BAB 1

12.2K 367 39
                                    

Tangan Helena ditarik kuat, supaya gadis itu melangkah dengan lebih cepat.

"Mika ni, janganlah tarik tangan kak El macam ni. Semua orang tengok," tegur Helena yang tertunduk-tunduk, tidak mahu menjadi tontonan umum.

"Kak El tahukan... babah tak suka orang yang tak on time? Tu belum lagi abang. Nanti tak pasal-pasal dengan Mika sekali yang kena," balas Mika yang tidak mahu membayangkan dua orang lelaki itu bergabung menegur mereka.

Sampai saja di hadapan sebuah pintu besar, Mika melepaskan tangan Helena.

Mika kemaskan baju kurung yang dihiasi les. Dia mengalihkan pandangan kepada Helena yang tak puas hati kerana dipaksa menghadiri majlis ini.

"Jangan buat muka macam tu, nanti orang ingat mama dengan babah paksa Kak El datang sini pula." Mika menghadiahkan jelingan sebelum hilang masuk ke dewan.

Helena menarik nafas panjang, dia maniskan wajah dengan satu senyuman. Langkah diatur mengikut jejak adiknya.

Bukannya dia tak suka menghadiri majlis keluarga, tapi kalau diberi pilihan, dia pilih berehat di rumah apabila jadualnya kosong. Hari ini, dia menghadiri sebuah majlis kesyukuran yang dianjurkan oleh mak ngah.

Dari jauh lagi dia sudah melihat wajah ahli ke keluarganya, yang berada di sebuah meja paling hadapan. Dia mengorak langkah ke arah itu, sambil tersenyum kepada beberapa orang tetamu yang menyapanya.

"Ingatkan tak datang," tegur Puan Marissa apabila Helena menghenyak punggung di sebelahnya.

"Mestilah kena datang, mak ngah punya majlis," bohong Helena.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa dan yasin. Helena melihat wajah mak ngah yang kelihatan gembira kerana anak perempuannya berjaya menamatkan pengajian diperingkat ijazah sarjana.

"Seronok tengok orang pandai, kan?" bisik Mika disebelah.

"Lepas habis degree, Mika nak kerja ke?" soal Helena yang sedang menyuap makanan.

Mika mengeluh perlahan. Sudu yang dipegang, diletakkan kembali di atas pinggan.

"Tak larat nak buat tesis," keluh Mika.

Helena tertawa kecil.

"El!!! Lamanya tak jumpa," tegur Dira yang gembira apabila melihat sepupunya hadir malam ini.

"Dira! Tahniah!" ucap Helena yang kedengaran teruja.

"Thanks!" balas Dira yang tersenyum.

"Pak long, mak long, abang Am, kak Irha, Mika terima kasih datang. Seronok tengok semua orang datang raikan saya," kata Dira sopan. Bukan senang mahu melihat ahli keluarga mak longnya berkumpul seperti ini.

Ammar dan Irha hanya mengangguk dan membalas dengan senyuman. Mika pula menjadi pemerhati sejak daripada tadi.

"Tahniah, Dira. Makin cantik sekarang," puji Puan Marissa.

"Mana tak makin cantik, ma. Orang tengah bahagia," sampuk Irha.

"Kau nak kahwin ke Dira?" Helena terkejut. Tiada angin, tiada rebut. Tiba-tiba saja dia mendengar berita ini.

Dira tepuk bahu Helena.

"Kau kahwin dulu, baru aku." Dira tertawa perlahan dan diikuti Helena.

Sedang rancak berbual, mereka berdua terdiam apabila mendengar suara seorang lelaki memanggil Dira.

"Eh? Bila sampai?" tanya Dira yang terkejut melihat susuk tubuh lelaki yang berada di belakangnya.

Helena tidak mahu menganggu perbualan mereka, jadi dia menyambung semula suapan yang terhenti.

Cinta Berakhir BahagiaWhere stories live. Discover now