MIKAYLA yang baru sahaja menapak keluar dari cafe sambil fokus menatap skrin telefon yang dipegangnya tanpa sedar telah melanggar seorang kanak-kanak sehingga budak itu terjatuh lalu mengaduh kesakitan.
"Aduh," gumam budak itu perlahan, aiskrim yang dibelikan ayahnya tadi sudah jatuh ke lantai dipandang dengan hiba. Belum sempat dia ingin merasakan aiskrim tersebut, namun rezeki tidak berpihak kepadanya.
Mikayla yang panik segera menyimpan telefon ke dalam beg tangan Gucci yang disangkutkan ke bahu. Sempat dia mengutuk sikapnya yang terlalu khayal dengan telefon sehingga tidak sedar dengan keadaan sekeliling.
Kanak-kanak lelaki yang memakai songkok itu dibantu berdiri sambil dikibaskan sisa habuk yang melekat di baju melayu yang dipakainya.
"Adik, akak minta maaf sangat. Akak tadi ralit sangat tengok telefon," ucapnya sambil tangannya memeriksa tubuh budak lelaki tersebut. Risau jika dia sudah mencederakan anak orang. Apa pula dia harus menjawab pada ayah kanak-kanak itu nanti?
Lama budak lelaki itu memandang wajah Mikayla sebelum bibirnya menarik senyuman kecil sehingga menampakkan kedua belah lesung pipitnya.
"Reyhan maafkan mama," tubuh Mikayla ditarik ke dalam pelukan, tersentak Mikayla dengan tindakan budak lelaki itu. Lebih mengejutkan Mikayla, panggilan kanak-kanak itu kepadanya. Mama? Tiada angin, tiada ribut, dia sudah bergelar mama kepada budak yang tidak dikenalinya?
"Akak─"
"Ayah cakap kita kena sentiasa maafkan orang terutama kalau orang itu ahli keluarga kita sendiri. Jadi, Reyhan maafkan mama." Mati kutu Mikayla dibuatnya sehingga akhirnya dia memutuskan untuk akur sahaja. Songkok yang dipakai Reyhan segera digosok perlahan membuatkan budak lelaki itu semakin mengeratkan pelukannya.
"Biar akak belanja Reyhan aiskrim baru sebagai tanda minta maaf. Tadi Reyhan makan aiskrim apa?" Pujuknya, wajah Reyhan yang terlihat sedang tersenyum senang dipandang bersama senyuman kecil. Entah mengapa, tatkala dipandang wajah yang suci ini membuatkan dia merasakan tenang.
Mengingatkan Mikayla pada arwah adik lelakinya.
"Reyhan─"
"Allah, maafkan saya cik." Terlihat seorang lelaki yang memakai kopiah tergesa-gesa mendekatinya lalu membantu meleraikan pelukan Reyhan. Mikayla sekadar membiarkan memandangkan dari pandangannya, lelaki itu merupakan ayah kepada budak lelaki yang memeluknya itu.
"Reyhan, ayah pesan apa tadi? Tunggu ayah dulu." Lembut sahaja nada itu bersuara sambil matanya mengerling ke arah aiskrim yang dibelikannya sebentar tadi sudah selamat mendarat di atas lantai.
Pantas pandangannya dihala ke arah gadis yang sedang berdiri di hadapannya. Namun tidak sampai seminit, sudah dihala pandangannya ke arah lain memandangkan pakaian gadis itu sedikit menjolok mata baginya.
Manakala Mikayla bagai mengecam wajah lelaki ini. Lama dia berfikir di mana dia pernah berjumpa lelaki berkopiah ini sebelum dia memetik jari.
"I kenal you, you orang yang langgar I di tanah perkuburan hari itu." Ujar Mikayla sambil jari runcingnya menunjuk tepat di hadapan lelaki berkopiah itu. Lelaki itu sekadar mendehem kecil.
"Maafkan anak saya, cik. Pasti anak saya dah terlanggar cik tadi. Saya akan ganti rugi baju cik semula." Gaun pendek yang dipakainya terlihat jelas sudah kotor dengan kesan sisa aiskrim yang melekat. Mikayla pantas memeriksa gaunnya sebelum menggeleng.
"Oh bukan salah anak you. Salah I, I keluar tak tengok depan langsung. Pasal baju ni, small matter je." Ujar Mikayla menafikan kata-kata lelaki berkopiah tersebut memandangkan bukan salah anak lelaki itu.
YOU ARE READING
MRS MATTHEO KNIGHT
Romance[ON-GOING] WARNING: BACAAN MATANG. ADA SEDIKIT SCENE ROMANCE 18SX BERSERTA ISU-ISU SENSITIF (ROGOL, ABUSE). BACA MENGIKUT KESESUAIAN UMUR. JIKA MASIH BERKERAS, IA NYA MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMBACA SENDIRI. - "Theo's property, forever." Mattheo Dim...