BAB 35

3.8K 276 18
                                    

Helena jeling telefon bimbitnya yang tak henti-henti bergetar, berselang-seli nombor Rai dan nombor adiknya.

Tikar yoga digulung dah diletakkan di tepi meja, dia menghubungi Rai semula.

"Kau pergi mana?!" Rai menjerit, hampir sejam dia cuba menghubungi wanita itu.

"Tadi aku sibuk sikit, kenapa?" Helena urut dada, terkejut dengar suara sahabatnya. Rai jarang berkelakuan seperti ini, jadi dada mula berdegup kencang kerana bimbang sesuatu buruk sedang berlaku.

"Aku ada bagi kau link, kau baca sekarang." Rai beri arahan kerana dia pasti wanita itu belum baca berita yang sedang tular di semua platform media sosial.

Helena mengeyakan dan menamatkan perbualan. Dia buka pautan yang diterima dan bola matanya terbeliak apabila melihat gambar Eden yang terpampang.

Berita tentang perkahwinannya mula tersebar. Pengguna media sosial mula menghentam dan mengatakan dia sebagai perempuan yang tiada maruah kerana bermain cinta dengan Haider, sedangkan dirinya sudah bergelar seorang isteri.

Nasib kontrak mereka telah tamat beberapa hari yang lalu, sekarang apa yang perlu dirisaukan adalah dirinya yang bakal kehilangan kontrak daripada pelbagai nama besar.

Helena mula tak senang duduk, dia berdiri seketika sebelum melabuhkan punggung kembali.

Ni mesti kerja Eden! Bisik hati kecilnya.

Jari Helena sentuh layar skrin, membaca beberapa komen yang menggelar dirinya sebagai penyondol kerana merampas bakal suami sepupunya sendiri.

Dia tahu kalau pengguna internet sudah mengorek sesuatu, pasti ia sampai ke akar umbi.

Dengan tangan yang menggeletar kerana memikirkan keadaan keluarganya sekarang, Helena menghubungi Mika.

"Kak El!!!" teriak Mika yang tidak dapat menyembunyikan rasa marah.

"Mama dengan babah mana?" Kedua orang tuanya itu menjadi keutamaan di waktu ini.

"Babah dengan abang Am ada miting hari ni, mesti kejap lagi dia balik. Mama pula tengah berborak dengan abang Eden." Mika kerling ke luar, melihat wajah mamanya yang tegang.

"Ap... Apa?! Ed... Eden ada dekat situ?" soal Helena yang terkejut.

"Dia baru sampai, dalam 15 minit macam tu. Kak El tahu tak, apa yang jadi sekarang ni..."

Helena terus putuskan panggilan. Dia berjalan menuju ke pintu, sebelum berpatah balik mencari kunci kereta.

Pandangan dijatuhkan kepada pakaian yang tersarung di tubuh, dia masuk ke kamar tidur untuk mengganti baju yang tak cukup kain itu.


Puan Marissa pandang menantunya sambil berpeluk tubuh. Eden tak pernah jejakkan kaki ke rumah ini, selepas pernikahannya dengan Helena.

"Kau yang sebarkan berita tu, kan?" Puan Marissa sudah dapat baca rancangan Eden yang mahu merosakkan nama baik mereka.

"Mama..."

"Jangan panggil aku mama!" Puan Marissa beri amaran dan Eden menarik senyum.

"Kalau saya yang sebarkan, saya akan pastikan gambar saya takde dalam mana-mana artikel. Tapi, sekarang ni... macam yang mama tengok, gambar saya terpampang dekat semua tempat." Eden tekan perkataan mama, sengaja mahu naikkan darah Puan Marissa.

Puan Marissa buntu. Apa yang perlu dikatakan kepada Puan Duha nanti, sudah pasti berita yang tersebar itu diketahui keluarga adiknya.

"Kau datang sini nak apa?" Puan Marissa pandang Eden dengan pandangan seolah-olah jijik.

Cinta Berakhir BahagiaWhere stories live. Discover now