Irha membawa dua biji cawan ke satu ruangan. Sebiji cawan disua kepada Helena yang sedang menconteng cat berwarna pada kanvas berwarna putih.
"Eh, Kak Irha. Bila sampai?" tegur Helena. Papan palet yang dipegang sejak tadi, diletak ke tepi, lalu menyambut huluran kakak iparnya.
"Akak dah lalu banyak kali, tapi El yang tak perasan. Jauh termenung?" Irha duduk disebuah sofa, tidak jauh dari situ.
Bukannya dia tak perasan Helena asyik termenung daripada tadi dan hanya tangannya yang menari di atas canvas. Kalau fikiran Helena sarat dengan masalah, dia luahkan perasaan itu melalui melukis.
Helena menarik segaris senyuman. Dia labuhkan punggung, bertentangan dengan Irha.
"Risa mana?" Helena teringat satu-satunya permata yang menghiasi rumah itu. Cawan dibawa dekat pada bibir dan air dihirup perlahan.
"Ada dekat bawah, dengan mama," jawab Irha.
Irha duduk bersandar dan kaki disilang. Pandangan tak lepas daripada raut Helena yang kelihatan runsing.
"Kenapa?" Irha mulakan misi mengorek rahsia.
Helena angkat wajah, dia pandang kakak iparnya tanda tidak mengerti.
"Kenapa? Ada masalah dekat tempat shoot ke?" soal Irha.
Helena menggeleng.
"Tak ada apalah. Kak Irha jangan risau," bohong Helena. Dia tahu wanita di hadapannya itu, sudah dapat membaca fikirannya.
"Jangan ingat kita baru kenal semalam. Akak tahu, El tengah serabut sekarang. Tu..." Irha muncungkan bibir ke lukisan Helena.
Pandangan Helena beralih ke kanvas yang diletakkan di atas stand kayu. Semua sudah tahu, bila dia banyak menghabiskan masa dengan melukis, pasti ada sesuatu yang tak kena.
"Akak ni serba boleh, akak boleh baca apa yang ada dalam kepala El. Kalau Aladdin ada jin, El ada akak," kata Irha yang tersenyum.
Helena tersenyum nipis. "Macam mana orang macam Kak Irha ni, boleh sangkut dengan Abang Am? I mean you deserve someone better."
Giliran Irha pula yang tertawa.
"Ingat senang nak mengurat Abang Am? Pagi petang siang malam akak kejar dia." Irha menggelengkan kepala apabila teringat kenangan di awal pertemuan mereka.
Helena tersenyum mendengarnya. Sehingga ke hari ini, dia tertanya-tanya bagaimana Irha berjaya mencairkan aisberg itu.
"Jadi, sebab lelakilah ni? Bagi tahu akak, siapa yang buat adik ipar akak macam ni?" Irha buat serkap jarang.
"Tak ada sesiapa pun. El saja lukis hari ni, dah lama tak sentuh kanvas," bohong Helena. Memang sudah lama dia tak sentuh alatan melukis kerana jadualnya yang padat.
Irha bangun daripada duduk dan melabuhkan punggung di sebelah Helena. Tangan Helena digenggam. "El sayangkan dia?"
Helena terdiam. Dia sendiri keliru dengan perasaannya. Rasa sayang sudah lama terkubur ditelan waktu. Tapi, apabila melihat kemesraan mereka, dia rasa satu perasaan aneh timbul.
Perasaan itu tak sepatutnya wujud kerana dia sudah lama melupakan lelaki itu. Tambahan pula, dia rasa marah apabila Eden seolah-olah tidak mengenali dirinya.
Kenapa dia tiba-tiba ditinggalkan tanpa sepatah perkataan?
"El?" Irha tepuk lengan Helena. Sudah beberapa kali dia memanggil wanita itu, namun Helena masih dengan dunia sendiri.
"Sorry, boleh pula El termenung." Helena cuba menutup rasa kekok dengan tertawa, walaupun ia kedengaran begitu janggal.
"Tengok tu... Kak Irha tak nak menyibuk, tapi..." Irha bangun dan keluar daripada ruangan itu.
Helena mencapai cawan yang diletakkan di atas meja tadi. Air dihirup dengan perlahan, sambil perhati lukisannya.
Irha kembali dengan nafas yang tercungap-cungap, kelihatan seperti baru habis berlari.
"Nah," dia menghulur sekeping kad berwarna hitam kepada Helena.
Helena mengerut dahi, namun dia masih menyambutnya. Nama yang tertulis di atas kad tersebut dibaca. "RH Agency?"
