanya beriak biasa. Dia langsung tidak merasakan apa-apa. Sejak kali pertama dia terpandangkan Aqilah, hatinya sudah bertekad. Hanya Aqilah yang boleh membuatkan denyutan hatinya laju seakan memang tercipta hanya untuk gadis itu sahaja.

Kepala didongak ke atas secara tidak langsung apabila kertas kecil dihulur kepadanya. Wajahnya berkerut melihat seseorang yang memakai kostum beruang sedang berdiri menunggu dia menyambut kertas itu.

Zariel mengambil kertas itu lalu membuka lipatan. Matanya membaca sebaris ayat yang ditulis.

Ikut aku kalau nak tahu isteri kau kat mana.

Badan disandarkan ke kerusi. "Kenapa aku kena ikut cakap kau pula?" tanya Zariel dengan nada tegas.

Sebentuk cincin diberikan kepada Zariel sebelum gerangan yang memakai kostum beruang itu terus sahaja berlari pergi. Zariel menilik cincin itu. Cincin perkahwinan dia dan Aqilah.

Tanpa berlengah lagi, dia mengejar insan yang memakai kostum beruang itu. Akalnya mula berfikir yang bukan-bukan. Takut jika isterinya dalam bahaya. Perasaan risau mula menyelubungi hati. Hanya Allah sahaja tahu betapa bingungnya dia mahu berbuat apa kalau Aqilah tiada. Langkah dilajukan.

Pantas dia menarik lengan milik orang yang berada di dalam kostum beruang misteri itu. Cengkaman dikuatkan.

"Mana Aqilah? Aku takde masa nak main-main dengan kau! Mana isteri aku?" lantang Zariel bertanya.

Melihatkan tiada reaksi dari manusia yang memakai kostum beruang berwarna coklat itu melainkan mahu melepaskan diri, Zariel merengus kasar. Kepala beruang itu dipegangnya lalu ditanggalkan selaju yang boleh.

Perempuan yang menyamar memakai kostum beruang tersebut menggosok kepala perlahan-lahan. Tudung bawal ungu yang sudah senget-benget dibetulkan.

"Abang ni ganas sangatlah. Sakit kepala Aqilah tau!" Gadis itu memandang Zariel tidak puas hati. Niatnya nak bergurau itu mengundang sakit diri sendiri.

Hidung Aqilah ditarik sederhana kuat. Lega terus hatinya. Nasib tiada benda buruk yang berlaku.

Dada Zariel ditumbuk perlahan. Geram! Sudahlah kepalanya tadi ditarik seperti mahu putus, ini giliran hidung pula dihukum. Dia yakin pasti hidungnya merah saat ini.

"Padan muka! Tak kelakar tau. Tahu tak abang risau kalau apa-apa jadi! Jangan buat macam ni lagi!" Zariel memberi amaran. Wajahnya serius dan nada suara tegas.

Aqilah menelan liur. Roman tegang suaminya tidak berani dia tatap.

"Sorry, Aqilah cuma nak bergurau je. Takde niat nak takutkan." pujuk Aqilah lembut. Dia menarik tangan Zariel lalu mengusapnya perlahan.

"Yelah. Kalau buat lagi macam ni, tahulah apa abang buat!" ugut Zariel lagi.

Aqilah melangkah ke arah bangku. Dua buah headphone diambil lalu satu darinya dipakaikan ke atas kepala Zariel.

"Jom main satu game. Namanya whisper challenge."

"Apa benda tu?" soal Zariel sambil matanya melihat wajah Aqilah.

Aqilah mengeluh perlahan. Suaminya hidup di dalam gua ke apa? Tak akan benda yang viral macam ni, dia tidak tahu? Peminat Running Man juga arif tentang permainan ini.

Aku Tetap Nak Kau!Where stories live. Discover now