Bab 8 🦋

16.4K 1.4K 24
                                    

Sudah dua minggu berlalu dan Haji Safuan sudah pun pulang ke kediamannya. Hafiz yang menjaga dan menguruskan segala keperluan Haji Safuan.

Hani hanya datang menjenguk sekali-sekala. Hannah pula hanya bantu apa yang patut.

Hannah berasa serba-salah dengan Delilah kerana gadis itu terpaksa mencari pekerja lain untuk menggantikan dirinya sementara.

Minggu lepas gadis itu menghubungi Delilah dan memohon untuk menyambung cutinya. Mujurlah Delilah faham dengan keadaannya sekarang.

Hannah telah diamanahkan oleh Hafiz untuk menjaga Haji Safuan. Paksa atau rela dia harus memikul tanggungjawab itu.

Pagi itu Hannah mengemas katil Haji Safuan. Bilik abahnya disapu sehingga bersih. Cadar juga sudah ditukar baru.

Selesai saja Hafiz memandikan abah mereka, dia memakaikan Haji Safuan baju.

Haji Safuan terbaring di atas katil. Orang tua itu tidak banyak bicara sejak dia pulang dari hospital.

Hafiz keluar dari bilik dan pergi ke arah adiknya yang sedang terbaring di atas sofa ruang tamu. Dia turut melabuhkan punggungnya di sebelah Hannah.

"Esok aku dah nak balik" kata Hafiz sambil matanya melirik ke arah Hannah. Gadis itu hanya mendiamkan diri.

"Jadual ubat abah semua aku dah buat, ada aku letak dalam almari ubat abah. Nanti kau tengoklah sendiri"

Hannah menelan air liur mendengar kata-kata abangnya. Dia risau. Mampukah dia untuk menjaga abahnya seorang diri bila Hafiz tiada nanti.

Bolehkah abahnya itu menerima dirinya? Kusut fikirannya memikirkan persoalan itu. Walau apapun persoalan yang timbul, keputusannya tetap sama. Dia tetap akan menjaga abahnya. Muktamad.

"Nanti Doktor Wafri nak datang periksa abah. Kau ada kan nombor dia?"

"Ada..." jawab Hannah perlahan membuatkan Hafiz mengeluh. Badannya dipusing menghadap adik perempuannya.

"Hannah, kau janganlah macam ni. Mungkin dalam sebulan lagi aku balik semula. Tak kan nak jaga abah pun kau takut?"

"Bukan aku takut tapi kau pun tahu kan abah bukannya nak sangat dengan aku. Lain la kalau dengan kau, semuanya abah okay je. Kalau aku, macam-macam benda tak kena. Aku tak nak abah makin sakit sebab abah tak suka aku jaga dia" kata Hannah meluahkan isi hatinya.

"Tak apa, lama-lama abah akan faham la tu. Kau cubalah pujuk abah, mana tahu hati dia lembut? Kau pun janganlah banyak sangat fikir negetif. Abah bukan tak suka kau, dia cuma masih tak boleh terima keadaan dia yang sekarang"

Hannah mengangguk. Dia hanya melihat saja abangnya itu. Suara itu seakan-akan mahu memujuk hatinya supaya tidak bimbang. Namun, hatinya masih lagi gusar. Kata-kata itu tidak cukup untuk meyakinkan dirinya untuk mengambil alih tugas Hafiz.

"Aku nak keluar, nak pergi tengok resort abah kejap" kata Hafiz sebelum bangkit dari baring nya. Hannah melihat bayang abangnya yang hilang di sebalik pintu itu.

Matanya mula beralih pada pintu bilik abah. Hatinya sayu melihat keadaan abah yang sekarang.

Baru saja dia mahu bangun ke dapur, dia melihat Haji Safuan yang cuba untuk mencapai sesuatu. Pantas saja Hannah masuk ke dalam bilik abahnya dan bantu mengambil cawan yang terletak di tepi katil.

"Abah nak air?" soal Hannah lembut. Haji Safuan mengangguk perlahan. Tangan kecil Hannah mula mencapai cawan dan memberikan cawan itu pada Haji Safuan.

Baru setengah air diteguk, Haji Safuan sudah menolak tanda tidak mahu minum lagi.

Hannah meletakkan cawan itu kembali. Dia cuba untuk membantu Haji Safuan untuk berbaring semula. Kain selimut ditarik dan menutup separuh badan Haji Safuan.

"Abah, Kak Irah ada masak sup ayam.... Kalau abah nak makan, Hannah ambilkan"

Sekali lagi Haji Safuan hanya menggelengkan kepalanya. Hannah akur dengan jawapan abahnya itu. Dia tahu, dia tidak boleh memaksa abah. Jika tidak pasti orang tua itu akan mengamuk.

"Okaylah, kalau abah nak apa-apa panggil je Hannah. Hannah keluar dulu" kata Hannah sebelum dia melangkah keluar dari bilik itu. Pintu bilik ditutup rapat dan kakinya menuju ke dapur.

"Eh, Hannah buat apa dekat sini?"

"Buat air je"

"Meh la Kak Irah buat, Hannah pergi duduk dekat depan"

"Tak apa la Kak Irah.... Nak siap dah pun. Kak Irah dari mana ni?" soal Hannah apabila melihat beberapa bungkusan plastik di tangan Munirah.

"Akak dari pasar, cari barang dapur sikit"

Hannah hanya mengangguk. Dia membelek isi yang ada di dalam plastik itu.

"Gaji Kak Irah bulan ni dah bayar kan?" soal Hannah lagi. Melihat Munirah yang mengangguk itu membuatkan hatinya lega sedikit.

"Nanti kalau ada apa-apa nak buat, Kak Irah bagitahu Hannah okay? Jangan buat kerja sorang-sorang lagipun Hannah bosan duduk je tak buat apa-apa. Kalau Kak Irah nak masak, ajak Hannah sekali okay?"

"Hannah nak belajar masak ni untuk bakal suami ke?" usik Munirah. Hannah tersenyum janggal.

Bakal suami? Calon pun tak ada lagi.

"Memandai je Kak Irah ni. Okaylah, Hannah nak masuk bilik dulu. Nanti apa-apa panggil tau" pesan Hannah sebelum dia melangkah masuk ke dalam bilik tidurnya.

Tudung sarung yang dipakai tadi dicabut kemudian di sangkut pada tepi pintu. Badannya direbahkan di atas katil. Matanya dipejam cuba untuk menghilangkan lelah.

"Harraz......"

Tiba-tiba saja nama itu terpancul keluar dari bibirnya. Dia mula teringat hari terakhir dia berjumpa dengan lelaki itu di pasar mini dulu.

Rasa sunyi pula bila Harraz tiada. Selalunya ada saja perkara yang akan mereka gaduh kan.

"Ish! Buat apa aku ingat dekat dia pula? Mengarut je kau ni Hannah, kan bagus dia tak ada. Aman sikit hidup kau"

Hannah mula terdiam dan memikirkan kata-katanya tadi. Aman?

Memanglah aman, tapi dalam masa yang sama aku rasa bosan. Entahlah..... tak akan aku rindu dia?

Hannah mengeluh. Teruk betul. Semua ni salah Harraz la. Siapa suruh muncul dalam hidup dia.

Hannah termenung. Matanya memandang ke luar tingkap. Lama dia begitu dan akhirnya matanya mula terasa berat dan terpejam perlahan-lahan.

Hai Encik Lanun [C]Where stories live. Discover now