Bab 3

1K 36 0
                                    

Zamani berlari laju sambil menoleh beberapa kali ke arah belakang. Kakinya yang tidak berselipar melajukan lariannya dari beberapa orang lelaki yang mengejarnya. Rasa panas jalan tar itu tidak dipedulikan lagi. Apa yang penting ketika ini adalah dia perlu menyelamatkan dirinya.

Tiba di satu lorong kecil dia bersembunyi di balik dinding.  Berharap beberapa orang lelaki yang mengejarnya tadi tidak mengetahui kedudukannya sekarang. Nafasnya dihembus kasar. Peluhnya basah membasahi mukanya yang comot dengan minyak hitam.

“Argh, tak guna!  Macam mana dia orang boleh tahu aku kerja dekat sana.”amuk Zamani sambil menyepak kotak kosong di hadapannya.

Lorong yang gelap itu begitu sunyi. Hanya kelihatan samar-samar beberapa orang yang sedang berada di dalam duniannya sendiri. Aktiviti menyuntik dan berkongsi ‘benda haram’ giat dilakukan di situ.

Zamani menoleh ke belakang. Setelah memastikan orang yang mengejarnya tadi tiada lagi, dia mengambil keputusan untuk pergi dari situ. Hingus yang meleleh dikesat kasar dengan tapak tangannya. Tubuhnya yang mengigil serasa menikam-nikam. Ingin saja dia menyertai lelaki-lelaki yang sedang menyedut ‘benda haram’ itu tetapi memikirkan bahaya yang datang dia terus melarikan diri.

Pang!

Satu das tembakan dilepaskan ke arah bahu kiri Zamani. Terkejut dengan bunyi das tembakan itu semua yang berada di situ bertempiaran lari. Sangka mereka polis yang membuat serbuan di situ.

Zamani terjelepok jatuh menyembah jalan. Tangannya memegang bahu yang sudah ditembusi peluru. Darah membuak keluar bagai empangan pecah.

Lelaki yang melepaskan das tembakan itu datang menghampiri bersama dengan tiga orang anak buahnya. Ketawa dirinya melihat Zamani yang terkulai layu itu. Lantas,dia melayangkan satu sepakan ke arah muka Zamani tanpa belas.Tersembur darah dari mulut Zamani dengan disusuli bunyi retakan tulang yang patah.

“Arghhhhh....!!”Zamani bersuara sakit.

“Kau nak lari mana Zamani? Hutang aku kau tak bayar sekarang kau nak lari?”sinis Zimir berkata.Hujung pistolnya digaru ke kepala seperti pelakon psiko di dalam drama tv.

“A...aku....aku...”Zamani cuba berkata sesuatu.

“Bos dia sudah gagaplah sekarang. “ kata salah seorang anak buah Zimir kemudian mentertawakan Zamani.

Zimir menggeleng kepala perlahan kemudian ketawa sinis. “Aku hantar budak-budak aku cari anak kau dekat Langkawi tapi dia pun sama macam bapak dia. Lari sampai jatuh gaung. Dan,...”Zimir duduk bersila di sebelah Zamani yang terbaring menyiarap. Pistolnya diacu di belakang kepala Zamani.”Aku dengar dia mati!! “ Zimir ketawa kuat sambil tangannya menarik picu pistolnya. Bersedia untuk menembak Zamani bila-bila masa.

Zamani yang mendengar kata-kata Zimir itu terkejut. Anaknya terjatuh gaung?  Dalam kepayahannya dia cuba untuk bangun melawan.

“Syhhhh!  Jangan bergerak abah. Anak abah dah mati apa kata abah ikut dia sekarang. “Zimir ketawa kuat diikuti anak buahnya tiga orang.

Mendengar kata-kata itu, Zamani berusaha untuk bangun. Dia tidak boleh mati sekarang!

“Kau memang tak guna Zimir. Sama macam bapak kau yang rogol kemudian bunuh bini aku.” Dengan sisa kekuatan yang ada Zamani menghamburkan semuanya. Kerana dia berhutang dengan ayah Zimir keluarganya menjadi mangsa.

