KERETA Honda Civic itu berhenti di hadapan rumah teres setingkat, Raid segera berdehem kecil bagi memberitahu Mikayla bahawa mereka sudah sampai di rumahnya.
Mikayla yang ralit menepuk bahu Reyhan segera mengangkat pandangan.
"Dah sampai ke?" Soal gadis berambut pirang itu. Matanya sebenarnya sudah terasa mengantuk namun ditahan sebaik mungkin. Reyhan sudah lama tertidur beralaskan pehanya.
"Sudah. Jemputlah keluar,"
"Tapi Reyhan..."
"Maaf ya Kayla sebab susahkan awak dengan Reyhan." Laju sahaja lelaki berkopiah itu mendapatkan anaknya yang masih tertidur pulas di peha gadis itu. Sedaya-upaya matanya dijaga dari memandang ke arah Mikayla.
"Reyhan... bangun sayang. Kenapa susahkan mama Kayla pula ni," tubuh kecil itu diangkat lalu dibawa ke dalam dukungan. Anaknya terlihat sedikit bergerak-gerak meski kepalanya sudah selamat tersandar di bahu sang ayah.
"Mama... Reyhan nak mama," gumam si kecil.
"Saya hantar Reyhan masuk sekejap," Mikayla sekadar mengangguk akur. Pemergian batang tubuh yang mengenakan baju kurta berwarna putih itu dihantar mengunakan sorotan mata.
Tulang punggung segera dibawa keluar dari Honda Civic tersebut sebelum bebola matanya melilau memandang kawasan perkarangan rumah milik lelaki itu. Meskipun hanya rumah teres setingkat namun indah mata memandang. Di tambah lagi, di kawasan lapang hadapan rumah ini ada sebuah buaian yang digantungkan pada dahan pohon.
Terasa angin sepoi-sepoi melanggar tubuh Mikayla membuatkan gadis itu segera memeluk tubuh.
"Jemput masuk Kayla," satu suara wanita menegur Mikayla membuatkan gadis itu segera memandang ke arah sang empunya suara.
"Sejuk di luar sana. Nanti badan Kayla, masuk angin pula." Tambah wanita itu lagi, suaranya jelas terdengar mesra. Mikayla mengangguk sebelum kaki diatur mendekati wanita tua itu.
"Nama makcik Fatimah, Kayla boleh panggil mak Timah je. Mak Timah ibunya Raid. Raid dah cakap pada Mak Timah tentang Kayla. Kayla jangan risau, anggap sahaja rumah ni macam rumah Kayla sendiri." Dengan menggunakan tongkatnya, Puan Fatimah dengan berhati-hati menapak menuju ke sofa yang berada di ruang tamu.
"Maafkan Kayla kalau malam ni terpaksa susahkan Mak Timah dengan Raid." Mikayla bersuara, langkah wanita itu sekadar diikuti dari belakang. Sempat dipuji ruangan dalam rumah tersebut yang terlihat bersih dan kemas.
"Eh susah apanya... dah lama sangat Mak Timah tak dapat tetamu. Dengan adanya Kayla, Mak Timah rasa seronok." Dengan kalimah basmalah, punggungnya dihenyak ke sofa buatan kayu jati tersebut. Wajah jelita di hadapannya dipandang bersama senyuman.
"Duduklah sementara tunggu Raid tidurkan Reyhan di biliknya." Mikayla akur, punggungnya dihenyak pada salah satu sofa di hadapan Puan Fatimah.
"Jangan risau, Zamani tu budaknya rajin dan pandai. Esok kereta Kayla pasti akan cepat dibaikinya." Mikayla mengangguk bersama senyuman tipis. Sangkalnya mungkin Zamani yang dibicarakan adalah sahabat yang disebut Raid sebelum ini.
"Saya bersyukur sangat Raid ada untuk tolong saya tadi. Kalau tiada, saya tak tahulah nak buat apa." Bicara Mikayla beramah mesra. Dia tidak mahu situasi di antara mereka menjadi janggal. Lagipula, wanita tua di hadapannya ini terlihat mesra dan ramah.
"Syukur alhamdulilah anak Mak Timah ada untuk membantu Kayla."
"Iya," balasnya perlahan bersama senyuman tipis.
Raid yang baru sahaja melangkah keluar dari bilik tidur yang menempatkan sang anak segera ditegur oleh Puan Fatimah.
"Raid nak kemana?"
YOU ARE READING
MRS MATTHEO KNIGHT
Romance[ON-GOING] WARNING: BACAAN MATANG. ADA SEDIKIT SCENE ROMANCE 18SX BERSERTA ISU-ISU SENSITIF (ROGOL, ABUSE). BACA MENGIKUT KESESUAIAN UMUR. JIKA MASIH BERKERAS, IA NYA MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMBACA SENDIRI. - "Theo's property, forever." Mattheo Dim...