Bab 12 🦋

15.8K 1.4K 18
                                    

Sudah hampir dua minggu Hannah cuti tanpa gaji untuk menjaga abahnya. Gadis itu berbaring di atas katil bersama telekung yang masih dipakainya.

Setelah selesai solat subuh tadi Hannah merebahkan tubuhnya. Matanya melihat ke atas. Dia termenung memikirkan sesuatu.

Nasihat Doktor Wafri sentiasa terngiang-ngiang di dalam kotak fikirannya. Kata-kata lelaki itu menyuntik semangat pada Hannah untuk mencari jalan supaya dapat memujuk abahnya.

Hannah mengetap bibir. Hatinya tekad. Hari ini dia akan lakukan misi yang sudah tiga hari lepas dia rancang. Dia tak akan biarkan abah terus hidup dalam kesedihan. Dia tak mahu itu.

Hannah melemparkan pandangannya melepasi tingkap bilik tidurnya. Gadis itu cuba untuk mencari kekuatan untuk bercakap dengan abahnya sebentar lagi.

Kakinya mengatur langkah ke arah tangga dan menuju ke bilik abahnya di tingkat bawah.

Daun pintu kayu berwarna coklat itu ditolak. Haji Safuan sedang duduk di atas kerusinya sambil membelek album di tangannya.

Hannah melangkah masuk ke dalam. Langsir tingkap dikuak luas. Sinar matahari pagi yang masuk menyilaukan mata Haji Safuan.

Lelaki tua itu pantas menutup matanya dengan belakang tapak tangan.

"Tutup tingkap tu!" marah Haji Safuan dengan nada suara yang tinggi.

Hannah tidak peduli. Dia buat tidak endah saja dengan arahan Haji Safuan itu. Kali ini dia pula harus berdegil. Hannah sudah lali dengan herdikan abahnya itu.

"Hannah tak nak abah terus macam ni. Sampai bila? Sampai bila abah nak hidup terperuk dan tak nak hadapi dunia luar?" soal Hannah sekali gus melepaskan rasa hatinya yang sudah lama terpendam. Namun, suaranya cuba dikawal agar tidak terlihat terlalu beremosi.

Haji Safuan tidak menjawab. Lelaki itu merengus kasar lalu memusingkan kerusi rodanya dan menuju ke arah katil.

Hannah mengetap bibir. Geram dengan sikap abahnya yang tidak mahu berubah. Degil. Tidak mahu mendengar nasihat orang lain. Semuanya perlu ikut cakap dia.

"Aku tak nak! Jangan paksa aku!" bentak Haji Safuan kuat hingga mengejutkan Munirah yang sedang membuat sarapan pagi di dapur.

Hannah menghampiri tubuh ayahnya. Gadis itu duduk di birai katil. Matanya merenung wajah kusut Haji Safuan saat itu.

Wajah abahnya itu jelas kelihatan muram. Buat seketika, tiada siapa yang bersuara. Keadaan menjadi sunyi. Hannah menghela nafas berat. Otaknya cuba untuk menyusun ayat terbaik bagi memujuk hati abahnya itu.

"Abah, Hannah bukan nak jadi anak derhaka. Hannah bukan nak lawan cakap abah tapi Hannah nak tolong abah. Abah masih ada peluang untuk sembuh. Hati abah mesti kuat, dan abah tak boleh mengalah. Abah kena yakin yang abah akan sembuh semula" pujuk Hannah lembut. Matanya melirik ke arah abahnya yang masih membatu dan mukanya yang masih tidak beriak.

"Abah tak akan sembuh. Tak akan ada harapan untuk abah sembuh. Abah reda" luah Haji Safuan. Suaranya bergetar. Mungkin lelaki itu cuba untuk menahan rasa hati yang bercelaru saat itu. Dia menundukkan wajahnya memandang lantai.

"Doktor Wafri ada bagitahu Hannah yang abah ada harapan untuk sembuh. Kalau abah makan ubat, buat rawatan insya-Allah abah akan sembuh. Reda abah tak boleh reda semata-mata. Abah kena usaha baru abah boleh reda. Bukannya berharap dan termenung saja" nasihat Hannah. Hatinya tidak henti berdoa supaya abah lembut hati dan mengubah fikirannya.

Haji Safuan hanya mendiamkan diri dari tadi. Wajahnya juga masih kekal tegang. Hannah menelan perit air liur. Kasar sangatkah percakapannya?

"Abah..."

"Tutup langsir" arah Haji Safuan tegas.

Hannah tersentak. Kecut perutnya melihat reaksi Haji Safuan. Wajah abahnya sudah merah padam. Dahinya berkerut-kerut. Hannah melangkah ke arah tingkap dan menutup kembali langsir.

"Abah kena buat rawatan. Abah masih lagi ada harapan untuk sembuh. Gunakanlah peluang tu sebelum terlambat. Tak akan abah nak hidup bergantung pada kerusi roda ni seumur hidup?" kata Hannah perlahan sebelum melangkah ke arah pintu.

Hatinya sedikit kecewa. Abah masih lagi berdegil dan tidak mahu mendengar nasihatnya. Gadis itu mengetap bibirnya. Matanya dipejam, menahan rasa sebak di hati. Hannah menyeka air matanya dan terus berlalu.

Tangannya mula mahu menutup daun pintu bilik Haji Safuan.

"Hannah..." panggil Haji Safuan dingin membuatkan langkah Hannah terhenti. Gadis itu berpaling kemudian terus melangkah mendekati abahnya kembali.

"Abah teringin nak makan asam pedas. Boleh Hannah tolong masakkan untuk abah?" soal Haji Safuan. Nada dingin dan tegas tadi sudah pun bertukar menjadi perlahan.

Hannah yang mendengar kata-kata abahnya itu seolah-olah tidak percaya. Dia pantas mengukir satu senyuman manis. Kelopak matanya mula bertakung kembali.

"Boleh abah" jawab Hannah. Matanya melekat pada wajah abahnya yang masih lagi tidak beriak itu. Tapi, permintaan Haji Safuan itu membuatkan dia sangat terharu dan gembira.

"Tengah hari ni kita makan asam pedas ya Abah? Hannah masak" ujar Hannah lagi.  Dia melihat mata Haji Safuan yang bercahaya sedikit. namun, wajah itu masih lagi kaku tanpa perasaan.

"Hannah keluar dulu abah" pinta Hannah apabila melihat Haji Safuan yang hanya mendiamkan diri. Senyuman makin melebar. Hatinya menjerit gembira.

"Hannah..." panggil Haji Safuan lagi. Hannah berpaling. Matanya terpaku pada wajah Haji Safuan.

"Terima kasih" ucapnya perlahan namun cukup untuk didengari Hannah. Gadis itu mengukirkan senyuman meskipun tidak dibalas.

"Sama-sama abah" ujar Hannah sebak. Air matanya mula mengalir lagi. Kalau dulu dia selalu menangis kerana dia sedih tapi kini air mata itu adalah air mata kegembiraan.

Hannah senang. Akhirnya, abah sudah mula untuk menerimanya. Dia bersyukur tidak terkata. Doanya dimakbulkan. Alhamdulillah.

Hai Encik Lanun [C]Where stories live. Discover now