“Itu bukan masalah aku. Masalah aku bila kau tak boleh bayar hutang! “ Zimir memijak belakang badan Zamani. Sekali lagi dia mencium jalan sehingga lebam bibirnya dek kerana terhentak.

“Kalau dari dulu kau jual anak perempuan kau dekat aku dah settle hutang kau tapi kau degil. Nafsu binatang kau tu buat anak kau jadi macam lelaki. Sekarang macam mana kau nak bayar hutang aku!! “ Zimir melepaskan tembakan di kedua kaki Zamani.  Geram dia apabila apa yang dia mahukan tidak dapat.

“Kau bawa dia pergi gudang. Aku akan seksa dia sampai dia mati!!! “

Tiga orang anak buah Zimir mengikut arahan mengheret Zamani masuk ke dalam kereta. Setelah memastikan tiada yang memerhati mereka, Zimir berlari masuk ke dalam kereta yang kemudian dipandu laju membelah kesunyian malam.



SOFIA membuka pintu rumah sewanya.  Lemah kakinya ingin melangkah masuk ke dalam. Disebabkan kekawannya menunggu di luar pagar sehingga dia masuk ke dalam rumah, dia gagahkan juga kaki masuk ke dalam. Air matanya tidak henti-henti mengalir. Fikirkan semua ini bagaikan satu mimpi. Mimpi yang dia ingin bangun dari tidur.

“Danny! “Sofia meraung kuat di belakang pintu. Pipinya ditepuk kuat melampiaskan apa yang dia rasakan ketika itu.

Beg Danny yang dibawa pulang dipeluk erat. Haruman yang sering dipakai kawan baiknya itu terhidu di hidungnya.  Dia benar-benar inginkan Danny ketika ini.

“Aku datang sini nak enjoy tak nak fikir dah masalah dekat KL... “

Sofia teringatkan kata-kata Danny sebelum mereka merancang untuk bercuti bersama-sama. Tidak sangka percutian ini merubah menjadi satu tragedi yang tidak akan dia lupakan seumur hidup.

Nada dering Bruno Mars itu berbunyi di dalam tas tangannya. Cepat Sofia mengesat air matanya kemudian mencari telefon bimbitnya itu. Apabila sudah menjumpai telefonnya, dia melihat nama yang tertera di skrin.

Ibu?

“Assalamualaikum anak ibu... “suara ceria itu berkata di hujung talian.

Sofia melemparkan senyuman nipis.  “Waalaikumsalam ibu. Ada apa telefon Sofia malam-malam ni. Ibu tak tidur lagi? “Suara yang jelas mengigil itu cuba digagahkan juga.

“Belum lagi. Entah mata ni tak boleh lelap pula. Abah kamu pun belum balik lagi.  Biasalah kalau dah pergi mengeteh dengan kawan dia memang lambatlah nak balik. “Omel ibu Sofia.

Sofia senyum segarit mendengar omelan ibunya itu. Kalau ibunya itu ada di depannya sekarang sudah lama dia peluk erat. Melepaskan semua rasa sedih yang tidak ingin dia rasakan ketika ini.

“Fiya, dah balik dari bercuti? “ Ibu Sofia memanjangkan topik perbualan dengan anak perempuannya.

Sofia beralih ke sofa di ruang tamu.

“Dah ibu. Baru sampai. “

“Lah, ya ke? Lambat juga baru kamu sampai. Katanya bertolak pagi tadi.  Mana anak ibu lagi seorang? Selalu kalau ibu telefon kamu dia berebut dengan kamu nak bercakap dengan ibu.”

Apabila ibunya berkata begitu bertambah sedih Sofia mendengarnya.  Teringat dia akan kawan baiknya yang terlalu manja dengan  ibunya sampaikan dia ada sedikit rasa cemburu.  Walhal dia tahu kawan baiknya tiada siapa lagi melainkan keluarganya tempat dia menumpang kasih.

