Bab 15 🦋

14.9K 1.6K 7
                                    

Hannah memandang beberapa orang lelaki yang sedang mengambus tanah kubur setelah menurunkan jenazah di liang lahad. Matanya masih tidak beralih dari situ.

Tubuhnya kaku tidak berdaya. Air mata dari tadi tidak berhenti-henti mengalir. Fikirannya terasa kosong. Gadis itu seperti tidak percaya dengan apa yang terjadi.

Panggilan dari Hafiz semalam membuatkan dia pantas saja memandu pulang ke Pulau Langkawi semula. Jantungnya berdetak laju saat mendengar berita yang abah sudah meninggal dunia.

Talkin dibaca setelah selesai upacara pengebumian. Hannah, Hafiz dan Hani sama-sama duduk menghadap tanah kubur yang masih merah itu.

Suara sayu imam yang membaca talkin itu menambahkan lagi rasa sedih dalam diri mereka bertiga. Hafiz sedaya upaya mencuba untuk menahan air mata lelakinya dari jatuh namun dia gagal.

Siapa saja yang mampu menahan perasaan jika ayah sendiri sudah pergi meninggalkan dunia ini selamanya. Sungguh dia tidak sangka yang Haji Safuan akan pergi secepat ini.

Baru beberapa hari lepas Hannah menelefonnya. Gadis itu memberi tahu yang keadaan abah semakin baik. Hatinya gembira mendengar khabar itu dan terus saja memohon untuk pulang bercuti.

Selesai bacaan talkin, imam membaca doa. Hampir satu jam mereka di situ. Setelah selesai semuanya, seorang demi seorang melangkah pergi dari tanah perkuburan yang mula diliputi awan gelap.

"Hannah, kita balik jom. Dah nak hujan ni" Hafiz menegur Hannah yang masih lagi tidak berganjak dari tepi kubur Haji Safuan.

Gadis itu tertunduk. Air matanya mula mengalir lagi. Esakannya bertambah kuat.

Hafiz mengeluh perlahan sebelum dia menyamakan kedudukannya dengan Hannah. Bahu adik bongsunya itu dipegang erat.

"Hannah, aku kata balik. Tak baik menangis macam ni. Kita kena terima takdir Allah. Kau kena reda" pesan Hafiz perlahan.

Namun Hannah masih lagi kekal di tempatnya. Air matanya sudah tidak tahu cara bagaimana untuk berhenti. Hatinya benar-benar sakit. Dia sedih kerana tidak dapat bersama dengan abah pada saat-saat akhir lelaki tua itu.

Hafiz tidak sanggup lagi melihat Hannah begitu. Pantas saja tubuh adiknya ditarik ke dalam satu pelukan. Hani hanya memandang kedua mereka dari jauh.

Dia juga bersedih. Perasaan bersalah mula hadir di dalam hatinya. Terkadang itu dia rasa menyesal kerana menganggap sakit abahnya itu hanyalah sekadar sakit yang biasa. Namun penyesalannya itu sudah tidak berguna lagi.

Nasi sudah pun menjadi bubur.

"Jangan menangis. Tak baik kau meratapi pemergian abah macam ni Hannah. Kau kena kuat. Kita sama-sama doakan abah supaya abah tenang dekat sana. Kita balik ya?" pujuk Hafiz lagi.

"A-aku rindu abah...."

"Ya, aku tahu. Aku pun rindu abah. Aku pun sedih Hannah. Tapi kau tak boleh macam ni. Jom, ikut aku balik"

Tangan Hannah ditarik perlahan. Gadis itu bangun dengan air mata yang masih tersisa.

Hafiz sudah melangkah dulu di hadapan bersama dengan Hani. Hannah pula masih lagi kaku tidak berkutik.

Langkahnya mula diatur perlahan-lahan seolah-olah dia sedang menghitung langkahnya. Tiba pada langkah yang ketujuh, Hannah berpaling memandang ke arah kubur Haji Safuan.

Pantas mindanya teringat pada kata-kata ustazahnya dulu sewaktu di sekolah menengah. Malaikat akan datang menyoal penghuni kubur setelah tujuh langkah sanak-saudaranya pergi meninggalkannya.

Hannah merenung pada tanah kubur itu. Rasa sedih dan insaf mula bergaul menjadi satu. Hatinya terkilan kerana tidak sempat menemani abah saat lelaki itu berada di ambang maut.

Hatinya berdoa agar dia sempat menemui abah namun ajal tidak pernah menanti kita walau sesaat pun. Sebaik saja dia tiba di rumah Haji Safuan, mayat lelaki itu sudahpun siap dikafankan.

"Hannah" laung Hafiz membuatkan gadis itu tersentak dari lamunannya.

"Abah, nanti Hannah datang lagi ya? Hannah sayang abah. Assalamualaikum abah" sungguh sayu Hannah bersuara. Hatinya berat untuk meninggalkan rumah baru abah. Dia berdoa supaya abah ditempatkan bersama dengan orang yang beriman. Insyaallah.

Mereka bertiga masuk ke dalam kereta milik Hafiz. Hafiz yang memandu tidak berkata apa-apa. Hannah dan Hani juga begitu. Masing-masing hanya mendiamkan diri.

Hannah mengalih pandangannya ke luar tingkap. Air hujan yang menitik jatuh ke bumi dilihatnya hiba. Hari itu adalah hari Jumaat. Hari yang sungguh sayu dan sedih.

Hujan yang turun seolah-olah menggambarkan hati Hannah yang kini benar-benar kecewa dan sedih.

Hannah menyandarkan kepalanya di tepi tingkap kereta. Kain pelekat abah dipeluk erat. Matanya mula terpejam perlahan-lahan kerana kepenatan menangis. Akhirnya, gadis itu tertidur dibuai mimpi.

Hai Encik Lanun [C]Where stories live. Discover now