Helena turun ke tingkat bawah apabila hidungnya menghidu sesuatu yang sangat menyelerakan.
"Eh. Awak reti masak ke?" Helena melihat Eden yang memakai apron, atas bawah.
"Memang selama ni saya yang masak," jawab Eden sambil meletakkan sebiji mangkuk kaca ke atas meja.
Helena kelipkan mata beberapa kali. "Kalau awak tak ada, siapa yang masakkan untuk saya?"
"Beli," balas Eden pendek.
"Saya langsung tak tahu masak ke?" Helena hampir tercengang apabila melihat gelengan suaminya.
Eden tersenyum kemenangan. Disebabkan mahu pastikan kesahihan keputusan perubatan Helena, dia sengaja menyediakan hidangan ini.
"Duduklah. Kenapa masih tercegat?" tegur Eden apabila Helena hanya berdiri.
Helena yang dari tadi asyik termenung, menarik kerusi dengan tangan kiri.
"Awak masak apa hari ni?" Helena melihat hidangan di hadapannya, lalu mengalihkan perhatian kepada Eden semula.
"Lauk kegemaran awak. Ayam masak lemak cili api." Eden menarik segaris senyuman sambil menghulur pinggan yang sudah terisi nasi kepada Helena.
Helena hanya mengangguk apabila mendengar ayat tersebut. Dia kerling cili padi yang sedang berenang di dalam mangkuk.
"Makanlah." Eden hulur sudu.
Dengan perasaan yang berbolak-balik, Helena hanya menerima tanpa banyak soal.
Dia telan air liur apabila Eden cedok kuah berserta cili padi ke dalam pinggannya. Entah kenapa hati kecilnya berasa gerun mahu merasai juadah yang disediakan Eden.
"Termenung pula dia. Makanlah cepat, nanti sejuk," ucap Eden apabila Helena masih tak bergerak.
Helena menyauk nasi dengan sudu, lalu Eden letak cebisan ayam ke atas nasi tersebut bersama senyuman lebar.
Walaupun fikirannya membantah, sudu dimasukkan ke dalam mulut dan dikunyah perlahan-lahan.
Rasa masak lemak mula memenuhi dinding mulut. Satu rasa yang aneh tiba-tiba muncul.
Uhuk! Uhuk! Helena batuk beberapa kali apabila rasa yang menyengat mula menguasai lidah.
"Tahulah lapar, tapi makanlah pelan-pelan." Tegur Eden yang menghulur segelas air.
Helena teguk air tersebut dengan rakus. Mahu menghilangkan rasa pijar yang sudah bermaharajalela di dalam mulut.
Air yang lalu di kerongkong membuatkan matanya berkelip tanpa henti. Gelas dijauhkan daripada bibir.
Sudahlah rasa pedas masih belum hilang. Kini ditambah pula dengan rasa masam.
"Air apa ni?" soal Helena dengan kerutan di dahi.
"Lemon. Awak suka sangat air lemon. Kalau masam, lagilah awak suka," terang Eden yang rasa seronok melihat reaksi Helena.
Helena diam membisu. Tak mungkin dia sukakan air seperti ini. Badannya rasa seperti terkena renjatan elektrik.
"Kenapa? Tak sedap ke saya masak?" Eden terkejut apabila Helena menolak pinggannya ke tepi.
Helena menggeleng.
"Saya rasa nak makan lauk lain. Tu yang awak masak tu..." Helena juihkan bibir kepada sebiji pinggan yang berada dekat dengan Eden.
"Awak tak boleh makan udang, nanti allergic." Eden jeling udang goreng kunyit yang dipinta Helena.
Helena hanya mampu merenung udang tersebut.
"Tiba-tiba tak selera nak makan, kenapa? Ohhh... Mesti sebab Helen nak abang suap, kan?" Eden menarik pinggan Helena.
YOU ARE READING
Cinta Berakhir Bahagia
RomanceAgency Series (3) Siapa sangka kekasih hati yang hilang tanpa kata, muncul semula menghantui hidup Sharifah Helena. Kini, Eden Zahrin kembali sebagai bakal suami kepada sepupu Helena. "You were my biggest mistake, Helena." - Eden Zahrin Rancangan di...