“Ibu...... Esok Fiya balik kampung boleh? “

Terdengar tawa ibunya di hujung talian. “Baliklah Fiya tiada siapa yang hendak marah. Kebetulan sekarang musim durian dekat dusun atuk kamu.  Danny kan hantu durian ajaklah dia sekali balik. “

Sofia mengemam bibirnya sekejap menahan air mata dari mengalir.  “In shaa Allah. Esok Fiya balik. “

“Yalah, dahlah ibu nak masuk tidur ni.  Kamu tu mandi dulu lepas tu baru tidur.  Balik larut malam ini kena bersihkan diri dulu baru tidur. “

“Okay ibu, kirim salam dekat abah. “ seraya itu Sofia mematikan talian.

Dia memeluk rapat lututnya sambil menangis sepuas hati di dalam kegelapan malam. Memori bersama kawan baiknya itu berputar di mindanya sehinggalah dia terlelap di sofa bersama dengan rembesan air mata yang mengalir.

Dua hari kemudian....

IZZ meletakkan songkok yang dipakai di sebelahnya. Kesan jahitan songkok di dahinya digaru perlahan sambil memandang Amal dan Maira yang sedang berjalan ke arahnya.Cuaca malam itu terasa nyaman menyapa kulitnya. Dia mendongak ke arah langit melepaskan lelah dua hari ini.

“Izz, muka kau nampak penat. “Tegur Maira di sebelah.

Amal memandang kawannya itu.

“Penat sikit. Kau orang tak ‘penat’ ke?” Soal Izz dengan maksud yang dalam.

Maira dan Amal saling berpandangan kemudian menjongket bahu masing-masing.

“Danny dah tak ada Izz. Kita kena terima semua qada’ dan qadar. “

“Aku cuba untuk terima tapi perbuatan dia, kata-kata dia asyik terngiang-ngiang dekat telinga aku ni. Siang itu dia sendiri cakap dengan aku yang dia...”

“Dia nak tinggal dekat Pulau Langkawi itu sampai bila-bila? “Sofia memotong dari belakang. Amal dan Maira memandang ke arah Sofia yang baru nenyertai mereka di bawah pangkin buatan ayah Sofia.

Majlis tahlil dan doa selamat dibuat oleh keluarga Sofia sebaik saja Sofia memberitahu hal yang sebenar kepada orang tuanya. Ibunya menangis teresak-esak apabila mendapat tahu akan berita kehilangan dan kematian Danny. Tiada siapa dapat mengagak Danny akan pergi secepat itu.

“Dia macam tahu yang dia nak pergi, kan? “Ujar Maira mencelah.

Sofia dan Izz sama-sama melepaskan keluhan.

“Izz, kau tak telefon Anas ke? “soal Amal kepada Izz.

“Dah, tapi tak angkat. Aku cari dia dekat rumah tak ada. Dekat ofis tak ada. “Beritahu Izz.

Sofia melemparkan senyuman sinis.  “Buat apa sibuk-sibuk nak cari dia.  Aku tak ada kawan yang lupakan kawan macam dia itu. Dia tinggalkan kita dekat sana macam itu aja. Tak ada langsung nak tanya soal perkembangan   Danny. “

Maira mengosok perlahan lengan Sofia menenangkan kawannya itu. Dia tidak mengatakan kata-kata Sofia itu salah.  Apa yang dikatakan Sofia itu juga bermain di kepalanya sekarang. Hairan dia apabila Anas menghilang diri begitu saja walhal Anas yang paling rapat dengan arwah Danny.

“Tak baik Fiya kata macam itu. Kita tak tahu apa yang Anas lalui sekarang.  Mungkin dia terkejut bila Izz beritahu soal arwah Danny. “

Sofia memandang tajam ke arah Izz.  “Habis, kita ini suka ke bila Danny pergi? Kita tak terkejut? “Soal Sofia lantang.

“Sabar Fiya. Kita semua penat baru balik. Emosi kita semua masih belum stabil. Betul kata Izz. Mungkin Anas ada sebab kenapa dia hilangkan diri macam ini. Kita dah berkawan lama. Masing-masing kenal satu sama lain.  Bagi dia masa Fiya. “Kata Amal lembut.

Sofia menggelengkan kepala.

Dia yakin Anas bukan sengaja tidak menjawab panggilan darinya tetapi ingin menjauhkan dirinya. Hatinya benar-benar tersinggung dengan perbuatan Anas. Sampai hati dia berbuat begini.

Kawan Ke Kahwin!Where stories live. Discover now