"Dia orang boleh tolong..."
"Apa ni? El tak faham," potong Helena. Kad itu dipusing beberapa kali.
"El tahukan, Abang Am tu macam mana? Garang tak bertempat. Dia orang ni lah, yang tolong Kak Irha mengurat dia dulu." Irha kongsi rahsia yang tersimpan rapi.
Mulut Helena yang sudah menganga, ditekup dengan tapak tangan.
"Abang Am tahu tak?" soal Helena, setelah tangan dijatuhkan ke sisi.
Irha angguk. Dia mula terangkan tentang syarikat itu. RH Agency singkatan kepada Rich Husband Agency. Ia merupakan sebuah agensi yang ditubuhkan untuk membantu seseorang, dengan menolong mereka memikat seseorang daripada golongan bangsawan.
"Ejen jodoh?" Helena masih cuba menghadam penerangan Irha.
"Lebih kurang macam tu, tapi yang ni profesional. Sebab tu fi dia mahal." terang Irha lagi.
"Abang Am tahu? Dia tak marah?" Helena rasakan ada sesuatu yang tak kena, kalau abangnya hanya menerima dengan hati yang terbuka.
"Gila tak marah! Nasib Kak Irha tak kena cekik, waktu dia tahu tu," hanya dengan membayangkan semula kejadian itu, bulu roma Irha berdiri tegak.
Helena tertawa mendengar luahan kakak iparnya. Siapa sangka abangnya yang garang dan keras kepala itu, dapat ditundukkan oleh seorang wanita.
"Tapi, jangan sampai Abang Am tahu. El pun tahu dia tu macam mana, kan? Kalau dia tahu akak yang kenalkan RH Agency ni dekat El, habislah Kak Irha kena halau nanti." Irha beri peringatan.
"El bukan apa, tapi tak apalah. El rasa macam..."
"Simpan je kad ni. Mana tahu dia orang boleh tolong El nanti?" pujuk Irha.
Helena pandang sepi kad yang berada di dalam genggaman. Dia tidak berminat mahu menggunakan khidmat syarikat tersebut.
"Puan Irha, puan besar panggil," seorang wanita terpancul di muka pintu.
Irha bangkit daripada duduk dan mengerling Helena yang masih termenung melihat kad yang diberikan tadi.
"Ingat, jangan sampai Abang Am tahu." Irha mengingatkan, sekali lagi.
Helena mengangguk dan dia ditinggalkan sendirian. Dia kembali mewarnakan kanvas yang ditinggalkan tadi.
Berus yang menari di atas kanvas terhenti. Dia menoleh kad di atas meja, sebelum dia menggeleng laju untuk sedarkan diri.
Helena yang dulu sudah berubah. Dia tidak mahu bersikap keanak-anakan lagi. Mungkin sudah tertulis, jodoh Dira bersama Eden.
Macam mana dia kenal Dira? Dalam ramai-ramai manusia yang ada dekat atas muka bumi ni, kenapa Dira? Tangannya sekali lagi terhenti, berus diletak tepi.
Helena mengangguk sendirian, setuju dengan soalan yang bermain di fikirannya.
"Kenapa Dira?" bibir Helena mengulang soalan itu beberapa kali.
"Kenapa bukan orang lain?" soal Helena sendirian.
Helena yang tersedar sedang berbual seorang diri, menggelengkan kepala beberapa kali.
"Helena fokus! Biarlah dia dengan siapa pun, bukan masalah kau!" Helena tepuk kedua belah pipi, seolah-olah memberi amaran kepada diri sendiri.
"Betul tu!" kata Helena lagi.
"El, kenapa?" Ammar menegur sewaktu melalui ruangan itu. Pelik melihat adiknya yang tiba-tiba berborak seorang diri.
Helena berpaling ke arah itu dan melihat abangnya yang kerutkan dahi melihat kelakuannya.
"Hah? Tak- Tak ada apa. Tengah hafal skrip untuk iklan," bohong Helena. Cuba menutup rasa malu kerana tertangkap sedang berbual dengan isi hatinya.
Ammar mengangguk seraya beredar.
Helena tarik nafas lega. Berus dicapai dan mula menari di atas kanvas.
YOU ARE READING
Cinta Berakhir Bahagia
Roman d'amourAgency Series (3) Siapa sangka kekasih hati yang hilang tanpa kata, muncul semula menghantui hidup Sharifah Helena. Kini, Eden Zahrin kembali sebagai bakal suami kepada sepupu Helena. "You were my biggest mistake, Helena." - Eden Zahrin Rancangan di...