Bab 10 🦋

17.3K 1.4K 3
                                    

Hannah duduk termenung di atas sofa di ruang tamu. Hani sedang berbual dengan Haji Safuan di dalam bilik. Elok saja abahnya tersenyum bila Hani datang.

Hatinya rasa panas. Siapa saja tak cemburu bila ayah sendiri layan adik beradik lain lebih mesra berbanding diri sendiri.

Lagi menyakitkan bila kakaknya itu langsung tidak endahkan cadangannya untuk bawa abah ke hospital untuk merima rawatan sepatutnya.

Dia seperti tidak kisah dengan keadaan abah yang setiap hari terperuk di dalam bilik yang gelap itu dan tak mahu keluar menghirup udara segar.

"Hannah" panggil Hani sambil melangkah ke arah Hannah. Gadis itu melabuhkan punggungnya di sebelah Hannah.

"Kau dah bagitahu Hafiz pasal apa yang aku cakap haritu?" soal Hannah tanpa menunggu. Matanya menatap wajah kakaknya lama.

Hani mengeluh perlahan mendengar pertanyaan adiknya. Pelipisnya diurut sebelum menoleh memandang wajah Hannah.

"Kan aku dah kata, tak payah paksa abah. Kau pun tahu abah tu bukannya suka dipaksa" ulas Hani malas. Sudah berkali-kali Hannah menyebut soal ini. Rimas jadinya.

"Habistu nak biarkan abah duduk macam mayat hidup dalam bilik tu? Aku nak buka tingkap pun abah tak bagi. Macam mana abah nak sihat kalau macam tu?" kata Hannah tidak puas hati.

"Takkan kau nak paksa abah? Nak heret abah keluar rumah? Macam tu?"

Hannah berdecit. Ada ke pula Hani cakap begitu. Bukannya apa, dia mahu abah hirup udara luar. Barulah segar sikit badan.

"Tak adalah sampai macam tu. Kau pujuklah abah. Kalau dengan kau, mesti abah setuju"

"Tak payah la Hannah. Lama-lama nanti abah okaylah tu" kata Hani. Wajahnya bersahaja.

"Kau ni Hani, macam tak kisah je pasal abah. Kau kan anak kesayangan abah....tak akan pasal nak jaga abah pun kau malas?" sindir Hannah pedas. Wajah Hani berubah serta-merta.

"Aku nak pergi dapur. Tekak haus" potong Hani dan terus berlalu ke arah dapur.

"Memang lah tekak haus. Tak kan hidung pula"

Hannah mendengus geram. Banyak betul alasan yang dikatakan Hani. Sampaikan dia pun sudah tidak tahu harus menjawab apa lagi. Sudahnya, dia yang bengang sendiri.

"Aku balik dulu. Minggu depan kalau aku free aku datang jenguk abah" sapaan itu mematikan lamunan Hannah. Hani menghulur salam dan terus berlalu.

"Jangan cakap je. Last-last tak datang juga" Hannah menggulingkan bola matanya.

Gadis itu hanya melihat Hani yang hilang di sebalik pintu. Gadis itu kemudiannya melangkah masuk ke dalam bilik Haji Safuan.

Termos air dicapai kemudian dia menuangkan air suam ke dalam gelas. Dia mengambil bekas yang berisi ubat dan melangkah ke arah abahnya yang sedang terbaring.

"Abah....kita makan ubat ya?" sapanya lembut. Hannah duduk bersimpuh di tepi katil Haji Safuan. Tangannya menghulur dua biji pil bersama segelas air.

Namun Haji Safuan tidak menyambut huluran Hannah. Lelaki itu hanya mendiamkan diri.

Melihat abahnya yang hanya membatu itu membuatkan Hannah mengeluh. Gelas air dan pil-pil ubat itu diletakkan kembali di atas meja.

"Abah, abah kena makan ubat. Macam mana nak sembuh kalau abah tak nak makan ubat?" pujuknya. Hannah cuba melembutkan lagi suaranya.

"Sampai bila aku nak kena makan ubat ni? Sampai bila?! Kalau makan pun bukannya aku sembuh!" bentak Haji Safuan. Suaranya meninggi.

Hannah tersentak dengan herdikan abahnya yang tidak sama sekali dia jangka. Dia beristighfar di dalam hati. Cuba untuk memujuk hati agar bersabar.

"Abah tak boleh cakap macam tu. Abah sembuh atau tidak itu semua kuasa Allah. Yang penting abah kena usaha. Kalau abah berdegil macam ni sampai bila-bila abah tak akan sembuh. Abah nak ke macam tu?" nasihat Hannah. Suaranya menjadi lebih tegas dek kerana dia sedang menahan geram dengan sikap degil abahnya itu.

Haji Safuan merengus kasar.

"Aku cakap aku tak nak! Jangan paksa aku!" tangannya menolak kasar bekas ubat yang Hannah letakkan di atas meja. Bekas itu terjatuh.

Gelas air tadi pecah dan kaca bertaburan di atas lantai begitu juga dengan pil-pil ubat. Terbeliak biji mata Hannah melihat perbuatan Haji Safuan.

Buat seketika, dia diam membatu. Melihat abahnya yang berkerut-kerut menahan amarah.

Tidak semena-mena Hannah berasa takut. Jari-jemarinya terketar-ketar mengutip pil-pil dan kaca-kaca itu masuk ke dalam tong sampah.

"Hannah keluar dulu" dia meminta diri dan pantas melangkah keluar dari bilik Haji Safuan.

Di pintu, Hannah memerhatikan Haji Safuan yang menundukkan wajahnya. Tubuh lelaki tua itu terhenjut-henjut kerana menangis. Dia tahu abahnya sedang menahan sebak yang terbuku di dada.

Hiba hatinya melihat keadaan abah sendiri saat itu. Pasti abah menerima tekanan perasaan yang hebat hingga dia berubah 360 darjah.

Lelaki yang selalu berkeyakinan tinggi dan hanya mahu orang menurut telunjuknya terpaksa akur dengan ketentuan Ilahi apabila nikmat yang dipinjamkan Allah ditarik sedikit.

Rasa bersalah mula melingkari lubuk hatinya. Namun, dia membiarkan Haji Safuan menyendiri melayan perasaan.

Dirinya mengeluh sebelum dia kembali masuk ke dalam biliknya sendiri.

Hai Encik Lanun [C]Where stories live. Discover now