Puan Marissa pandang Eden yang kelihatan seperti menahan diri daripada tersenyum. Pandangan mereka bertembung, Eden menghadiahkan senyuman paling manis.
Ammar meraup wajah, cuba mencerna apa yang sedang berlaku.
"Tak cukup apa yang babah bagi selama ni? Dari El kecil sampai sekarang, babah cuba yang terbaik pastikan takde yang kurang dalam hidup El. Babah dengan mama tak pernah ajar El buat perkara terkutuk macam ni!" suara Encik Syed mendatar, dia tundukkan pandangan kepada Helena yang masih peluk kakinya.
Helena menggeleng beberapa kali. Tiada apa yang kurang dalam hidupnya, kerana permintaannya sentiasa dituruti.
"Mungkin salah babah sebab tak pandai didik anak." Encik Syed buka langkah dan duduk di sebuah sofa, dia mengurut pelipis.
Makin deras air mata Helena yang mendengarnya.
Ammar tarik lengan Helena supaya berdiri dan memandangnya.
"Dah tak ingat yang mana yang halal dengan haram? Siapa ajar buat benda macam ni?!" api kemarahnya sudah tidak dapat dikawal.
Helena telan liur, hanya suara tangisnya yang kedengaran.
"Kenapa nangis? Waktu buat perkara terkutuk tu, tak ingat Tuhan, mama dengan babah?!" herdik Ammar.
"Tak malu dengan keluarga mak ngah? Otak El mana?!" jari Ammar menunjal kepala Helena, geram dengan adiknya yang diam daripada tadi.
Helena hanya menelan kata-kata abangnya tanpa membuka mulut.
"Kenapa El buat macam ni? Ke sebab mama pernah pisahkan kamu berdua dulu, tu yang sekarang ni memberontak?" Puan Marissa menyeka air mata.
Helena pandang Puan Marissa, cuba memahami maksud disebalik ayat tersebut.
"Mama cakap apa ni?" Ammar turut memandang Puan Marissa.
"Dia orang berdua ni, bercinta dari zaman sekolah lagi. Ingatkan bila dah bertahun-bertahun, El dah lupakan dia. Tapi, mama salah." Puan Marissa pandang Helena dan Eden bersilih ganti.
Helena tergamam seketika. Jadi, selama ini mamanya mengenali Eden? Tapi, kenapa dia berkelakuan seolah-olah tidak pernah mengenali lelaki itu?
"Yang kamu ni, kenapa? Tak cukup ke mak cik tolong waktu kamu susah dulu?" Puan Marissa menoleh kepada Eden pula.
"Sekarang ni, kamu nak duit? Berapa? Bagi tahu mak cik, tapi tinggalkan Helena!" sambung Puan Marissa lagi.
Eden menggeleng.
"Saya tak nak duit, cukuplah duit yang mak cik bagi dulu," perli Eden.
Sehingga ke hari ini, kata-kata yang dilontarkan kepadanya masih segar di ingatan. Dulu, dia dilayan seperti seorang pengemis.
Semua mata tertuju kepada Puan Marissa, terkejut dengan ayat yang ditutur Eden.
"Jadi, kamu nak apa sekarang? Jangan rosakkan masa depan Helena!" Puan Marissa memberi amaran.
"Sebagai seorang lelaki, saya cuma nak bertanggungjawab. Saya tak nak bila perut dia membesar nanti..."
"Eden!!!" Helena menjerit.
Pang! Satu tamparan melekat di pipi Helena.
"Abang..." Irha mendekati suaminya dan mengusap lengan Ammar, supaya tak mengikut kata hati.
Helena menyentuh pipi yang terasa pedih. Dia tengok Ammar yang kelihatan seperti singa lapar.
"Ammar!" Encik Syed beri amaran kepada anak lelakinya.
"Dah jadi macam ni pun, babah masih nak sebelahkan El? Babah sedar tak apa yang dia buat belakang babah?!" suara Ammar memetir.
Encik Syed menghela nafas panjang, perbalahan tidak akan menyelesaikan apa-apa masalah.
YOU ARE READING
Cinta Berakhir Bahagia
RomanceAgency Series (3) Siapa sangka kekasih hati yang hilang tanpa kata, muncul semula menghantui hidup Sharifah Helena. Kini, Eden Zahrin kembali sebagai bakal suami kepada sepupu Helena. "You were my biggest mistake, Helena." - Eden Zahrin Rancangan di...